Terkini

Wednesday 8 October 2014

BNM, JICA latih PMA kewangan Islam

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) menganjurkan program selama 10 hari kepada delegasi Pihak Berkuasa Kewangan Palestin (PMA) bagi mendedahkan amalan kewangan Islam moden kepada negara Asia Barat itu.

Program bermula hari ini itu turut mendapat kerjasama Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), dengan harapan pendedahan kewangan Islam tersebut dapat meningkatkan mutu peraturan kewangan di negara berkenaan yang terjejas teruk akibat ditekan oleh Israel.

Ketua Bahagian Pemantauan Perbankan Tempatan PMA, Mustafa Abu Salah berkata, program itu amat penting memandangkan Malaysia mempunyai pengalaman yang luas di dalam kewangan Islam.

"Malaysia telah mempunyai asas perundangan serta kemahiran teknikal di dalam perbankan Islam, lebih-lebih berkaitan peraturan Basel II. Kami hanya mengetahui Basel II berkaitan perbankan konvensional, harap kami dapat belajar sesuatu," katanya kepada Utusan Malaysia selepas perasmian program pendedahan itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Gabenor BNM, Bakarudin Ishak dan Duta Palestin ke Malaysia, Anwar Al-Agha.

Walaupun Palestin menghadapi tekanan politik dan sosial daripada Israel, sektor perbankan di negara Islam itu masih mampu bertahan. Sehingga kini, terdapat 17 bank beroperasi di Palestin dengan nilai aset terkumpul sebanyak AS$12 bilion (RM38.4 bilion).

Sebanyak 10 daripada 17 bank itu merupakan bank asing yang hampir sebahagian besarnya dari Jordan. Sementara tujuh bank lagi merupakan bank tempatan dengan dua daripadanya perbankan Islam.

Program pendedahan selama seminggu itu merangkumi aspek-aspek di dalam perbankan Islam, takaful, sistem dan perundangan serta operasi perbankan Islam di Malaysia.

Delegasi Palestin itu akan turut didedahkan mengenai pelaksanaan perbankan Islam mengikut perundangan Basel II. Perundangan Basel II adalah piawaian antarabangsa mengenai bagaimana sesebuah bank mengawal modal mengikut risiko.

(Utusan Online / 22 September 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment