Terkini

Friday 11 July 2014

Gabungan bentuk perbankan terbesar

KUALA LUMPUR 11 Julai - Penggabungan di antara tiga entiti iaitu CIMB Group, RHB Capital dan Malaysia Building Society Bhd. (MBSB), dijangka dapat membentuk sebuah kumpulan perbankan terbesar di Malaysia hingga mengatasi Maybank dari segi jumlah aset.

Menurut Hong Leong Investment Bank, penggabungan tersebut menzahirkan banyak potensi menerusi skala ekonomi serta perkongsian perkhidmatan bagi jangka masa panjang.

Namun begitu, sama seperti penggabungan lain, terdapat beberapa cabaran dalam jangka masa pendek disebabkan oleh kos integrasi serta masa dan kesan perkongsian pulangan saham ke atas ekuiti (ROE).
"Penggabungan tersebut memberi peluang bagi menyelesaikan masalah kecairan RHB Capital, kepentingan besar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam MBSB serta nilai dalam OSK yang tidak boleh dikembangkan lagi.

"Tindakan itu (penggabungan) mengukuhkan struktur pegangan bagi entiti baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi kebenaran untuk CIMB Group, RHB Capital dan Malaysia Building Society (MBSB) bagi memulakan rundingan penggabungan dalam membentuk perbankan Islam mega.

Ketiga-tiga pihak telah menandatangani perjanjian eksklusif 90 hari untuk berunding dan memuktamadkan harga, struktur, serta terma dan syarat lain yang berkaitan bagi cadangan penggabungan ketiga-tiga entiti tersebut.

Sementara itu, MIDF Equity Beat berpendapat, peluasan rangkaian akan membolehkan jangkauan yang lebih luas kepada pelanggan dari dalam dan luar negara bagi bank-bank berkenaan.

"Pembentukan bank Islam mega akan memperkukuhkan kedudukan negara ini sebagai hab kewangan Islam dan dengan tumpuan serantau ke atas CIMB Group dan RHB Capital, ini seterusnya dilihat sebagai satu daripada cara bagi meningkatkan prospek kewangan Islam Malaysia di peringkat antarabangsa," jelasnya.

Sehingga akhir 2013, RHB Capital mempunyai 194 cawangan dan 270 rangkaian Easy di seluruh Malaysia manakala CIMB bank pula mempunyai 297 buah cawangan di seluruh negara, justeru dengan penggabungan itu mampu mengatasi jumlah cawangan Maybank yang berjumlah 399 buah.

(Utusan Online / 11 July 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment