Terkini

Wednesday 30 July 2014

Labuan IBFC Perkenal Pengurusan Kekayaan Islam Baharu Untuk Penuhi Permintaan

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Labuan International Business and Financial Centre Inc Sdn Bhd (Labuan IBFC) memperkenal produk baharu, pengurusan kekayaan Islam, bagi memenuhi permintaan peniaga Islam dan bukan Islam yang mahukan produk pengurusan kekayaan menggunakan kaedah Islam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saiful Bahari Baharom berkata pelabur Islam mula beralih daripada pengurusan konvensional kepada pengurusan kekayaan berlandaskan Syariah, yang menawarkan aspek fizikal dan kerohanian.

"Ini menimbulkan kesedaran dalam kalangan pelabur asing untuk berbuat demikian setelah mereka yakin terhadap pengurusan produk Islam untuk menjamin harta mereka," katanya kepada Bernama pada temu bual baru-baru ini.

Saiful berkata berbanding pelabur tempatan, pelabur asing mungkin memiliki aset yang lebih besar dan tidak mustahil institusi asing menerima lebih ramai pelanggan dari Barat.

"Ada institusi asing yang mewujudkan pengurusan kekayaan Islam, namun kurang berjaya.

"Namun, sejak lima hingga lapan tahun lepas, jumlah aset patuh Syariah telah meningkat, selain produk pelaburan, dan oleh itu sangat penting untuk memiliki unit untuk mengurus aset ini secara Islam," katanya.

Beliau berkata peguam juga menghubungi agensi-agensi di Malaysia untuk meminta nasihat mengenai cara yang mereka (peguam) boleh lakukan untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan masing-masing.

Pengurusan kekayaan Islam patuh Syariah yang merupakan konsep asas kekayaan yang ditambah dengan struktur produk kewangan Islam, pengurusan portfolio, peruntukan aset dan perancangan kewangan secara menyeluruh.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dilaporkan berkata berikutan Malaysia yang pertama memperkenal produk baharu ini dalam sistem kewangan Islam, ia diharap menjadi juara seperti yang berlaku pada pasaran Sukuk.

Malaysia diperakui sebagai pusat kewangan Islam global dengan menjadi pasaran ketiga terbesar dunia bagi aset Syariah - produk perbankan Islam dan perkhidmatan, Sukuk dan takaful, dan oleh itu diharapkan kita juga boleh memperjuangkan pengurusan kekayaan Islam," katanya.

Ahmad berkata untuk meningkatkan aspirasi Malaysia menjadi pusat kecemerlangan intelektual dalam kewangan Islam, kerajaan telah meningkatkan langkah-langkah untuk mencapai matlamat ini.

"Beberapa institusi pembangunan modal insan, termasuk Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam, Pusat Pendidikan Kewangan Islam, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia dan Institut Kewangan Asia, telah ditubuhkan untuk menjayakan hasrat itu.

"Saya menjangkakan pengurusan kekayaan Islam merupakan perkembangan semula jadi dalam industri kewangan Islam tempatan menerusi infrastruktur, pembangunan modal insan dalam institusi kewangan Islam serta kepakaran yang kita miliki hari ini," katanya.


(Pertubuhan Berita Nasional Malaysia / 30 Julai 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment