Terkini

Wednesday, 11 September 2013

Memahami Polisi Takaful

Polisi takaful merupakan kontrak di antara peserta takaful dengan pengendali takaful.  Dalam Syariat Islam orang yang berkontrak atau membuat perjanjian masing-masing diingatkan supaya menyempurnakan kontrak atau perjanjian yang mereka lakukan.  Dalam satu fiman Allah yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian" , (Al-Maidah, ayat 1).

Dalam perundangan sivil di Malaysia, sumber utama undang-undang kontrak adalah Akta Kontrak 1950 danCommon Law iaitu prinsip-prinsip yang diputuskan di dalam kes-kes mahkamah.  Perjanjian adalah kontrak dan boleh dikuatkuasakan melalui undang-undang. 

Walaupun begitu, dari kaca mata undang-undang sivil bukan semua perjanjian boleh dikuatkuasakan di mahkamah kerana bukan semuanya memenuhi ciri-ciri kontrak. 

Contoh ringkas perjanjian yang tidak bercirikan kontrak mengikut undang-undang sivil ialah seperti Ali berjanji dengan Ahmad untuk berjumpa petang esok di restoran A. Pada keesokannya Ali tidak muncul-muncul di restoran A. Secara umumnya Ahmad tidak boleh menyaman Ali kerana mungkir janji untuk berjumpa di situ.  Walaupun begitu dari aspek Syariah Islam, Ali berdosa kerana mungkir janji.

Di kalangan kita sudah tentu ada yang mengambil pelan takaful, khasnya takaful keluarga.  Bagi yang telah menyertai pelan takaful keluarga, adakah kita benar-benar memahami isi kandungan polisi takaful yang disertai?.  

Untuk memenuhi tuntutan kontrak takaful maka peserta perlu memahami kandungan dan ciri-ciri polisi takaful. Peserta tidak sepatutnya hanya mendengar penjelasan lisan daripada pihak kedua seperti wakil takaful sahaja. 

Kita ada mendengar peserta takaful yang mengeluh kerana tidak dapat membuat tuntutan daripada polisi takaful mereka.  Selalu yang berlaku ialah faktor tidak dapat membuat tuntutan adalah kerana manfaat perlindungan yang dituntut sebenarnya tidak termasuk dalam pelan takaful yang disertai.  Oleh itu, punca utama peserta tidak berpuas hati adalah akibat tidak memahami atau kurang mengambil perhatian kandungan manfaat perlindungan dan syarat dalam polisi takaful.  

Dalam polisi takaful keluarga, terma penting yang perlu kita fahami termasuklah manfaat asas perlindungan takaful (pampasan kematian atau cacat kekal), manfaat tambahan, pengendali takaful, peserta, nyawa yang dilindungi, sumbangan dan juga penama.    

Perlu kita maklumi dalam kontrak ada ijab dan qabul (tawaran dan penerimaan).  Jadi dalam takaful, pengendali takaful akan membuat tawaran kontrak dan syarat kepada bakal peserta seperti terkandung dalam polisi dan dokumen tambahan polisi.  Jika peserta bersetuju, maka ini merupakan penerimaan kepada tawaran tersebut tertakluk kepada syarat penilaian kelayakan oleh pengendali takaful.

Kita perlu tahu bahawa penerangan tentang takaful oleh wakil takaful bukan satu penawaran tetapi ia merupakan promosi, jemputan kepada bakal peserta untuk menerima tawaran yang sebenar daripada pengendali takaful.

Apabila peserta mengisi dan menandatangani borang cadangan takaful, itu merupakan langkah pertama bakal peserta menerima tawaran daripada pengendali takaful.  Pengendali takaful akan melakukan proses penilaian atau pengunderaitan kelayakan sebelum memuktamadkan kesahihan untuk menerima atau tidak bakal peserta menyertai pelan takaful yang  mereka tawarkan.

Penerimaan peserta menyertai takaful menjadi muktamad setelah pengendali takaful melulus dan mengeluarkan polisi takaful kepada peserta.  Tetapi jika polisi yang dikeluarkan kepada peserta disertakan dengan beberapa syarat seperti perlu menyempurnakan soal jawab tertentu terlebih dahulu, maka soal jawab itu perlu disempurnakan untuk layak diterima sebagai peserta takaful.

Perlu dingatkan dari tarikh peserta takaful menerima polisi mereka, satu tempoh bertenang diberi dalam masa 10 hingga 14 hari mengikut pengendali takaful masing-masing agar peserta merujuk, memahami terma-terma manfaat perlindungan asas, tambahan dan pengecualian dalam pelan takaful yang diambil seperti yang termaktub dalam polisi takaful berkenaan.

Dalam tempoh ini jika peserta berpuas hati dengan terma-terma seperti yang dicatat dalam polisi takaful, maka mereka boleh meneruskan plan takaful dengan pengendali takaful berkenaan.  Sebaliknya jika tidak berpuas hati, peserta takaful dalam tempoh bertenang ini boleh membatalkan pelan takaful yang baru diambil dan mereka mempunyai hak untuk menuntut semula wang sumbangan pertama bayaran takaful yang telah dibuat.

Kontrak takaful ini sebenarnya lebih mengikat, meletakkan liabiliti tuntutan kepada pengendali takaful.  Peserta pula bertanggungjawab untuk menyumbang secara berjadual.  Walaupun begitu, jika peserta tidak menyumbang mengikut jadual masa yang ditentukan, pengendali takaful tidak boleh meminta ganti rugi atau memaksa peserta untuk menyumbang.  Apa yang pengendali takaful boleh lakukan ialah membatalkan pelan takaful peserta jika peserta takaful gagal menyumbang.

Secara amnya peserta takaful perlu memahami terma-terma bertulis dalam polisi takaful untuk mengetahui manfaat-manfaat perlindungan dan pengecualian perlindungan dalam pelan takaful yang mereka sertai.  Untuk penjelasan manfaat lebih lanjut dan tepat, mereka boleh merujuk kepada pengendali takaful sendiri. Dengan memahami polisi takaful, peserta takaful bukan sahaja dapat menyempurnakan tuntutan kontrak tetapi juga mengetahui hak-hak mereka untuk membuat tuntutan dan dapat mengelakkan sebarang salah faham terhadap pengendali takaful.

(IKIM/Mohamad A'sim bin Ismail)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Kepentingan Perancangan Kewangan

Masyarakat yang merdeka memiliki kebebasan kewangan. Bebas membuat pilihan dan keputusan dengan kemahiran kewangan serta tidak terikat dengan kongkongan hutang, keterbatasan kuasa beli, kelegaan dari liabiliti jangka panjang dan beban psikologi krisis kewangan. Fenomena terkini yang amat ketara ialah skim pembelian secara ansuran mudah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Perkara ini timbul kerana wujudnya permintaan yang merangsang pertumbuhannya. Tanpa disedari, ramai pengguna memilih membeli barangan menerusi skim ini kerana keupayaan kuasa beli untuk membeli secara tunai terhad. Situasi ini secara tidak langsung juga menggambarkan hilangnya sikap menyimpan dan melabur.

Secara umum, kita tidak mempunyai sumber pendapatan yang aktif dan terlalu dinamik sekarang dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, lebih ketara lagi apabila berada dalam tempoh persaraan. Kita cenderung memilih untuk menghabiskan tempoh lazim persaraan dalam keadaan yang tenang dan santai. Sedangkan, kos sarahidup tidak pernah bersara malah semakin hari semakin meningkat terutamanya perbelanjaan perubatan. Dalam masa yang sama, kita masih leka tentang kepentingan pelaburan. Kalau dulu kita berada dalam suasana kampung, hidup di dalam satu institusi keluarga yang kukuh. Setelah bersara atau tidak bekerja, ibubapa yang tiada pendapatan tinggal bersama anak-anak mereka atau dalam kelompok kejiranan berdekatan serta saling bantu membantu. Inilah pegangan masyarakat kita dahulu yang memegang nilai sebagai landasan hidup. Dengan pendapatan yang kecil, mereka berjaya membesarkan anak-anak dengan kecukupan pendidikan, akhlak, keperluan asas dan sebagainya. Berbeza dengan situasi sekarang. Kemudahan pinjaman, keperluan seharian dan pengaruh persekitaran menjadikan kita keliru dan terkadang gagal menjustifikasikan tindakan. Persediaan yang sepatutnya perlu dibuat bermula dari sekarang iaitu membuang sifat negatif terhadap kebendaan dan membina nilai diri dan keluarga dengan keperluan dan kelengkapan sarahidup yang bukan sahaja dari aspek kewangan malah ilmu pengetahuan serta pengisian menyeluruh rohani, mental dan fizikal.

Ini adalah kerana peningkatan kos dan kadar inflasi tidak menentu meningkat. Nilai yang berada di dalam pegangan kita juga ikut tidak menentu menurun dengan kenaikan harga barang atau penyusutan kuasa beli wang kita. Tidak kurang juga pengaruh luaran lain memberi kesan kepada nilai yang kita ada. Hubungan songsang diantara nilai pegangan dengan kos, kadar inflasi dan lain-lain ini menuntut kita berbuat sesuatu supaya kita tidak terus rugi atau sekurang-kurangnya dapat mempertahankan nilai wang yang kita pegang. Nilai aset kita tidak statik, begitu juga dengan umur dan keupayaan kita. Sekiranya baik sikap dan tindakan kita, maka baiklah hasilnya. Walaupun masa yang sama diperuntukan kepada setiap orang iaitu 24 jam sehari, tetapi terdapat berbagai tahap keupayaan kewangan di antara individu. Yang cuai dan mengikut nafsu akhirnya terkandas di waktu-waktu kritikal apatah lagi setelah umur menjangkau ke tahap kurang produktif.

Rasullullah s.a.w berpesan, rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa muda sebelum masa tua, sihat sebelum sakit, masa berharta sebelum masa miskin, lapang sebelum sibuk, masa hidup sebelum mati. Maka sewajarnyalah hadith ini diaplikasikan untuk kebaikan dengan perancangan kewangan yang bijak Yang jelas, pelaburan mesti direbut dengan bertindak dari sekarang.

Bayangkan sekiranya kita hanya mempunyai kurang daripada RM50,000 wang KWSP apabila tiba umur persaraan dan dalam keadaan kita tidak bekerja. Jumlah ini sememangnya tidak mencukupi untuk menampung kehidupan di masa umur emas. Dengan peruntukan sebanyak RM1,000 sebulan, duit tersebut boleh habis dalam tempoh 4 tahun sahaja. Itupun dengan andaian sekiranya RM1,000 sebulan dibelanjakan dan belum diambilkira dari segi kos-kos yang wajib dalam menyelesaikan liabiliti tertangguh sebelumnya.

Langkah penting dalam perancangan kewangan adalah pelan pelaburan. Perancangan ini hendaklah bermula dari sekarang. Pelan pelaburan bukan lagi satu pilihan malah menjadi ï¿½suatu kemestian kepada setiap individu. Seorang ketua keluarga perlu merancang ketahanan sumber pendapatan keluarganya untuk masa yang mendatang. Seorang bapa yang sedar kepentingan pendidikan anak-anaknya, perlu mula melabur atau mencari pelan perancangan kewangan menyokong pendidikan anak-anak, terutamanya dengan kos pendidikan yang tinggi dan ketidakpastian bantuan kewangan dari sumber-sumber yang dulunya boleh diharapkan.

Antara tindakan yang perlu diambil kira adalah seperti berikut:
  • Pelaburan bermula dengan mempunyai duit yang lebih. Malangnya, tidak ramai di antara kita mempunyai lebihan wang sama ada bekerja sendiri atau makan gaji. Kalau berlebihanpun, bukanlah seberapa kerana keperluan masa kini amat mencabar sehinggakan kadang-kadang pendapatan gagal berlebih malah tidak mencukupi. Di sinilah titik tolak yang akan membezakan orang yang merancang dengan orang yang tidak merancang. Kita hendaklah bijak berbelanja dan memperuntukan sebahagian pendapatan untuk membolehkan kita melabur. Pelaburan yang disandarkan kepada pinjaman semestinya akan rendah nilai apabila diambil kira modal yang tertakluk kepada keuntungan pihak ketiga yang memberi pinjaman.
  • Melengkapkan diri dengan kemahiran pengurusan kewangan. Seseorang individu hendaklah berbelanja dengan bijak untuk mengelak dari membelanjakan kepada perkara-perkara yang tidak memberi nilai tambah. Pendapatan yang banyak bukan bermakna seseorang itu kaya. Yang penting adalah bagaimana kita mengurus kewangan kita. Perbelanjaan perlu diutamakan kepada perkara asas yang menyumbang kembali kepada sumber pendapatan. Perbelanjaan sepatutnya berdasarkan keperluan utama dan bukan berdasarkan kepada pengaruh lain seperti iklan, rakan dan sebagainya. Sekiranya perbelanjaan dikaitkan dengan perkara-perkara sampingan, beban membayar nilai perkhidmatan atau barangan tersebut akan ditanggung oleh kita sendiri. 
  • Memahami pelaburan. Pelaburan adalah tindakan atau satu proses yang diambil pada wang atau aset kita dengan menjangkakan pulangan pada masa akan datang iaitu memperolehi hasil daripadanya. Seperkara yang perlu diberi perhatian adalah hasilnya tidak semestinyapositif. Oleh itu, kita mestilah mengkaji dengan terperinci sebelum sesuatu pelaburan membawa hasil sebagaimana yang dijangkakan. Kita perlu bukan sekadar mengetahui istilah-istilah pelaburan seperti risiko, pulangan, nilai masa duit, inflasi dan sebagainya tetapi tahu mengaplikasikan. Unsur-unsur penting pelaburan yang perlu didalami adalah:
    • Pelaburan jangka pertengahan kepada jangka panjang seperti kita jangkakan pulangan untuk tempoh 10 tahun ke 20 tahun akan datang.
    • Pelaburan hendaklah dibuat ke atas pelbagai asset atau industri dengan taburan yang sepatutnya.
    • Risiko yang minima berbanding pulangan atau pulangan secara relatif.
    • Mengambil kira kesan inflasi sebahagian daripada kos atau jangkaan kos inflasi.
  • Mengambil bahagian dalam pelaburan dengan kepelbagaian bidang seperti kewangan, hartanah atau sumber manusia seperti kemahiran tertentu yang bersesuaian dengan matlamat jangka panjang kita. Membangunkan kemahiran diri dengan menambah pengetahuan bagi kemahiran tertentu seperti membaikpulih kenderaan, menulis artikel kepada majalah-majalah dan sebagainya juga merupakan pelaburan.
Bertindaklah sekarang dengan membuat caruman ke akaun pelaburan sedia ada atau melakukan pelaburan sendiri. Adalah disarankan supaya pelan persaraan bermula dengan menguruskan pendapatan sedia ada dan dilaburkan di tempat yang terjamin serta boleh diharapkan. Unit amanah/saham amanah (unit trust/mutual fund) adalah salah satu contoh pelaburan yang baik. Kenapa? Kerana institusi ini mempunyai orang yang berkelayakan yang memang bekerja memberi keuntungan kepada pelabur. Memang ada kos ke atas perkhidmatan mereka tetapi sekurang-kurangnya kita tidak membayar dalam kerugian sekiranya kita kurang arif membuat pelaburan sendiri. Seperkara lagi yang tidak kurang pentingnya adalah mengenai peruntukan pelaburan perlu diasingkan dari peruntukan kecemasan. Peruntukan pelaburan tidak digalakkan digunapakai dalam keadaan kecemasan. Pelaburan yang didepositkan hendaklah tidak dikeluarkan walau apa keadaan sekalipun. Memandangkan banyak perkara yang perlu kita lakukan, biarlah orang yang mahir melakukan pelaburan bagi pihak kita.

Penekanan penting di sini ialah kesedaran tentang pentingnya tindakan awal, kemahiran mengurus kewangan, disiplin diri yang tinggi serta perancangan yang rapi. Berilah peluang hidup kita merdeka dari krisis kewangan yang dialami hasil dari kegagalan sendiri.
(IKIM/Mastura binti Mohd Zain)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday, 8 September 2013

Bank Islam Malaysia Berhad perkenal akaun simpanan tunai haji

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), memperkenalkan Akaun-i Labbaik bercirikan Perlindungan Takaful yang membolehkan pelanggan menyimpan wang simpanan untuk menunaikan ibadat haji.
Bank Islam menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini memberitahu, Akaun-i Labbaik berkonsepkan pelan 2 dalam 1 yang turut memberi perlindungan Takaful sekiranya berlaku kematian atau Keilatan Menyeluruh Kekal (KMK).
Pengarah Pembangunan Perniagaan Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, akaun ini akan memberi pelanggan lebih fleksibiliti dalam merancang keperluan kewangan mereka.
"Pelanggan boleh memilih pakej simpanan bulanan yang bersesuaian dengan keperluan mereka untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun atau sehingga maksimum 15 tahun dengan jumlah perlindungan Takaful daripada RM30,000 sehingga RM50,000.
"Akaun-i Labbaik bukan satu alternatif bagi menggantikan simpanan tabung haji tetapi berfungsi sebagai penambahbaikan untuk pelanggan menambah simpanan dan sekali gus mendapat perlindungan Takaful," katanya.
Jelasnya, Akaun baharu itu menawarkan pelbagai ciri unik untuk manfaat pelanggan seperti pelanggan dapat berkongsi keuntungan daripada pelaburan Mudharabah.
Selain itu, badal (ganti) haji juga akan diatur bagi pihak pelanggan sekiranya berlaku kematian atau KMK di samping pelanggan berpeluang memenangi pakej umrah dengan hanya membuat simpanan bulanan secara konsisten.
"Pakej umrah dan badal haji ini disediakan khas oleh pihak Tabung Haji Travel Services (THTS) untuk pendeposit Akaun-i Labbaik.
"Pelanggan hanya perlu mendepositkan simpanan bulanan minimum ke dalam Akaun-i Labbaik dan membayar caruman tunggal untuk pelindungan Takaful," katanya.

(Utusan Malaysia/8 September 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Saturday, 7 September 2013

PPIM akan wujudkan direktori profil produk dan perkhidmatan Islam

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan mewujudkan satu sistem direktori profil khas untuk produk dan perkhidmatan Islam bagi membantu usahawan terbabit terus berdaya saing dengan produk-produk lain di negara ini.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, PPIM kini sedang bekerjasama dengan beberapa pihak lain termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara), Felda, Felcra dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyenarai jenis barangan dan perkhidmatan yang dikendalikan oleh usahawan Islam.
“Pada masa kini, bangsa lain pun boleh membeli atau menubuhkan syarikat dengan menggunakan nama Melayu dan ini mengelirukan umat Islam, justeru dengan wujudnya direktori ini akan menjadi pusat rujukan maklumat untuk semua produk Islam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen Usahawan Islam: Bisnes Sebagai Fardu Kifayah anjuran Mentor Niaga Resources dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Ibu Tunggal dan Anak Yatim Melayu Malaysia (Peyatimas) dan Telekom Malaysia Berhad di sini hari ini.
Nadzim berkata, senario yang berlaku pada masa kini, produk dan perkhidmatan usahawan Islam hanya dapat diperoleh di Pameran Halal Antarabangsa (MIHAS), namun selepas itu, pengguna sukar untuk mendapatkan barangan tersebut di pasaran, baik di kedai runcit mahupun di pasar raya.
“Jika hendak letak produk di pasar raya, usahawan kena bayar yuran penyenaraian, kena letak orang, sehubungan itu sudah sampai masanya diwujudkan sebuah agensi yang menyelaras semua produk Islam di pasar raya, barulah produk mereka mampu bersaing," katanya.
Beliau yang turut menjadi salah seorang panel dalam konvensyen itu berkata, usahawan Islam pada masa kini terpaksa menghadapi pelbagai bentuk cabaran untuk memasarkan produk mereka bukan sahaja kepada luar tetapi dalam kalangan masyarakat Islam sendiri.

(Utusan Malaysia/7 September 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday, 6 September 2013

Kolej UNITI mahu kukuh industri halal

SEREMBAN 6 Sept. - Kolej UNITI iaitu institusi pengajian tinggi swasta pertama di Malaysia yang menawarkan program Diploma Pengurusan Industri Halal (DPIH) berhasrat mengukuhkan penglibatannya dalam industri halal global yang bernilai RM7.21 trilion.
Bagi mencapai hasrat itu, kolej berkenaan menjalin kerjasama strategik dengan Sidratul Corporation, sebuah syarikat yang mengeluarkan produk halal berstatus Amalan Pengilangan Islam (IMP).
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI, Amir Hamzah Md. Isa berkata, melalui usaha tersebut kolej berkenaan akan menghantar para pelajar DPIH mendapat pendedahan berkenaan pengendalian produk halal di syarikat berkenaan.
"Di kolej, para pelajar akan didedahkan secara akademik manakala di Sidratul Corporation mereka boleh menjalani latihan praktikal.
"Melalui kaedah ini pelajar DPIH bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik malah mahir selok belok pengendalian produk halal," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej UNITI dan Sidratul Corporation di Nilai dekat sini semalam.
MoU itu ditandatangani oleh Amir Hamzah bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sidratul Corporation, Ahmad Tajuddin Arshad sambil disaksikan oleh Presiden Kolej UNITI, Jamal Mohd. Amin dan Ketua Unit Komplian dan Syariah, Sekretariat Komuniti IMP, Mohammad Nordin Zainuddin.
Menurut Amir Hamzah, program DPIH mula ditawarkan oleh Kolej UNITI mulai Julai tahun ini selepas mendapat kelulusan daripada Lembaga Akreditasi Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini.
Katanya, seramai 110 pelajar kumpulan pertama sedang mengikuti pengajian tersebut dan sekarang sudah menerima sebanyak 10 permohonan untuk pengambilan pada Disember ini.
"Kami percaya bidang pengajian ini menawarkan potensi yang besar kepada para pelajar memandangkan industri halal di negara ini masih kekurangan sumber manusia terutamanya dalam bidang persijilan, latihan dan keusahawanan," ujarnya.
Sementara itu Ahmad Tajuddin berkata, Sidratul Corporation adalah sebuah syarikat yang mengeluarkan produk halal berstatus IMP.
Katanya, syarikat itu telah membuka Pasar Raya Halal (Halal Souq) yang memasarkan produknya di samping melatih syarikat yang berminat mendapatkan kemahiran dan maklumat persijilan IMP.
"Kerjasama yang bakal dijalankan bakal memberi impak besar di dalam industri halal dan seterusnya memajukan Malaysia sebagai hab halal di dunia," katanya.

(Utusan Malaysia/6 September 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Badan akreditasi kewangan ditubuhkan


KUALA LUMPUR 6 Sept. - Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti memperkenalkan Agensi Akreditasi Kewangan (FAA) dalam usaha menetapkan piawaian pembangunan serta pembelajaran profesional dalam sektor kewangan tempatan.
Badan itu bakal mengadakan kerjasama dengan institut tempatan dan antarabangsa untuk menentukan keperluan dan mengiktiraf program-program pembangunan sektor Kewangan Islam dan konvensional, pasaran modal serta insurans.
Tujuannya adalah untuk melahirkan tenaga pakar di dalam sektor-sektor tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif FAA, Dr. Amat Taap Manshor berkata, pihaknya mahu menganjurkan 100 program khusus bagi memberi pendedahan kepada pemain-pemain industri tentang keperluan bakat serta piawaiannya.
Sebagai contoh beliau berkata, walaupun sektor Kewangan Islam tidak mempunyai masalah dari segi kuantiti tenaga kerja, namun kepakaran dalam bidang-bidang khusus masih kurang.
"Kami akan mengadakan hubungan dengan institut pengajian tinggi (IPT) untuk memastikan graduan yang dihasilkan memenuhi keperluan kerja semasa," katanya selepas pelancaran rasmi FAA di sini hari ini.
Turut hadir Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Ranjit Ajit Singh dan Pengerusi FAA merangkap Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim.
FAA ditubuhkan sejak 2012 dan setakat ini telah menjalankan lebih 70 program berkaitan penetapan piawaian pembelajaran profesional sektor kewangan.

(Utusan Malaysia/6 September 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday, 29 August 2013

RHB Islamic lantik Ibrahim Hassan Pengarah Urusan Kumpulan

KUALA LUMPUR 29 Ogos - RHB Islamic Bank Bhd melantik Ibrahim Hassan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusannya berkuat kuasa 2 Sept 2013.
Pengarah Urusan RHB Banking Group, Kellee Kam berkata, Ibrahim akan bertanggungjawab terhadap keseluruhan operasi dan perniagaan perbankan Islam kumpulan termasuk memacu pertumbuhan perolehan, memperluaskan produk dan portfolio pelanggan di dalam dan luar negara.
"Kami mengalu-alukan sumbangan dan keupayaan beliau dalam menerajui perniagaan perbankan Islam kumpulan kepada penyedia perkhidmatan kewangan berasaskan syariah utama dunia," katanya.
Sebelum pelantikan itu, Ibrahim adalah Pengarah Presiden PT Bank Maybank Syariah Indonesia.
Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perkhidmatan kewangan dan perbankan Islam. - BERNAMA
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday, 27 August 2013

UIAM meneroka peranan pembekal bakat perbankan Islam

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kini meneroka langkah memperluaskan peranan universiti sebagai pembekal bakat bagi membangunkan industri perbankan dan kewangan Islam sejagat.
Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, untuk merealisasikan hasrat itu, pihaknya telah menubuhkan sebuah dana bagi mewujudkan program pengajian khas dalam bidang tersebut dengan memfokuskan latihan teori dan praktikal.
"Dana mencukupi diperlukan bagi memberi tajaan biasiswa dan penyelidikan kepada para pelajar dalam usaha melahirkan modal insan yang berbakat bagi membangunkan industri perbankan dan kewangan Islam sejagat.
"Kita masih berusaha untuk mendapatkan dana daripada mereka yang berminat untuk menjadikan UIAM sebagai institusi induk kepada pengajian perbankan dan kewangan Islam pada masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis konvokesyen khas penganugerahan Profesor Emeritus kepada bekas Rektor UIAM kedua, Datuk Dr. Abdulhamid Ahmad Sulayman yang diadakan di Kampus UIAM di Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (Istac), di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Rektor UIAM, Prof. Datuk Sri Dr. Zaleha Kamaruddin; Timbalan Rektor Akademik dan Perancangan UIAM, Prof. Datuk Dr. Md. Tahir Md. Azhar dan profesor ulung UIAM, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan.
Mengulas lanjut, Rais berkata, peluang tersebut cukup baik untuk diterokai memandangkan permintaan bakat dalam industri perbankan dan kewangan Islam secara komersial cukup besar di peringkat sejagat.
"Malah tawaran perkhidmatan dan produk bagi industri perbankan dan kewangan Islam kini sudah merentasi dalam ekonomi bukan Islam menyebabkan permintaan bagi bakat baru cukup tinggi," katanya.
Beliau yakin UIAM mempunyai potensi yang baik untuk mengurangkan jurang antara permintaan dan bekalan dengan kedudukannya sebagai institusi pendidikan yang komited membangunkan pembangunan Islam.
Mengenai pelaksanaan program, Rais berkata, pihaknya akan mengadakan satu majlis khas bagi mengumumkan para penyumbang dana yang berminat menjayakan program pengajian khas perbankan dan kewangan tersebut.
Sementara itu, Abdulhamid dalam sidang akhbar hari ini berterima kasih kepada UIAM atas anugerah itu dan yakin ia akan menjadi satu galakan baginya untuk meneruskan komitmen dengan universiti itu bagi membangunkan modal insan berlandaskan Islam pada masa depan. (Utusan Malaysia/27 Ogos 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Saturday, 24 August 2013

Bandar raya Islamik di UIAM Gombak


Kuala Lumpur: Sebuah bandar raya Islamik bernilai RM800 juta berasaskan model Madinah al-Munawarah di Arab Saudi akan dibina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak. 

Apabila siap nanti, ia akan meletakkan UIAM setaraf universiti unggul lain abad ke-21, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meluluskan projek itu. 


“Bandar raya Islamik yang dibina melalui sumbangan pelbagai pihak akan menjadi hab komersial UIAM dan saya harap universiti awam lain akan meneladani usaha murni UIAM ini. Apabila siap nanti ia akan membuktikan Malaysia sebagai negara moden yang menerapkan nilai Islam yang sederhana,” katanya berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan universiti itu di Pusat Kebudayaan UIAM kampus Gombak, dekat sini, semalam. 


Pada majlis itu, Najib melancarkan projek bandar raya Islamik UIAM dan Kongres Sedunia Integrasi dan Islamisasi Ilmu Pengetahuan (FWCII) 2013. 

Bandar raya Islamik UIAM akan dibina di kawasan seluas tujuh hektar berkonsepkan pembangunan bandar atas air dan dijangka siap dalam tempoh lima hingga tujuh tahun. 

Pembangunan bercampur 
Projek itu membabitkan pembangunan bercampur merangkumi pusat Islam, pusat perubatan, pusat persidangan, pangsapuri, hotel, pusat beli-belah dan medan selera. 

Projek usaha sama UIAM dan Gunung Land Sdn Bhd itu terletak di antara Stadium Sayyidina Hamzah dan Jalan Sungai Pusu, kampus Gombak. 

Turut hadir Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim; Rektor UIAM, Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin dan Pengerusi FWCII, Prof Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan. 

Sempena ulang tahun UIAM, Najib mengisytiharkan institusi pengajian tinggi awam itu sebagai Universiti Islam Antarabangsa Premier dengan harapan ia terus melahirkan graduan dalam bidang agama, ekonomi dan politik. 

“Sasaran strategik UIAM adalah untuk mengubah statusnya sebagai universiti Islamik premier dengan pengiktirafan global dalam kegiatan penyelidikan,” katanya. 

Najib turut berharap UIAM akan menjadikan landasan untuk menyatukan kepemimpinan Islam dunia bagi menyelesaikan masalah umat Islam menerusi dialog ilmiah. 

“Ketika negara Islam berhadapan dengan pergolakan, sebaiknya UIAM mengambil langkah untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi ummah,” katanya. (Berita Harian/24 Ogos 2013)


---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday, 23 August 2013

Sukuk RM1b terbitan Syarikat Prasarana Negara Bhd terima langganan lebih 3 kali ganda


Sukuk terbitan Syarikat Prasarana Negara Bhd bernilai RM1 bilion mendapat sambutan memberangsangkan dengan menerima lebihan langganan lebih tiga kali ganda. 

Ia mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kedudukan ekonomi negara meskipun agensi penarafan global, Fitch Ratings, baru-baru ini menurunkan tinjauan kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif. 

Kejayaan terbitan sukuk yang dijamin kerajaan itu juga mencerminkan permintaan kukuh pelabur ke atas jenis pembiayaan sekuriti Islam berkenaan dan mengukuhkan kedudukan negara ini sebagai peneraju industri kewangan Islam. 



Sukuk yang ditawarkan anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu dibuat di bawah program nota jangka sederhana (MTN) dan diterbitkan dalam dua bahagian menerusi proses bidaan. 

Permintaan tinggi 

Bahagian pertama bernilai RM500 juta dengan tempoh matang 10 tahun mencatatkan tempahan RM1.635 bilion atau lebihan langganan sebanyak 3.27 kali, sementara bahagian kedua juga bernilai RM500 juta dengan tempoh matang 15 tahun mencatatkan lebihan langganan 3.1 kali. 

Berikutan permintaan tinggi itu, kadar hasil bagi kedua-dua bahagian itu ditetapkan masing-masing pada 4.26 peratus setahun dan 4.58 peratus. 
Pengarah Kumpulan Bahagian Kewangan Prasarana, Mohd Zahir Zahur Hussain, berkata penetapan kadar hasil yang rendah rendah bagi sukuk berkenaan berbanding harga panduan akhirnya menunjukkan minat kukuh pelabur terhadap sekuriti tempatan.


(Berita Hatian/23 ogos 2013)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday, 1 August 2013

Malaysia: Pasaran Kewangan Islam Dunia

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Pasaran Kewangan Islam Malaysia memperkenalkan identiti jenama ikonik baharunya iaitu 'Malaysia: Pasaran Kewangan Islam Dunia' yang diyakini mampu meletakkan negara ini sebagai satu daripada peneraju dalam komuniti kewangan global.
Selaras dengan pelancaran ikonik baharu itu, kerajaan berharap lebih banyak transaksi pelbagai mata wang merentas sempadan akan dijalankan di negara ini memandangkan Malaysia memiliki pasaran kewangan Islam yang komprehensif dan menunjukkan peningkatan sejak 30 tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan pelancaran tersebut berkata, tahap kecanggihan yang terdapat dalam Pasaran Kewangan Islam Malaysia hasil pencapaian dan usaha gigih semua komuniti industri kewangan Islam kini tersedia untuk seluruh dunia.
"Saya ingin mengambil peluang untuk mempelawa komuniti kewangan global datang ke Malaysia untuk memanfaatkan pasaran kewangan Islam kami. Hasrat kami adalah agar lebih banyak transaksi pelbagai mata wang merentas sempadan akan dijalankan di sini.
"Kini terpulang kepada peserta dan peneraju pasaran untuk membangun dan memacu industri ini selain meningkatkan saling hubungan demi kemajuan pasaran kewangan Islam global," katanya semasa merasmikan pelancaran tersebut di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.
Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan diberi taklimat hampir dua jam oleh Lembaga Pengarah Bank Negara diketuai Zeti Akhtar mengenai perkembangan terkini ekonomi, kewangan serta prospek masa hadapan.
Mengulas lanjut Najib berkata, bakal pengguna kewangan Islam global yang menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia akan menikmati persekitaran yang cukup kondusif hasil rangka kerja pengawal seliaan, syariah serta undang-undang mantap di negara ini.
"Pasaran Kewangan Islam di Malaysia menyediakan kepakaran, produk inovatif dan aktiviti pelaburan yang aktif. Platform kewangan Islam juga amat luas untuk dimanfaatkan oleh para peserta sejagat meliputi antaranya bidang perbankan, sukuk, ekuiti dan takaful," katanya.

(Utusan Malaysia/1 Ogos 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Pelabur institusi minat sukuk

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Pasaran sukuk di negara ini masih mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan banyak pelabur institusi.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, sukuk itu sendiri tercipta kerana wujudnya permintaan yang tinggi.
Katanya, salah satu contoh permintaan pasaran sukuk yang tinggi adalah dalam kalangan sistem domestik itu sendiri, terutamanya daripada industri insurans, dana pencen sehingga kepada dana-dana pelaburan yang lain.
"Mereka (pelabur) yang berada dalam sistem domestik ini merupakan sumber terbesar permintaan pasaran sukuk pada waktu ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran identiti jenama ikonik baharu 'Malaysia: Pasaran Kewangan Islam Dunia' di sini hari ini.
Tambah Zeti Akhtar, pasaran sukuk pada waktu ini telah dikuasai pelabur asing kerana kadar pulangan yang menggalakkan.
"Pasaran bon dan sukuk telah dibangunkan secukupnya bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan yang akan berlaku," ujarnya.
Pasaran sukuk Malaysia dijangka kekal tinggi tahun ini meskipun pasaran global turun naik, terutama di Amerika Syarikat (AS).
Malah, Pasaran sukuk Malaysia bakal menyaksikan pertumbuhan sihat seperti tahun lalu bersandarkan asasnya yang kukuh, infrastruktur yang baik, rangka kerja kawal aturan selain sistem Syariah.
Pelabur telah melihat Malaysia sebagai sebuah pasaran yang baik untuk diteroka.

(Utusan Malaysia/1 Ogos 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Saturday, 27 July 2013

Pengurusan kewangan dan pembahagian harta pusaka


PERBUATAN khianat, perebutan harta dan pergaduhan merupakan antara krisis yang sering dilaporkan berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Ia dikatakan bukan sahaja membabitkan golongan bukan Islam, tetapi malangnya siasatan daripada agensi-agensi kewangan mendapati kebanyakannya adalah dalam kalangan umat Islam.

Professor di Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, inilah kesan berpunca daripada kegagalan umat Islam dalam menguruskan kewangan peribadi.
Beliau yang juga Panel Penasihat Syariah Permodalan Nasional Berhad. (PNB) berkata, krisis tersebut adalah salah satu daripada dua kelemahan yang ketara dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Perkara tersebut katanya adalah kurangnya kesedaran terhadap pemilikan perlindungan insurans dan juga amanah iaitu pengurusan kewangan dan pembahagian harta selepas mati.
Ia tambahnya, berbeza dengan masyarakat bukan Islam yang dilihat menggunakan peluang memanfaatkan perlindungan insurans dan pengurusan harta dengan lebih teratur.
"Terdapat dua kelemahan yang ketara dalam pengurusan ekonomi umat Islam iaitu kesedaran terhadap perlindungan insurans dan amanah yang membabitkan pengurusan kewangan dan pembahagian harta pusaka.

"Kesannya menyebabkan waris yang memerlukan dan sepatutnya berhak menerima pembahagian harta tidak dapat sebarang pemilikan.

"Sebaliknya dilaporkan, siasatan mendapati banyak harta pusaka yang terbengkalai dibawa dan diuruskan oleh Majlis Amanah Raya sehingga mencecah berbilion ringgit," katanya dalam sesi temu bual bersama pemberita, baru-baru ini.

Justeru, Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC) itu berkata, masyarakat terutama umat Islam harus menyedari kepentingan pengurusan kewangan dengan mengambil langkah melaburkan harta kepada badan harta yang diwujudkan untuk menguruskan pembahagian harta tersebut kepada ahli keluarga yang dikehendaki.

Ia katanya bertepatan dengan ajaran Islam yang menggalakkan pemilikan harta pusaka diutamakan kepada ahli keluarga dan waris.

"Kekeliruan dan permasalahan akan timbul sesudah pemilik harta meninggal dunia. Oleh itu, sistem amanah telah diwujudkan hasil perbincangan ahli kewangan Islam untuk menguruskan harta keluarga secara bijak dengan berlandaskan syariah.
"Selain wakaf, wasiat dan harta sepencarian, hibah merupakan salah satu daripada kaedah mewariskan atau memindah milik harta sebelum pemilik meninggal dunia dengan dibolehkan kepada sesiapa yang dikehendaki," katanya.

Kelebihan hibah

Berbeza dengan wasiat, Mahmood berkata hibah memberi peluang kepada pemberi hibah untuk memilih siapa yang dikehendaki untuk diberikan harta tanpa terikat dengan kategori dan nisbah penerima wasiat.

Ia juga katanya, membolehkan ahli keluarga yang lebih layak untuk menerima harta dengan lebih berbanding kadar yang telah ditetapkan menerusi wasiat.

"Islam membuka peluang pemilikan harta boleh dibahagi dengan cara lain selain menerusi sistem faraid iaitu selepas pemilik harta meninggal dunia. Sebagai contoh anak angkat, ahli keluarga dalam kalangan golongan orang kurang upaya (OKU), wanita yang harus mendapat pembahagian harta yang lebih.

"Sistem hibah membenarkan pemilik harta memberi harta tersebut kepada golongan yang dirasakan perlu bagi memastikan kebajikan hidup mereka lebih terjamin berbanding ahli keluarga lain yang menjalani hidup sempurna," katanya.

Selain itu tambahnya, harta yang dihibahkan juga boleh berkuatkuasa dalam tempoh persetujuan semua walaupun sebelum pemilik harta meninggal dunia.

"Mengikut perjanjian yang ditetapkan, harta yang dihibahkan boleh dipindah milik kepada penerima berkuat kuasa serta merta atau dalam tempoh yang dipersetujui sebelum kematian pemberi lagi.

"Namun, bagi menjaga kebaikan atau mengelakkan sebarang penganiayaan berlaku seperti penerima meminggirkan pemberi sebelum meninggal dunia, sistem hibah boleh ditarik balik oleh pemilik juga pada bila-bila masa," katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin melaksanakan pelaburan pengurusan kewangan agar mengambil badan perkhidmatan berlandaskan syariah.

"Mungkin kaedah konvensional menjanjikan tawaran lebih baik dan sebagainya tetapi menerusi pentadbiran Islam harta akan diurus berlandaskan syariah di samping mendapat pahala kerana mengamalkan dasar Islam," katanya.

(Utusan Malaysia/27 Julai 2013)

---
Pelaburan unit amanah Islam PMB INVESTMENT
www.unit-amanah-islam.blogspot.com


Monday, 1 July 2013

Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 Berkuat Kuasa pada 30 Jun 2013

Rangka kerja pengawalan dan penyeliaan mencapai tahap baharu dalam perkembangannya apabila Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) berkuat kuasa pada 30 Jun 2013.
FSA dan IFSA merupakan kemuncak bagi  usaha untuk memodenkan undang-undang yang mengawal selia perlakuan dan penyeliaan institusi kewangan di Malaysia bagi memastikan undang-undang ini terus relevan dan berkesan untuk mengekalkan kestabilan kewangan, menyokong pertumbuhan inklusif dalam sistem kewangan dan ekonomi di samping menyediakan perlindungan yang mencukupi untuk pengguna. Undang-undang ini juga memberi Bank Negara Malaysia kuasa pengawasan pengawalan dan penyeliaan yang perlu untuk mencapai mandatnya yang luas dalam persekitaran yang lebih kompleks dan saling berhubung memandangkan perkembangan kewangan yang bersifat serantau dan antarabangsa. Ini termasuk peningkatan tumpuan terhadap langkah-langkah pencegahan awal untuk menangani isu yang berbangkit dalam institusi kewangan yang mungkin memberikan kesan kepada kepentingan pendeposit dan pemegang polisi, dan keberkesanan dan kecekapan fungsi pengantara kewangan.
Sistem pengawalan dan penyeliaan Malaysia perlu dilengkapi dengan baik untuk menangani dengan berkesan risiko baharu dan yang baru muncul supaya keyakinan dalam sistem kewangan dipelihara dan aktiviti pengantaraan kewangan yang kritikal serta penting kepada ekonomi terhindar daripada gangguan. FSA dan IFSA menggabungkan beberapa undang-undang yang berasingan untuk mengawal selia sektor kewangan di bawah rangka kerja perundangan tunggal masing-masing untuk sektor kewangan konvensional dan Islam, iaitu, Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, Akta Bank Islam 1983, Akta Insurans 1996, Akta Takaful 1984, Akta Sistem Pembayaran 2003 dan Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 yang dimansuhkan pada tarikh yang sama.
Ciri-ciri utama undang-undang baharu termasuk:
  • Kejelasan dan ketelusan yang lebih tinggi dalam pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang ini. Ini termasuk objektif pengawalseliaan yang jelas tafsirannya dan akauntabiliti Bank Negara Malaysia bagi melaksanakan matlamat utamanya untuk memelihara kestabilan kewangan, keadaan yang jelas yang membolehkan tindakan diambil oleh Bank Negara Malaysia untuk melaksanakan kuasa dan fungsi di bawah undang-undang ini, dan kriteria penilaian yang telus bagi institusi yang diberikan kuasa untuk terus mengawal selia perniagaan kewangan, dan untuk kesesuaian pemegang syer;
  • Tumpuan yang jelas terhadap pematuhan dan tadbir urus Syariah dalam sektor kewangan Islam. Secara khususnya, IFSA menyediakan rangka kerja undang-undang yang menyeluruh, yang selaras sepenuhnya dengan Syariah dalam semua aspek pengawalan dan penyeliaan, dari pelesenan hingga pembubaran sesebuah institusi;
  • Peruntukan bagi keperluan pengawalseliaan berbeza yang mencerminkan  aktiviti pengantaraan kewangan dan risiko masing-maisng kepada sistem kewangan secara keseluruhan;
  • Peruntukan untuk mengawal selia syarikat pemegangan kewangan dan entiti tidak dikawal selia perlu mengambil kira risiko sistemik yang boleh muncul daripada interaksi antara institusi yang dikawal selia dengan tidak dikawal selia, aktiviti dan pasaran.  Menteri Kewangan boleh meletakkan institusi yang menjalankan aktiviti pengantaraan kewangan tertakluk kepada pengawalan dan penyeliaan yang berterusan oleh Bank Negara Malaysia sekiranya institusi tersebut menyebabkan atau boleh mendatangkan risiko kepada kestabilan kewangan secara keseluruhan;
  • Memperkukuh perlakuan perniagaan dan keperluan perlindungan pengguna untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan dan produk kewangan;  
  • Peruntukan yang lebih kukuh bagi penguatkuasaan dan campur tangan penyeliaan yang berkesan dan awal;
Undang-undang baharu ini akan meletakkan sektor kewangan Malaysia, yang merangkumi sistem perbankan, sektor insurans/takaful, pasaran kewangan dan sistem pembayaran dan pengantara kewangan lain, pada platform untuk terus maju ke hadapan sebagai satu sistem kewangan yang kukuh, bertanggungjawab dan progresif.  Ini khususnya penting bagi membolehkan sistem kewangan memenuhi tuntutan baharu terhadap pembiayaan yang dikaitkan dengan program transformasi ekonomi Malaysia pada dekad akan datang dan seterusnya, perubahan demografi penduduk, dan integrasi ekonomi Malaysia yang semakin pesat dengan rantau ini dan juga di dunia.  
Senaskhah FSA dan IFSA boleh didapati di laman sesawang Bank Negara Malaysia. Sebarang pertanyaan berhubung dengan FSA dan IFSA boleh diajukan melalui FSAandIFSA@bnm.gov.my.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday, 2 June 2013

Gagal rancang kewangan punca berhutang

KUALA LUMPUR - Perancangan kewangan yang lemah dan tabiat berbelanja yang tidak mengikut kemampuan diri merupakan faktor utama penyebab masalah hutang serta ketidakupayaan membayar balik pinjaman, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Koid Swee Lian.
   
Beliau berkata daripada 90,807 peminjam yang dibantu melalui Program Pengurusan Kredit (DMP) AKPK bagi tempoh 2007 hingga 31 Mei lalu, 20,886 atau 23 peratus merupakan golongan yang memiliki perancangan kewangan lemah.
   
Katanya 18,161 atau 20 peratus lagi berhutang disebabkan perbelanjaan perubatan yang tinggi; lain-lain (17,253/19 peratus); masalah atau kegagalan perniagaan (13,621/15 peratus); gagal mengawal penggunaan kad kredit (9,989/11 peratus); kehilangan pekerjaan (9,081/10 peratus); manakala kematian atau hilang punca pencari nafkah dan kegagalan dalam pelaburan masing-masing (908/satu peratus).
   
"Sepanjang tempoh yang sama iaitu dari 2007 hingga 31 Mei 2013, seramai 222,942 peminjam datang ke AKPK untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling, tapi daripada jumlah itu hanya 90,807 yang menyertai DMP kami," katanya kepada Bernama.
   
Swee Lian berkata sehingga 31 Mei lepas, 3,591 peminjam berjaya keluar daripada DMP dengan jumlah hutang diselesaikan RM130.05 juta.
 
Menurut Swee Lian, peminjam individu boleh mendapatkan bantuan AKPK untuk menstruktur pelbagai jenis pinjaman termasuk pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi, atau baki tertunggak kad kredit yang diperoleh daripada penyedia kewangan.
   
Bagaimanapun, untuk menyertai DMP yang disediakan AKPK, seseorang peminjam antara lain mestilah tidak berhutang melebihi RM2 juta; tidak diisytihar muflis; tidak mempunyai surat saman atau mahkamah dan memiliki pendapatan boleh guna mencukupi.
   
"Apapun AKPK tetap akan bantu tapi lebih kepada nasihat...misalnya jika peminjam ada lebih daripada sebuah kereta kita mungkin nasihatkan mereka supaya jual sebuah," katanya.
   
Katanya tujuan utama AKPK menyediakan pelbagai perkhidmatan pendidikan kewangan yang direka khas ialah untuk membantu setiap individu belajar mengawal semula keadaan kewangan dan memupuk tabit penggunaan kredit secara bijak.
    
"Melalui kesedaran dan pendidikan tentang cara menguruskan hutang secara berkesan, AKPK berharap ia dapat mengurangkan isu-isu berkaitan kewangan yang dihadapi oleh sektor isi rumah Malaysia," katanya.
   
Swee Lian berkata individu yang mempunyai masalah hutang atau kesukaran menyelesaikan pinjaman tidak seharusnya malu untuk datang ke AKPK kerana ia lebih baik daripada diistiharkan muflis atau harta benda dirampas.
   
Selain itu semua perkhidmatan yang ditawarkan AKPK adalah percuma.  - Bernama/2 Julai 2013

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday, 3 March 2013

Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan akan diwujudkan

SEREMBAN 19 Mac - Baitulmal Negeri Sembilan di bawah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan distruktur semula dengan mewujudkan Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan penghujung tahun ini untuk menjadikannya lebih cekap dan cemerlang.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, di bawah perbadanan itu kelak unit di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan diambil pengurusannya untuk digerakkan dengan lebih fokus dan terancang.
"Unit Pengurusan Masjid dan Surau di bawah JHEAINS akan diletakkan di bawah perbadanan ini. Kita mahu pengurusannya lebih tersusun dan diberikan pemantauan yang lebih baik.
"Jika sebelum ini terdapat kekangan perjawatan dalam unit ini, apatah lagi memantau dan melihat keperluan 290 masjid dan lebih 1,000 surau di negeri ini, maka perkara itu tidak akan berlaku lagi di bawah perbadanan tersebut.
"Mungkin, di bawah perbadanan itu kelak akan ada unit wakaf dan dakwah," katanya.
Mohamad bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan tahunan masjid 2013 dan imbuhan sukarelawan di sini hari ini.
Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Razak Mansor dan Pengarah JHEAINS, Datuk Johani Hassan.
Mohamad yang juga Pengerusi MAINS memberitahu, perbadanan itu akan diselia MAINS dan apabila beroperasi sepenuhnya awal tahun hadapan akan ada individu berkelayakan diambil menjaga urusan pentadbiran, kawal selia masjid dan surau serta hal berkaitan dakwah dan sebagainya.
"Kita tidak mahu ada kekangan dalam menguruskan hal ehwal agama Islam apatah lagi dalam soal agihan duit zakat melalui Baitulmal. Tahun lalu sahaja, Baitulmal mengagihkan pungutan duit zakat sebanyak RM65 juta.
"Angka itu cukup besar dan kita tidak mahu gagal dalam menguruskan kejayaan. Sebagai pemegang amanah untuk agihan zakat, Baitulmal tidak boleh mengagihkan duit zakat itu secara semberono tetapi perlu dilakukan dengan tertib dan betul," katanya.
Beliau menambah, pengwujudan perbadanan itu kelak akan memberikan imej yang lebih baik kepada Baitulmal sekali gus meningkatkan kredibiliti MAINS sebagai majlis agama yang diiktiraf terbaik dalam pengurusan kewangannya oleh Ketua Audit Negara selama empat tahun berturut-turut.

(Utusan Malaysia/3 Mac 2013)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday, 22 January 2013

Malaysia teraju kewangan Islam

Ketika perbankan konvensional terus menjadi tajuk akhbar, terutama kerana skandal, kewangan Islam berkembang dengan catatan yang menakjubkan sebanyak 20 peratus setahun.
Ia menarik minat penganut bukan Islam di seluruh dunia di samping mendorong banyak negara mengamal dan menerima model kewangan ini.
Fenomena ini juga dikenali oleh mereka yang terbabit dalam industri itu sebagai ‘kejujuran dalam kewangan.’ Dengan potensi yang begitu besar, adalah jelas bahawa faedah ekonomi yang begitu banyak menanti untuk dituai daripadanya. Daripada seluruh negara Islam yang cuba untuk menguasai pasaran ini, Malaysia nampaknya jauh mendahului dalam kewangan Islam. Lebih seperlima daripada keseluruhan struktur perbankannya adalah selaras dengan yang ditetapkan syariah, berbanding dengan purata negara Islam lain yang hanya 12 peratus atau kebanyakannya, jauh lebih kecil.
Selaras hukum syariah Malaysia bertindak cemerlang dalam membekalkan pasaran dengan produk kewangan yang inovatif, selaras dengan hukum syariah. Ia menerbitkan bon pertama dunia yang memang dinanti-nantikan yang dikenali sebagai ‘sukuk’ yang dikeluarkannya pada 2002. Kuala Lumpur secara bersendirian bertanggungjawab terhadap insurans untuk lebih tiga perempat daripada insurans global yang menjangkau AS$80.5 bilion (RM241.5 bilion). Kedudukan penting ini menjadikan Malaysia berfikir sedalam-dalamnya mengenai bagaimana ia boleh menggunakan kesempatan ini dan meluaskan kedudukannya untuk mewujudkan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam yang digunakan sebagai badan penetapan standard industri itu.

Malaysia berada jauh di depan berbanding pesaing lain yang telah atau masih terbabit dengan kewangan Islam seperti Turki, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu. Malaysia, meskipun sebuah negara kecil, menangani masalah itu dengan cara begitu strategik. Dengan populasi kira-kira 30 juta orang dan hanya 60 peratus beragama Islam, pencapaian itu amat menakjubkan jika dibandingkan negara jiran yang lebih besar, Indonesia. Indonesia, negara Islam yang mempunyai penduduk melebihi 220 juta orang hanya mempunyai empat peratus produk kewangan yang mematuhi syariah.

Dua institusi penting Meskipun saiz diambil kira dan negara teluk, khususnya Arab Saudi, mempunyai portfolio perbankan Islam yang besar, Malaysia berkedudukan amat jauh dalam pemikiran mengenai kewangan Islam. Negara ini menyedari lebih awal bahawa ia tidak boleh terus memberi tumpuan menjadi hab industri dengan persaingan yang kuat dari China, Korea dan Vietnam. Kerana itu ia mengambil keputusan menjadi pemain serius dalam sektor perkhidmatan kewangan, khususnya kewangan Islam.
Bank Negara Malaysia menubuhkan dua institusi yang memainkan peranan besar untuk memastikan penguasaan Malaysia dalam lapangan ini. Yang pertama Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF). Dengan pelajar menjangkau 2,000 orang dan pengalaman luas dilaluinya sejak beberapa tahun selepas diwujudkan pada 2005, hari ini ia menjadi universiti terulung dunia pengajian Kewangan Islam.

Ia menempatkan Akademi Kajian Syariah Antarabangsa, sebuah badan dinamik mengeluarkan pendapat yang progresif. Institusi kedua Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) yang memberi tumpuan kepada latihan vokasional.
Kerana kecemerlangan yang dicapai itu, Malaysia sudah pasti menuju ke arah menjadi Switzerland dalam perbankan Islam. Ia adalah bintang baru yang perlu diberi perhatian. - Arab News/22 Januari 2013
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com