Terkini

Friday 4 July 2014

Agrobank laksana perbankan Islam Januari 2015

MACHANG 4 Julai - Agrobank kini dalam proses peralihan bagi melaksanakan sistem perbankan Islam sepenuhnya menjelang Januari 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Fadzmi Wan Othman berkata, pihaknya kini giat menjalankan proses penukaran akaun pembiayaan dan deposit konvensional kepada akaun yang mematuhi prinsip syariah.
"Ini sekali gus diharap dapat meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk Agrobank,’’ katanyadalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Iftar dan Penyampaian Zakat Anak-Anak Yatim Asrama Bakti Machang di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengurus Agrobank Kawasan Kelantan dan Terengganu, Syed Ibrahim Syed Mohd. Al Mansor serta Penyelia Asrama Bakti Machang, Nik Othseman Mohamed.

Dalam majlis tersebut, seramai 100 anak yatim menerima zakat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM10,000.

Wan Fadzmi berkata, pihaknya juga sangat komited dalam memperkasakan sektor pertanian apabila menyediakan pelbagai produk pembiayaan dan perkhidmatan perbankan kepada masyarakat di luar bandar.
"Agrobank kini mempunyai 187 cawangan di seluruh negara dengan aset pembiayaan berjumlah RM6.4 bilion serta mempunyai 700,000 hingga 800,000 pelanggan aktif dan tidak aktif," katanya.

Mengenai program tanggungjawab sosial korporat, beliau berkata, Agrobank memperuntukkan sebanyak RM1.8 juta untuk tujuan pembayaran zakat perniagaan kepada pusat-pusat zakat serta golongan asnaf di seluruh negara hasil daripada perolehan keuntungan bagi tahun kewangan 2013.

Katanya, ssebanyak 50 peratus daripada jumlah zakat tersebut diagihkan terus oleh pihaknya kepada golongan yang layak di seluruh negara.

"Bagi agihan secara terus ini, kita buat secara menyeluruh di setiap negeri kepada golongan asnaf seperti fakir miskin, anak-anak yatim, tahfiz serta masjid.

"Pengagihan ini akan diteruskan secara berperingkat dan dijangka selesai menjelang hujung tahun ini," ujar Wan Fadzmi.



(Utusan Online / 04 Julai 2014)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment