Terkini

Monday 3 November 2014

Kejayaan perbankan Islam

Dubai: Kemudahan pembiayaan projek Stesen Tenaga Battersea (BPS) Fasa 3 di London bernilai 467 juta pound selesai, semalam menerusi pembiayaan sepenuhnya melalui kemudahan Islam.

Pengumuman mengenai penyelesaian kemudahan terbabit dibuat di sini dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Maybank Islamic Bhd daripada Maybank Group berjaya secara bersama menstruktur kemudahan Islam bersindiket untuk Fasa 3 projek berkenaan.

Daripada keseluruhan pembiayaan 467 juta pound, 200 juta pound dibiayai Maybank Islamic manakala pembiaya lain iaitu CIMB Bank Bhd dan Standard Chartered Bank Bhd berkongsi baki pembiayaan secara sama banyak.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Muzaffar Hisham berkata, kemudahan pembiayaan bersindiket itu sejajar agenda kerajaan Malaysia bagi mengantarabangsakan pembiayaan Islam dan meningkatkan kesinambungan pembiayaan Malaysia menjangkaui sempadannya.

Menurutnya, ia menyokong gesaan bank Islam mega menjadi cergas dari segi pembiayaan untuk menyokong perdagangan antarabangsa dan aktiviti pelaburan rentas sempadan.

Muzaffar berkata, ciri inovatif kemudahan pembiayaan itu sejajar tema Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-10 iaitu ‘Perkongsian Inovatif Untuk Pertumbuhan Ekonomi’ dan sejarah untuk industri kewangan Islam global dari segi inovasi dan skala.

“Kami gembira mengambil bahagian dalam projek ini dan berharap bekerjasama dengan BPS dan semua pembiaya bagi merealisasikan potensi projek ini,” katanya.

Hasil kemudahan Islam bersindiket itu akan digunakan untuk membiayai sebahagian pembayaran awal pembiayaan tanah BPS sedia ada serta membiayai sebahagian daripada kos Fasa 3 projek berkenaan.
BPS sebelum ini mengumumkan kejayaan penyelesaian pembiayaan berjumlah 1.35 bilion pound untuk Fasa 2 dan Fasa 3 projek itu di London pada Selasa.

Hanya Fasa 3 akan dibiayai melalui kemudahan Islam manakala Fasa 1 dan 2 melalui kemudahan konvensional.

Pengerusi Maybank Islamic, Datuk Seri Ismail Shahudin, Pengerusi Battersea Project Holding Co Ltd, Tan Sri Liew Kee Sin dan Ketua Pegawai Kewangan BPS Development Co, Simon Murphy turut hadir di majlis itu.

Fasa 3 BPS dianggar mempunyai nilai pembangunan kasar 2.14 bilion pound.

Komponen kediaman Fasa 3 itu yang disasar untuk dilancarkan di peringkat global pada 31 Oktober 2014, menjadi gerbang kepada keseluruhan pembangunan, menyambungkan stesen kereta api baharu Northern Line Extension ke bangunan Power Station melalui High Street manakala elemen kediaman menyumbang kepada komuniti kawasan berkenaan.

Fasa 3 akan mengandungi sekurang-kurangnya 538 unit kediaman manakala untuk Fasa 3A sekurang-kurangnya 669 unit kediaman dan sekurang-kurangnya 103 unit kediaman mampu milik untuk Fasa 3B dan kira-kira 412,364 kaki persegi kawasan dalaman bersih komersial.

Dua daripada pengamal seni bina paling inovatif dan terkenal dunia, Foster + Partners dan Gehry Partners, telah dilantik sebagai arkitek utama dalam usaha memaksimumkan sumbangan nilai.

Maybank Islamic adalah peneraju bank Islam ASEAN dan bank komersial Islam terbesar di Malaysia dengan penguasaan pasaran 31 peratus pembiayaan Islam dan deposit sebanyak 25 peratus.

Setakat separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, jumlah aset Maybank Islamic bernilai RM132.3 bilion dengan mencatat pertumbuhan 26 peratus tahun ke tahun.

Liew sementara itu menyatakan penghargaannya kepada Perdana Menteri berikutan kejayaan melaksanakan projek itu.

“Saya mengetuk pintunya pada 2011 untuk meminta tolong. Dengan magik beliau projek itu dapat dilaksanakan dengan mudah.

“Saya bukan sesiapa. Dengan magik beliau, semua orang mula menghubungi saya. Semua pihak di UK memberi kerjasama yang sangat baik,” katanya.

(My Metro / 03 November 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment