Terkini

Wednesday 3 April 2019

Mekanik di Kuantan rugi RM14,740 ditipu ejen pelaburan Bitcoin



3 April 2019 (Kosmo Online)

KUANTAN - Seorang mekanik berusia 40 tahun kerugian RM14,740 selepas dijanjikan pulangan lumayan menerusi pelaburan mata wang kripto, Bitcoin dalam kejadian baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek yang berasal dari Raub itu berminat menyertai pelaburan tersebut selepas melihat iklan Bitcoin Investment Bisness FOC Club di laman Facebook.

"Pada 5 Mac lalu, mangsa menghubungi ejen pelaburan Bitcoin tersebut yang memperkenalkan diri sebagai Paul dan menyatakan minat untuk melabur dalam pakej RM500.

"Suspek mengarahkan mangsa memasukkan RM500 ke dalam akaun milik individu tidak dikenali. Selepas mangsa memasukkan wang, dia dihubungi suspek yang memaklumkan pakej tersebut telah ditutup," katanya.

Ujar beliau lagi, lelaki itu kemudiannya ditawarkan pakej Diamond bernilai RM2,000 dan mangsa memasukkan RM1,500 ke sebuah akaun bank lain milik individu tidak dikenali sebelum sekali lagi dihubungi suspek.

Tambah Mohd. Wazir, semasa dihubungi buat kali ketiga, mangsa dimaklumkan pakej Diamond juga telah ditutup dan menawarkan pula empat jenis pakej lain yang memerlukan modal antara RM900 hingga RM6,100.

"Mangsa memilih pakej C dengan modal RM3,450 yang menjanjikan pulangan RM152,000. Selepas wang dimasukkan, mangsa dihubungi dan dimaklumkan telah meraih untung tetapi perlu menjelaskan yuran pengeluaran wang sebanyak RM7,760," katanya.

Mohd. Wazir menambah, mangsa memasukkan wang RM6,110 pada 15 Mac lalu tetapi diarahkan pula membayar cukai bank sebanyak RM3,160 sebelum menyedari ditipu.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub semalam dan kes disiasat mengiku Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

Sumber: Kosmos Online (3 April 2019)

No comments:

Post a Comment