Terkini

Thursday, 18 December 2008

Maybank Islamic lancarkan kemudahan Pembiayaan Berjangka-i Musyarakah Mutanaqisah (MMTF-i)

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Maybank Islamic Bhd. (Maybank Islamic) hari ini melancarkan kemudahan pembiayaan berasaskan Syariah yang baru, Pembiayaan Berjangka-i Musyarakah Mutanaqisah (MMTF-i) yang dikhususkan untuk pelanggan korporat dan perniagaan.
Maybank Islamic dalam satu kenyataan berkata, MMTF-i adalah kemudahan pembiayaan untuk pembelian aset dan pembiayaan semula hartanah atas tanah, loji dan mesin, kapal-kapal dan kenderaan komersial.
Maybank Islamik berkata, MMTF-i disasarkan menyumbang antara 10 hingga 15 peratus kepada portfolio pembiayaan Maybank Islamic bagi tahun kewangan depan.
''Sehingga kini, Maybank Islamic mempunyai lebih RM8.2 bilion pembiayaan yang belum dijelas oleh sektor perniagaan," katanya lagi.
Kontrak untuk MMTF-i berdasarkan prinsip-prinsip Islam Musyarakah Mutanaqisah atau konsep perkongsian yang semakin berkurangan.
Para pelanggan yang bakal mengambil pembiayaan itu akan memeterai Perjanjian Pemilikan Bersama Musyarakah Mutanaqisah dengan Maybank Islamic untuk bersama-sama membeli dan memilik aset itu.
Bank itu akan memajakkan aset sahamnya kepada pelanggan manakala pelanggan berkenaan perlu membayar bayaran bulanan yang terdiri daripada sewa dan pembelian untuk mengambil alih sebahagian daripada aset dari bank.
Pemilikan hartanah itu akan berlaku secara berperingkat-peringkat dan pembiayaan hanya selesai apabila pelanggan tersebut memiliki 100 peratus hartanah itu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ibrahim Hassain berkata, "Kami berasa bangga dapat menawarkan kemudahan alternatif ini sebagai melengkapi Pembiayaan Berjangka-i sedia ada untuk pelanggan menguruskan pembelian aset dan pembiayaan semula."
Menurutnya, konsep Musyarakah Mutanaqisah diterima secara global dan ditawarkan untuk pelanggan tempatan dan asing.
''Pengenalan kemudahan terbaru ini walaupun dalam keadaan semasa yang mencabar adalah komitmen kami memberi perkhidmatan tambah nilai kepada pelanggan dan mengekalkan momentum pertumbuhan perniagaan," kata beliau.
MMTF-i ditawarkan pada kadar pembiayaan yang kompetitif dan di bawah kadar tetap dan terapung serta pelanggan juga layak menikmati pelepasan cukai setem sebanyak 20 peratus.
MMTF-i adalah produk perbankan aliran utama ketujuh Maybank Islamic sejak ia memulakan operasi pada 1 Januari tahun ini.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment