KUALA LUMPUR 11 Nov. - Negara-negara Asia terutama Asia Barat dan Asia Tenggara berpotensi untu meluaskan industri kewangan Islam seandainya mereka menyedari perubahan berjangka panjang dalam aktiviti ekonomi global, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Baginda bertitah, Asia menyaksikan kadar penjanaan kekayaan yang menakjubkan dan ini boleh melonjakkan kewangan Islam, penjanaan aset dan perkhidmatan pengurusan aset ke peringkat seterusnya.
Menurut baginda, beberapa analisis meramalkan bilangan individu berpendapatan tinggi di rantau ini akan melebihi mereka yang berada di Amerika Utara dan Eropah menjelang hujung tahun ini.
“Rantau ini dijangka akan menyumbang lebih 50 peratus kepada kepada pertumbuhan global sehingga 2018. Dari segi purata, ia dijangka tumbuh hampir dua kali lebih pantas dari rantau lain seluruh dunia dan akan didorong terutamanya oleh pengembangan golongan pertengahan.
“Menjelang 2030, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) meramalkan Asia akan merangkumi 66 peratus penggunaan daripada golongan pertengahan, naik lebih enam kali ganda kepada 3.2 bilion orang dari 525 juta pada 2009,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berucap pada majlis perasmian Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2014 (KLIFF 2014) kali ke-11 di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Badlisyah Abdul Ghani.
Sultan Nazrin bertitah, ASEAN pula merupakan rantau berkembang pesat dengan populasi 600 juta iaitu separuh dari populasi China dan dua kali ganda dari Amerika Syarikat (AS) dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kira-kira AS$2.3 trilion (RM7.7 trilion).
“OECD meramalkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.5 peratus setiap tahun sehingga 2017.
“Keperluan pembiayaan ASEAN adalah besar dalam masa sekurang-kurangnya dua dekad akan datang. Bank Pembangunan Asia (ADB) menjangka sebangak AS$60 bilion (RM200 bilion) setahun sehingga 2016 dan mungkin juga pada tahun-tahun seterusnya,” titah baginda lagi.
(Utusan Online / 11 November 2014)
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com
No comments:
Post a Comment