Terkini

Wednesday, 8 October 2014

Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM anjur iCEPS10

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Fakulti Ekonomi Dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menganjurkan Konvensyen Keusahawanan Islam kali ke-10 (iCEPS10) bertemakan 'Reviving Sunnah And Internationalization' mulai 13 hingga 16 November ini di Dewan Besar kampus universiti itu di Nilai, Negeri Sembilan.

Konvensyen tersebut anjuran mahasiswa tahun akhir Fakulti Ekonomi dan Muamalat di bawah bimbingan pensyarah fakulti itu, Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali dan Dr. Izlawanie Muhammad.

Program itu merupakan kesinambungan daripada dasar akademik fakulti berkenaan untuk mengadakan lawatan industri bagi pelajar tahun satu, lawatan sambil belajar ke institusi-institusi luar negara bagi pelajar tahun dua, menganjurkan konvensyen bagi pelajar tahun tiga serta latihan industri untuk pelajar tahun empat.

Malah, setelah melihat kejayaan iCEPS pada tahun sebelum ini, pihak universiti khususnya Fakulti Ekonomi Dan Muamalat telah melakukan sedikit perubahan dengan memberi peluang kepada ahli-ahli iCEPS10 untuk turut menganjurkan Pesta Konvo Ke-12 pada 13 hingga 16 November ini di Dewan Besar USIM.

Dekan Fakulti Ekonomi Dan Muamalat USIM, Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin berkata, pelaksanaan program tersebut diharap dapat memberi peluang serta pengalaman baharu kepada para pelajar.

"Program ini diharap dapat meningkatkan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar melalui aspek pengurusan organisasi, kemahiran berfikir serta membina keyakinan diri melalui pelbagai usaha dan aktiviti.

"Selain itu, program ini juga dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan ilmu pengajian sepanjang berada di universiti dan peluang kepada mereka untuk mendalami bidang keusahawanan Islam selaras dengan objektif konvensyen iaitu memberikan pengetahuan dan pemahaman yang jelas kepada pelajar terhadap bidang keusahawanan Islam berteraskan al-Quran dan Sunnah," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Yang turut hadir menyaksikan taklimat kepada petugas yang terlibat dalam iCEPS10 ialah Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal Pelajar) USIM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Asin Dollah.

Tambah beliau, konvensyen tersebut juga mampu mendidik masyarakat tentang keusahawanan Islam serta mengetengahkan profesionalisme industri berkaitan Islam di persada dunia melalui program yang akan diadakan seperti forum, seminar, konsert dan sebagainya.

"Program seperti ini dapat memberi peluang kepada mahasiswa untuk bersama masyarakat serta menerapkan nilai-nilai Islam dalam aktiviti yang akan diadakan.

"Malah, penganjurannya pada kali ini juga diharap dapat mempromosikan lagi USIM kepada masyarakat umum sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menekankan aspek penjenamaan Islam dalam pelbagai industri yang seterusnya membawa nama USIM ke seluruh negara," katanya.

Konvensyen itu juga bertujuan merealisasikan lagi agenda kerajaan iaitu meningkatkan golongan usahawan dalam kalangan bumiputera dan seterusnya meningkatkan perkembangan ekonomi negara.

(Utusan Online / 07 oktober 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment