Terkini

Tuesday 8 October 2013

Pelaburan hijau: Greentech unjur RM2.9 bilion

KUALA LUMPUR - Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) mengunjurkan pelaburan hijau (mesra alam) bernilai RM2.9 bilion bakal dijana menerusi projek yang disokong Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Hadri Haris berkata sejak GTFS diperkenalkan pada 2010, skim itu menyokong 108 projek dan memperoleh pinjaman bernilai RM1.5 bilion daripada 22 institusi kewangan.

"Projek-projek ini akan mewujudkan lebih 1,200 pekerjaan dan mengurangkan kira-kira 1.7 juta tan pelepasan karbon," katanya kepada pemberita selepas melancarkan persidangan 'Pembiayaan Hijau: Ketahui Industri Teknologi Hijau di Malaysia' di sini hari ini.

Beliau berkata perbadanan itu juga menjangkakan dapat menyokong 140 projek menerusi GTFS menjelang akhir tahun bagi meningkatkan lagi teknologi hijau
sebagai enjin pertumbuhan Malaysia pada masa depan.
Menerusi kejayaan inisiatif GTFS, kerajaan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion serta melanjutkannya kemudahan itu sehingga 2015.

"Semakan semula ini bukan sahaja menunjukkan komitmen kerajaan dalam memacu agenda teknologi hijau, bahkan memperakui bahawa tanpa sokongan pembiayaan dan insentif yang bersesuaian, agenda hijau kurang mendapat sambutan," kata Ahmad Hadri.

Menerusi kerjasama Institusi Perbankan dan pembiayaan Islam Malaysia (IBFIM), GreenTech Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan lagi industri teknologi hijau di Malaysia, dan menyediakan maklumat semasa serta prospek masa depan penyelesaian pembiayaan Islam dalam memacu agenda hijau negara.

"Kami mengenal pasti perbankan Islam sebagai platform memandangkan ia berasaskan dan mempromosi nilai dan amalan yang baik.

"Bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada pelbagai institusi kewangan, kami memperakui mengenai perlunya akses kepada maklumat yang lebih baik mengenai potensi dan pembangunan sektor teknologi hijau," katanya.

GreenTech Malaysia ialah organisasi bukan membuat keuntungan dalam Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia, yang diamanahkan untuk membangunkan dan mempromosi teknologi hijau sebagai enjin strategik untuk pertumbuhan sosioekonomi di Malaysia. - Bernama/8 Okt 2013
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment