Terkini

Saturday 6 April 2019

Sebuah kisah bagaimana Tabung Haji bermula



Awal tahun 1950-an, Ungku Aziz (kini Profesor DiRaja Ungku Aziz yang merupakan pensyarah ekonomi di Universiti Malaya) telah menjalankan satu kajian bertajuk “The mobilisation of domestic savings in South East Asia”. Melalui kajian ini, Ungku Aziz dapat mengkaji bagaimana orang Melayu menyimpan duit dan tujuan mereka menyimpan duit. Beliau mendapati bahawa tujuan utama orang Melayu menyimpan adalah untuk menunaikan haji.


Profesor Diraja Ungku Aziz

Selain menyimpan duit secara tradisional (celah atap, bawah bantal etc), orang melayu juga akan membeli beberapa haiwan ternakan dan haiwan-haiwan ini akan dijual bila tiba masanya untuk menunaikan haji. Kita selalu dengar atuk nenek kita jual tanah, kebun, sawah, jual ternakan dan sebagainya untuk ke haji. Sebahagian pula, menyewakan atau memajak harta harta ini untuk beberapa tahun.

Tapi cuba bayangkan, dah bertahun pergi Haji naik kapal dan apabila pulang ke tanah air dah tidak ada aset lagi. Lebih malang ada yang dah jual rumah sekali. Ini sudah tentu tidak baik bagi ekonomi umat Islam di Tanah Melayu.

Selain itu, Jemaah Haji Malaysia perlu mendapatkan sendiri khidmat syeikh-syeikh haji. Meraka ini terdiri daripada ulamak dan broker atau ejen syarikat tempatan. Perkhidmatan yang disediakan tidak seragam dan banyak bergantung pada budi bicara mereka kerana ketika ini belum wujud peraturan atau undang-undang yang menjaga kebajikan jemaah haji.

Bermula dengan kunjungan seorang kawan lama, Dr. Zaki Badawi (almarhum), seorang ulamak dari Mesir, Ungku Aziz cuba mendalami soal riba (faedah) yang dilarang dalam Islam bagi membolehkan rancangannya untuk menubuhkan sebuah tabung kerana orang Melayu menjarakkan diri daripada simpanan bank kerana Riba’. Beliau mahu memastikan wang yang digunakan untuk ke Mekah tidak bercampur riba. Ungku Aziz mengatakan :

“Saya tahu Islam mengharamkan bunga (riba), iaitu bayaran tetap bagi kegunaan pinjaman wang, tetapi tidak melarang sebarang bentuk pembahagian keuntungan yang tidak ditetapkan semasa pinjaman. Jadi soal ini serta soal wang untuk ke Mekah yang saya mahu satukan.”

Melihat kepada keadaan ini, Ungku Aziz telah menyerahkan satu memorandum bersejarah bertajuk “Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal–Bakal Haji” kepada kerajaan Malaysia pada Disember 1959. Memorandum ini mencadangkan penubuhan sebuah badan yang boleh menyimpan wang serta menguruskan perjalanan bakal haji ke Mekah. Tabung ini akan memberi pembahagiaan keuntungan bukan pembayaran bunga (riba’) kepada penabung.

Antara Syeikh haji yang mengiklankan perkhidmatan mereka
Namun, idea ini tidak dapat dilaksanakan kerana Kerajaan Malaysia tidak dapat membuat keputusan muktamad berhubung dengan soal riba hinggalah apabila Rektor Universiti Al-Azhar iaitu Sheikh Mahmoud Al-Shaltut melakukan kunjungan ke Tanah Melayu.

“Setelah menerima memorandum itu, Kerajaan telah mengundang delegasi Arab yang pakar dalam soal ini untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut lagi dengan saya.”

“Tanggungjawab mengendalikan soal ini diberi oleh Kerajaan kepada Datuk Khalid bin Awang Osman. Beliau mengadakan pertemuan yang dihadiri oleh Syeikh Mahmoud Al-Shaltut, iaitu Pengarah (Sheikh Al-Azhar) Universiti Al-Azhar. Kepada beliaulah terletaknya kata putus. Kalau tak silap, hampir dua belas orang tiba. Perbincangan itu diadakan di tempat kediaman saya dan pada masa itu Allahyarham Haji Wan Kadir, Timbalan Menteri dari Kuala Terengganu menjadi jurubahasa kami.” kata Ungku Aziz.

12 April 1966 – Rombongan haji dari Makkah tiba di perlabuhan Port Swettenham menaiki kapal haji “Kuala Lumpur”. Ahli rombongan merupakan antara 453 jemaah yang datang dari Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terangganu dan Kelantan.
“Perbincangan itu penting kerana kerana kalau delegasi tersebut menolak cadangan saya, maka kerajaan tidak akan meneruskannya. Jadi, lama juga kami berbincang, saya memang sudah sedia untuk menjawab setiap yang dikemukakan termasuk pelaksanaannya nanti. Berbagai-bagai soalan dikemukakan pada saya dalam pertemuan itu. Nampaknya mereka sedar konsep ini belum ada dalam dunia Islam dan akhirnya mengakui ini memang satu langkah yang baik, sambil bergurau memuji pula,” kata Ungku Aziz.

Setelah mengkaji secara mendalam Rektor Al-Azhar merasa yakin sepenuhnya tentang kebaikan cadangan ini malah beliau menyifatkan rancangan itu sebagai usaha yang akan memberi manfaat besar kepada umat Islam.

1963 – Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein Mengetuai mesyuarat pertama Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji di Kuala Lumpur.

Pada Jun 1960, kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kebajikan Ekonomi Bakal-Bakal Haji yang dipengerusikan oleh Y.B Menteri Muda Kementerian Luar Bandar, Tuan Haji Abdul Khalid bin Awang Osman. Jawatankuasa ini kemudiannya mengemukakan Kertas Putih 22/62 pada Kerajaan pada 24 Januari 1962. Pada September 1962, Rang Undang-Undang Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji telah dilulusakan Parlimen. Maka lahirlah Tabung Haji.

2 September 1968 – Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein merasmikan pembukaan bangunan Tabung Haji di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment