Terkini

Monday 7 October 2013

HDC Catat Kecemerlangan Pembangunan Industri Halal Selama Tujuh Tahun

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) mengeksport lebih RM16 bilion nilai produk dan perkhidmatan halal dalam masa enam bulan pertama tahun ini.

Sejak 2010, HDC telah menyelia lebih 100 projek dengan nilai pelaburan sebanyak RM8 bilion, melalui pelbagai usaha pembangunan industri.

"Usaha ini dilihat dalam pembinaan kapasiti, akses pasaran, penjenamaan dan promosi serta akses kepada pembiayaan," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jamil Bidin dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Kejayaan ini juga antara pencapaian yang dicatat oleh perbadanan itu dalam tujuh tahun kewujudannya dan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab antarabangsa bagi industri halal.

Jamil berkata HDC telah menyediakan bantuan komprehensif kepada pengeluar, pengedar, peruncit, usahawan, penyelidik dan pelabur Malaysia dan multinasional untuk menembusi pasaran halal global yang berkembang.

"Ini dilaksanakan dengan menggunakan pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam sektor makanan dan bukan makanan.

"Pencapaian kejayaan industri halal melalui HDC didorong oleh strategi nilai tambah serampang tiga mata, memberi tumpuan kepada pengeluaran halal, perdagangan halal dan perkhidmatan halal, yang membawa nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang tinggi," katanya.

Jamil berkata pendekatan strategik syarikat dalam memperjuangkan pasaran halal adalah dalam pembangunan industri, pembangunan jenama dan integriti halal.

HDC juga, setakat ini membantu lebih 700 syarikat halal tempatan ke peringkat global melalui Program Transformasi Perniagaan Halal (HBT) dengan pasar raya besar dan syarikat-syarikat multinasional, termasuk Parkson, Aeon Jusco, Giant, Aeon BIG, Felda D' Saji, LuLu dan Angkasa.

Program HBT yang mencatatkan urus niaga perniagaan sebanyak RM850 juta, baru-baru ini dianugerahkan sebagai "Program Hasil Terbaik" di peringkat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, yang dinilai oleh Pejabat Perdana Menteri.

Melalui Taman Halal, HDC telah secara berterusan memudahkan pertumbuhan industri halal Malaysia dalam komuniti perniagaan berorientasikan halal yang dibina di atas hartanah bersama, dengan menyediakan sokongan perkhidmatan infrastruktur.

Setakat ini, terdapat 13 taman halal dengan akreditasi HDC (status HALMAS) di seluruh negara, yang berjaya menarik pelaburan bernilai AS$1.8 bilion.

"HDC telah membantu menjadikan taman halal di Malaysia satu tempat tarikan kepada syarikat-syarikat asing, terutama syarikat-syarikat multinasional untuk melabur dalam 20 taman halal yang terletak di seluruh negara.

"Antaranya ialah syarikat yang mempunyai pelaburan besar dari Jepun dan Taiwan," kata Jamil.

Beliau berkata HDC juga aktif berusaha dalam inisiatif pembinaan kapasiti yang direka untuk menyokong agenda kerajaan Malaysia dalam membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai enjin pertumbuhan dan inovasi di negara ini.

"Ini selaras dengan dasar-dasar yang digariskan oleh Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"HDC juga terlibat secara aktif dalam majlis berkenaan untuk memacu dan memudahkan pertumbuhan kluster atau sektor industri halal utama seperti yang dikenal pasti dalam pelan induk industri halal," katanya.

Kelompok berkenaan termasuk makanan diproses khusus, bahan-bahan halal, kosmetik dan penjagaan diri serta penternakan.

Potensi pembangunan kelompok itu adalah penting untuk menjadikan segmen halal, sumber baharu pertumbuhan ekonomi, dan merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi Hab Halal Global pada 2020.
-- BERNAMA

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment