Terkini

Thursday 3 April 2014

Perbankan Islam jadi fokus - Peter Sands

KUALA LUMPUR 3 April 2014 - Bank global, Standard Chartered PLC berpendapat segmen perbankan Islam bakal menjadi fokus pada masa hadapan kerana kedudukannya kini telah mengatasi segmen perbankan konvensional.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Peter Sands berkata, perkembangan itu sesuatu yang positif kerana cawangannya di Malaysia merupakan hab perbankan Islam yang menawarkan produk bertaraf global memandangkan permintaan terhadap segmen itu telah mula diterima di seluruh dunia.
Beliau berkata, sehubungan itu syarikat perbankan global tersebut akan meneruskan pelaburannya di Malaysia dari segi keupayaan sumber manusia, infrastruktur, teknologi, produk dan sebagainya.
“Kami melihat perbankan Islam mempunyai peluang yang besar dan kita mempunyai hab kewangan Islam yang bertaraf global di Malaysia," katanya pada sidang akhbar sempana lawatannya ke Malaysia, di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Malaysia, Osman Tarique Morad.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, Malaysia merupakan pasaran yang penting dan satu daripada pasaran yang terbesar di dunia dengan menghasilkan pertumbuhan memberangsangkan.
Semua segmen produk perbankan di Malaysia katanya, tetap menjadi fokus tetapi pada masa yang sama tidak boleh menafikan tentang kepentingan segmen perbankan Islam.
Kata beliau, terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih rendah sumbangannya selain perniagaan peruncitan perbankan.
“Banyak syarikat Malaysia yang melabur merentas ASEAN serta dunia, dan kami mempunyai jaringan kerja yang baik dan luas dengan mempunyai cawangan yang banyak di ASEAN," kata beliau.
Berhubung dengan pertumbuhan ekonomi serantau, Sands berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Asia dan Asia Barat dijangka lebih kukuh berbanding tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, terdapat sedikit ketidaktentuan pada awal tahun disebabkan faktor seperti pilihan raya di India dan Indonesia.
China pula begitu agresif dalam agenda reformasi ekonominya dan kekal positif, tetapi proses peralihan itu kelihatan mencabar, jelas beliau lagi.
Pada sidang akhbar itu juga, beliau melahirkan rasa sedih dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
“Walaupun terdapat teknologi yang canggih, namun dalam sesetengah keadaan, adalah sukar untuk memberi penjelasan yang boleh difahami," kata Sands.
- Utusan Malaysia
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment