Terkini

Sunday 6 April 2014

Kewangan Islam Diunjur Berkembang Kukuh Pada 15 Peratus Tahun Ini, Kata IBFIM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Industri kewangan Islam akan terus berkembang kukuh tahun ini, dan dijangka merekodkan purata pertumbuhan 15 peratus, kata Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM).

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM Datuk Dr Adnan Alias berkata pertumbuhan itu sebahagian besarnya dirangsang oleh peningkatan dalam pembangunan bakat dalam negara, selain kadar penyertaan dalam Pensijilan Kelayakan dalam Kewangan Islam (CQIF), kelayakan utama dalam kewangan Islam.

Bercakap kepada Bernama, beliau juga berkata 'IBFIM Online', pembelajaran dalam talian (e-Pembelajaran) pertama di Malaysia bagi pensijilan industri kewangan Islam, juga akan membantu meningkatkan pertumbuhan itu, katanya.

"Dalam sesetengah kes, pensijilan diwajibkan sebelum seseorang boleh melibatkan diri dalam industri itu (profesional industri). Ia adalah standard yang ditetapkan bagi memastikan kecekapan dan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.

"e-Pembelajran merupakan kaedah baharu pembelajaran yang memudahkan, fleksibel dan memberi akses pembelajaran kepada bakat dalam industri berkenaan, sekali gus meningkatkan bilangan penyertaan dalam program pensijilan.

"Apabila semakin ramai yang mengguna pakai amalan kewangan Islam, ia pastinya akan memudahkan pertumbuhan industri serta perdagangan dan pembangunan ekonomi dalam negara secara menyeluruh," katanya selepas melancarkan 'IBFIM Online' di sini pada Sabtu.

e-Pembelajaran dibangunkan bersama oleh IBFIM, Bank Negara Malaysia dan penggiat industri itu yang disediakan untuk merangsang inisiatif pembangunan bakat menerusi platform yang menarik.

IBFIM ialah institut yang mengawal atur industri itu dengan matlamat memenuhi keperluan pemegang kepentingan industri kewangan Islam dalam pembangunan bakat dan perniagaan.

Antara institusi kewangan yang mempunyai keyakinan dalam pembangunan bakat masing-masing dalam kewangan Islam termasuk Public Bank, MBSB, Maybank, Standard Chartered, Takaful Ikhlas, CIMB, Etiqa, dan Bank Islam.

Bagi meningkatkan kehadirannya di peringkat serantau dan dunia, IBFIM turut menjalin kerjasama akademik dengan universiti dan institusi pendidikan tinggi swasta dalam dan luar negara.

Antaranya Jabatan Pengajian Politeknik, Universiti Utara Malaysia, Universiti Tun Abdul Razak, Bayero University of Nigeria, dan dijangka menandatangani memorandom persefahaman dengan Emirates Institute for Banking and Financial Studies, Emiriah Arab Bersatu.
-- BERNAMA

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment