Terkini

Sunday 27 October 2013

Malaysia: Pasaran modal negara AS$816b

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Pasaran modal Malaysia yang kini lebih terangkum serta boleh diakses berbanding sebelumnya, dan kini bernilai AS$816 bilion, berjaya mengukuhkan ekonomi dengan mencergaskan pasaran bon, terutama bon Islam, merangsang industri unit amanah serta menyumbangkan kepada tabungan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pasaran modal Malaysia yang cergas, kini bersamaan dua setengah kali ganda keluaran dalam negara kasar negara.
Selain itu, pasaran bon negara yang bernilai AS$314 bilion, sudah berkembang dan secara relatifnya merupakan ketiga terbesar di Asia kepada keluaran domestik kasar, manakala industri unit amanah merupakan yang terbesar di ASEAN, dengan gabungan nilai aset berjumlah AS$102 bilion.
“Pasaran sukuk menyumbang hampir 70 peratus jumlah dunia dan merupakan industri unit amanah Islam terbesar di dunia," katanya dalam ucapan dasar pada Simposium Pasaran Modal Dunia 2013 di sini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, peningkatan pasaran modal yang cergas sejak 20 tahun lepas itu adalah sejajar dengan kedudukan ekonomi negara yang lebih terbuka, berdaya saing dan lebih bersepadu dengan pasaran global, yang membolehkan tabungan lebih cekap dan digunakan sebagai modal.
“Kita mempunyai kadar tabungan tertinggi di dunia," kata Perdana Menteri.
Najib berkata, pasaran telah membolehkan perusahaan meningkatkan modal untuk pelaburan tetap jangka panjang, membuka jalan untuk pembangunan menyeluruh, menerusi pembiayaan infrastruktur awam dan swasta yang kritikal seperti utiliti, pengangkutan dan telekomunikasi.
Beliau berkata, pemilikan korporat juga semakin lebih demokrasi dengan membantu rakyat Malaysia memainkan peranan yang lebih besar dan memperoleh manfaat daripada pertumbuhan negara, didorong oleh skim pelaburan oleh institusi-institusi khas dan bagi menggalakkan dan memudahkan pelaburan oleh isi rumah berpendapatan rendah.
Perdana Menteri juga berkata, pasaran modal Islam Malaysia, yang terkenal di dunia, juga memenuhi permintaan untuk pelaburan berlandaskan syariah dan penjanaan modal, telah membuka penyertaan ekonomi kepada pemegang kepentingan secara lebih meluas.
“Inisiatif dalam menangani keperluan pembiayaan bagi keseluruhan spektrum perniagaan merentas seluruh sektor awam dan swasta, daripada perusahaan kecil dan sederhana sehingga syarikat besar, mulai syarikat baharu sehingga perusahaan sosial, saling melengkapi usaha-usaha ini untuk membina pasaran yang lebih inklusif," katanya.
Najib berkata, pasaran modal telah memainkan peranan penting dalam membolehkan Malaysia mentransformasikan ekonomi sejak 20 tahun lepas, yang menyumbang kepada pembangunan secara lebih meluas dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Rangka kerja kawal selia kita memenuhi piawaian antarabangsa pada tahap terbaik dan Malaysia hari ini diiktiraf sebagai penyumbang utama kepada usaha pembaharuan kawal aturan antarabangsa," katanya. - BERNAMA/22 Okt 2013
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment