Terkini

Friday 25 October 2013

Laporan Ekonomi 2013/2014: Malaysia Kekal Peneraju Global Dalam Pasaran Sukuk

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama ) -- Malaysia kekal menjadi peneraju global dalam pasaran sukuk, merangkumi 70.5 peratus daripada US$75 bilion sukuk baharu yang diterbitkan di peringkat global dalam tempoh lapan bulan pertama 2013.

Ia juga merupakan domisil bagi 63.6 peratus daripada US$275.2 bilion sukuk terkumpul global pada akhir Ogos 2013.

Kementerian Kewangan, dalam Laporan Ekonomi 2013/2014 yang dikeluarkan hari ini berkata terbitan sukuk terus menjadi sumber penting pembiayaan dalam modal pasaran Islam serta menyediakan peluang-peluang untuk syarikat korporat menceburi sumber kecairan baharu di rantau ini.

"Bursa Malaysia mengekalkan kedudukan teratas dengan penyenaraian sukuk bernilai US$32.3 bilion atau RM106.6 bilion dan jumlah sukuk tersenarai sebanyak 19.

"Begitu juga Bursa Suq Al-Sila' yang merupakan platform dagangan komoditi patuh Syariah telah menarik minat asing yang semakin meningkat terutamanya dari timur tengah," demikian menurut laporan itu.

Pada akhir Ogos 2013, sejumlah 74 peserta 'Bursa Malaysia Islamic Services' yang telah didaftarkan,

terdiri daripada 56 peserta dagangan komoditi, 14 peserta pembekal komoditi dan empat peserta pelaksana komoditi.

Menurut laporan itu, sehingga Ogos 2013, komoditi bernilai RM311.8 bilion telah ditawarkan dan RM579.4 bilion telah didagangkan.

Sementara itu, industri perbankan Islam telah menunjukkan pertumbuhan ketara dalam tempoh lima tahun yang lalu, dengan peningkatan dua kali ganda aset daripada RM251 bilion pada 2008 kepada RM494.6 bilion pada 2012.

"Pada akhir bulan Ogos 2013, bahagian pasaran aset perbankan Islam meningkat 13 peratus kepada RM542.5 bilion," kata laporan itu.

-- BERNAMA

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment