Terkini

Monday 13 October 2014

Laporan Ekonomi: Malaysia kekal terajui pasaran modal Islam

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Malaysia kekal menerajui pasaran modal Islam apabila ia terus mengukuh dengan mempromosi dan mewujudkan secara aktif pasaran sukuk yang cergas melalui peruntukan perundangan yang menyokong perbankan dan pasaran modal.

Menurut Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi 2014-2015 yang dikeluarkan hari ini negara mempunyai asas yang besar bagi pelabur institusi tempatan iaitu dana pencen, bank dan syarikat insurans untuk mengekalkan pertumbuhan pasaran sukuk.

Pada akhir Julai tahun ini, sebanyak 664 sekuriti patuh Syariah disenaraikan di Bursa Malaysia, mewakili 73.2 peratus daripada jumlah sekuriti tersenarai dengan jumlah permodalan pasaran sebanyak RM1,084.5 bilion dan jumlah dagangan sekuriti patuh Syariah meningkat kepada 205 bilion unit dengan nilai RM199.8 bilion.

"Pasaran sukuk domestik telah berkembang dengan pesat dan Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai penerbit sukuk terbesar di dunia, mencakupi 57.3 peratus atau US$161 bilion daripada sukuk terkumpul global dan 63 peratus atau US$41.7 bilion daripada terbitan sukuk dalam enam bulan pertama tahun ini," katanya.

Laporan itu dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan.

Menurut laporan itu Bursa Suq Al-Sila's (BSAS), platform pelbagai komoditi dan pelbagai mata wang yang mematuhi Syariah pertama di dunia, terus berkembang dengan bilangan peserta BSAS meningkat kepada 85, terdiri daripada 64 peserta dagangan komoditi dan 17 peserta asing pada akhir Julai tahun ini.

"Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, perolehan dagangan meningkat 28 peratus kepada RM3.8 bilion dengan RM386 bilion komoditi ditawarkan dan RM756.6 bilion telah didagangkan," katanya.

Sementara itu, menurut laporan itu, industri perbankan Islam telah menunjukkan pertumbuhan ketara dalam tempoh lima tahun lepas, dengan aset hampir dua kali ganda daripada RM303.2 bilion pada akhir 2009 kepada RM558.2 bilion pada akhir 2013.

Pada akhir Julai tahun ini, jumlah aset sistem perbankan Islam (termasuk DFI) meningkat 9.7 peratus kepada RM580.8 bilion.

"Jumlah deposit dalam sistem perbankan Islam meningkat 13 peratus kepada RM458.9 bilion pada akhir Julai tahun ini. Dalam tempoh yang sama, jumlah pembiayaan sistem perbankan Islam meningkat 16.1 peratus kepada RM399.1 bilion.

"Pertumbuhan yang kukuh dalam sistem perbankan Islam juga telah menghasilkan bahagian pasaran yang lebih tinggi daripada aset perbankan Islam (termasuk DFI) telah mencapai 25.1 peratus daripada jumlah aset sistem perbankan pada akhir Julai tahun ini," katanya.

(Utusan Online / 10 Oktober 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment