Terkini

Monday 6 October 2014

Perbankan Islam harap insentif pembangunan akaun pelaburan

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Industri perbankan Islam tempatan berharap kerajaan di bawah Bajet 2015 akan menyediakan insentif bagi memudahkan pembangunan akaun pelaburan, sebagai contoh elaun modal bagi pelaburan dalam prasarana teknologi maklumat (IT).

Pengarah Urusan Bank Islam Bhd., Datuk Seri Zukri Samat berkata, industri itu akan mendapat manfaat daripada insentif tersebut, kerana dalam kes bank-bank Islam, ia berkaitan dengan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013, dan terutamanya dengan rancangan pelaksanaan pelan peralihan deposit pada 30 Jun 2015.

Di bawah pelan tersebut, akaun pelaburan dan deposit perlu dibezakan dengan jelas.

Akaun Pelaburan merupakan akaun di mana di bawahnya wang dibayar dan diterima bagi tujuan tunggal pelaburan dan justeru itu, ia bukan dijamin modal berbanding akaun deposit.

Zukri juga mencadangkan kerajaan mendidik rakyat tentang kewangan Islam serta mengembangkan IFSA 2013, yang bertujuan untuk menyediakan kejelasan lebih baik tentang kawal selia, meningkatkan kestabilan kewangan dan rangka kerja Syariah yang lebih mantap.

"Kita perlu memastikan rakyat memahami sepenuhnya konsep kewangan Islam, dengan langkah ke arah sistem kewangan berasaskan ekuiti, di mana pengambilan risiko berlaku.

"Saya berpendapat, sistem pendidikan kita perlu memperkenalkan kewangan Islam kepada pelajar seawal peringkat sekolah rendah untuk menggalakkan pemahaman tentang subjek tersebut," katanya.

Bajet 2015, yang bertemakan, 'Meningkatkan Pertumbuhan, Memastikan Kemampanan Fiskal dan Memakmurkan Rakyat', akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 10 Oktober ini.
Ia adalah bajet terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Sementara itu, Maybank Islamic Bhd. dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) berharap kerajaan akan terus menyokong industri kewangan Islam menerusi peruntukan dana dalam Bajet 2015.

Presiden AIBIM Datuk Mohd. Reza Shah Abdul Wahid berkata, industri itu akan kekal disokong menerusi pelaksanaan insentif oleh kerajaan bagi membolehkan industri berkembang sejajar dengan Pelan Induk Sektor Kewangan dan Pelan Induk Pasaran Modal.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Muzaffar Hisham berpendapat kerajaan eharusnya menyemak semula dengan menurunkan kadar cukai pendapatan dan cukai korporat susulan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April tahun depan.

"Saya rasa GST adalah langkah yang betul untuk memperoleh hasil yang lebih besar. Tetapi dengan semakan semula cukai, ia akan membantu mewujudkan keseimbangan yang baik bagi merangsang pertumbuhan negara tanpa menjejaskan pembiayaan sektor awam, hasil dan seterusnya," katanya.

Sementara itu, Zukri berharap peneutralan cukai GST diberikan kepada bank-bank Islam bagi memudahkan kontrak atau urus niaga syariah yang menarik GST dengan memberi contoh jualan berasaskan kontrak seperti bagi urus niaga Komoditi Murabahah perlu dikecualikan GST.


(Utusan Online / 02 Oktober 2014)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment