Terkini

Tuesday 5 April 2011

Kontrak kewangan Islam

Islam telah menyediakan garis panduan dalam menggerakkan ekonomi. Ia merangkumi semua kontrak kewangan Islam yang boleh digunakan bagi menjalankan perniagaan. Kontrak-kontrak tersebut mengandungi rukun dan syarat yang perlu dipatuhi demi memastikan hak semua pihak terjamin.
Di sebalik pematuhan kepada rukun dan syarat kontrak, terdapat unsur-unsur lain yang boleh menjayakan objektif kewangan Islam itu. Unsur-unsur tersebut termasuklah aktiviti, pengawal dan pengendali urusan kewangan berkenaan.
Semua unsur tersebut perlu menjunjung nilai dan akhlak sebagaimana yang digagaskan Islam agar sistem kewangan Islam dilihat sebagai sebuah sistem sebenar. Ini kerana Islam adalah agama yang merangkumi segenap aspek kehidupan manusia. Ia bukan sahaja memerintahkan umatnya berpegang kepada syariah, tetapi menyuruh mereka supaya menganut Islam secara keseluruhan.
Ini jelas dipaparkan dalam surah al-Baqarah, ayat 208 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.
Dengan maksud yang lain, sistem kewangan Islam tidak cukup dengan pematuhan terhadap rukun dan syarat dalam aktiviti perniagaan sahaja. Ia memerlukan komitmen pengendali untuk memastikan sikap mereka, persekitaran tempat kerja, budaya dan sebagainya sejajar dengan nilai-nilai Islam. Ini untuk meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadapnya. Sekali gus ia akan meningkatkan reputasi baik institusi berkenaan dan mendapat hasanah di dunia danhasanah di akhirat.
Sebagai contoh, penulis mengambil Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. sebagai rujukan. Takaful Ikhlas telah membuktikan keupayaannya sebagai entiti perniagaan yang begitu cepat berkembang dan pada waktu yang sama memastikan keseluruhan operasinya berlandaskan syariat.
Ia mempunyai visi dan misi yang jelas untuk meletakkan syarikat sebagai pengendali takaful pilihan yang dipandu oleh prinsip syariah.
Visi dan misi inilah yang memacu setiap operasinya agar tidak bercanggah dengan prinsip serta nilai-nilai syariat. Takaful Ikhlas sentiasa merujuk dan mendapatkan nasihat Jawatankuasa (JK) Syariah yang terdiri daripada sarjana-sarjana dalam bidang kewangan Islam.
Bermula dengan proses pengunderaitan, Takaful Ikhlas tidak akan menerima risiko-risiko yang bercanggah dengan syariat seperti kilang arak, premis perjudian dan pusat-pusat hiburan. Sebarang pengeluaran produk juga perlu melalui kelulusan JK Syariah terlebih dahulu.
Sekiranya JK Syariah tidak berpuas hati dengan ciri-ciri produk berkenaan, maka ia akan diperbetulkan semula dan akan diperbincangkan sekali lagi oleh JK Syariah. Setiap pelaburan syarikat pula dipantau secara berterusan oleh jabatan dan badan tertentu sama ada di peringkat dalaman atau luaran.
Sekurang-kurangnya terdapat lima entiti yang mengawal selia proses pelaburan syarikat. Ini termasuklah Jabatan Pematuhan Syariah, Jawatankuasa Syariah, audit dalaman, audit luaran dan Bank Negara Malaysia. Ini menyebabkan semua warga kerja Takaful Ikhlas bertungkus-lumus memastikan semua operasinya berlandaskan syariah kerana ia dikawal ketat oleh entiti-entiti terbabit.
Namun begitu, syariah Islam tidak akan dapat dilaksanakan dengan jayanya melalui prosedur yang ketat semata-mata. Ia perlu bermula dengan kefahaman yang jitu terhadap syariah Islam.
Justeru, dalam menerapkan kefahaman ini kepada warga kerjanya, Takaful Ikhlas secara berterusan membangunkan warganya dengan pelbagai program dan aktiviti pembangunan kakitangan seperti majlis tazkirah mingguan, solat secara berjemaah di tempat kerja, artikel berbentuk tazkirah dan sebagainya.
Di samping operasi dan aktiviti syarikat, pihak syarikat juga memastikan penerapan nilai-nilai syariah Islam dikembangkan dalam persekitaran tempat kerja. Ini termasuklah mewajibkan pekerja menutup aurat, kedudukan pekerja lelaki dan pekerja perempuan diasingkan, membudayakan memberi salam, mengamalkan akhlak-akhlak mulia dan sebagainya.
Selain itu, aktiviti pemasaran juga memainkan peranan penting dalam menyebarkan mesej Islam kepada masyarakat di samping memasarkan produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat.
Justeru, bagi memastikan mereka yang berada di sektor pemasaran ini benar-benar memahami tanggungjawab mereka, maka Takaful Ikhlas mewajibkan wakil-wakil mereka mengikuti kursus-kursus yang memberi kefahaman bagaimana menjadi wakil di sebuah institusi kewangan Islam.
Mereka juga diterapkan dengan kesedaran perlunya mempraktikkan akhlak dan disiplin sebagai wakil takaful. Ini untuk memastikan mereka sentiasa sedar bahawa mereka bukan sahaja ingin membantu masyarakat mendapatkan perlindungan terhadap keluarga dan harta benda, bahkan supaya mereka bertambah yakin dan istiqamah dalam membangunkan sistem kewangan Islam.
Semua ini boleh berlaku di mana-mana institusi atau organisasi asalkan warga institusi atau organisasi berkenaan memahami bahawa Islam adalah agama yang syumul (menyeluruh) dan mereka mempunyai semangat jihad yang tinggi untuk melihat Islam itu berada di tempatnya yang tinggi.
Maka umat Islam perlu mempraktikkannya secara menyeluruh termasuklah dari sudut aktiviti dan akhlak. Mana mungkin sebuah visi yang besar iaitu untuk membangunkan sistem kewangan Islam akan berjaya tanpa pengukuhan kefahaman dan sikap. Nescaya, individu dan institusi yang hanya memilih sudut-sudut tertentu dalam Islam tidak akan diberikan kejayaan oleh Allah SWT.
Utusan Malaysia

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment