Persoalan mengenai faedah, riba atau 'interest' dalam urusan kewangan menjadi mauduk perbincangan penting sejak berabad lamanya. Kegagalan memahami istilah dan penggunaan secara tepat boleh menyebabkan kepincangan dalam pengurusan kewangan dan ekonomi. Sejak penggunaan istilah yang saling berkongsi makna yang sama ini dan perkembangan muamalah kewangan Islami, kegiatan yang mempunyai faedah dielakkan ekoran dari pengharamannya. Kekaburan maksud sebenar riba dan pengabaian sudut etika pengurusan kewangan Islami boleh menyukarkan natijah syariat. Oleh itu, mengharuskan sesuatu amalan muamalah dengan tidak menggunakan aqad yang dinisbahkan kepada faedah tidak bermakna sesuatu muamalah itu menepati ajaran Islam. Pengharaman riba ditemui sejak 2,000-1,400 S.M dalam tamadun keagamaan India. Begitu juga di dalam kitab Bible (Old Testament-Ezekiel), yang menganggap riba adalah jenayah setanding dengan kesalahan merogol, membunuh, mencuri dan syirik di kalangan kaum Yahudi tahun ke-6 S.M. Seterusnya, Kod Hammurabi mengawal amalan riba dengan mengenakan had tertentu ke atas pemberian pinjaman wang. Plato dan Aristotle mengakui riba sebagai tidak bermoral dan tidak adil. Greek menjadi antara yang pertama menguatkuasakan kawalan kadar tertentu ke atas riba (800-600 S.M), diikuti oleh Rom (443 S.M) menetapkan kadar riba tidak boleh melebihi 8.33% dan kemudiannya dinaikkan kepada 12%. Pada kurun ke-7 Masihi, Al-Quran menegaskan pengharaman riba ke atas seluruh umat manusia dan mencela amalan ini. Di Malaysia, amalan perbankan dan badan kewangan menetapkan kadar faedah kepada pinjaman kepada Kadar Asas Pinjaman (Base Lending Rate-BLR) yang pada ketika ini 6.8% manakala jendela kewangan dan perbankan Islam pula menutup terus amalan berunsurkan faedah ke atas pinjaman kecuali hanya membuka ruangan ke atas aqad 'jualbeli' (bay'). Perkembangan pemikir ekonomi moden seperti Adam Smith, Keynes dan Silvio Gesell, menyokong pencegahan amalan riba dengan memberi fikrah menghadkan kadar tertentu keharusannya. Ada juga ahli ekonomi sezaman mereka menganggap riba seperti penyakit kanser dalam masyarakat. Melihat kepada pemikir Islam dan fatwa fiqh antarabangsa, pengenaan sebarang tambahan bayaran balik ke atas pinjaman wang yang melebihi jumlah yang dipinjamkan tanpa mengambilkira bentuk dan istilah yang digunakan adalah haram dan ditegah sama sekali. Ada pihak yang memberi hujah bahawa pengharaman riba ini gagal mengambilkira unsur nilai kos melepas (opportunity cost) kepada peminjam dan kesan inflasi ke atas wang yang dipinjamkan. Prof. Erhun Kula[1] membangkitkan perkara ini di dalam jurnal beliau namun bersetuju bahawa aqad yang berlandaskan jualbeli mempunyai nilai risiko dan pulangan (reward) usaha pemilik harta tersebut dan berhak menerima kadar pulangan tertentu. Beliau juga bersetuju bahawa pengenaan kadar faedah ke atas pinjaman boleh melumpuhkan ekonomi dan menekan golongan kurang berkemampuan. Bagaimanapun, kita perlu sedar bahawa tidak semua faedah itu riba (Prof. Murad Cizakca, 2006). Keadaan ini berlaku kerana kita gagal membezakan antara riba dan faedah (interest). Faedah yang dikenakan ke atas wang yang berbeza jangkawaktu pertukaran atau pembayaran balik perlu mengambilkira faktor perkaitan masa (time preference). Unsur masa yang dimaksudkan adalah perkaitan di antara kejatuhan (atau kenaikan) nilai semasa matawang tersebut berbanding semasa aqad dibuat. Wang yang dimiliki sekarang lebih bernilai dari wang yang bakal diperolehi di masa hadapan. Dalam persoalan ini, mengikut pendapat As-Syaibani[2], sekiranya berlaku kejatuhan pada nilai matawang tertentu, kadar emas semasa aqad dibuat hendaklah dijadikan asas nilai pembayaran balik. Pendekatan ulama Islam dalam terhadap zakat fitrah dengan menggunakan wang (thaman bi al-nuqud al-Mithli) menggantikan nilai segantang beras adalah satu contoh tepat bagaimana kita perlu melihat wang hanyalah berperanan sebagai cara menyimpan nilai tersebut. Nilai wang bagi segantang beras berubah-ubah tertakluk kepada nilai harga semasa. Muamalah semasa pengharaman riba dengan keadaan sekarang di mana wang fiat diperkenalkan (960-1279M oleh Dinasti Song di China dan kemudiannya negara-negara lain) adalah berbeza. Ketika pengharaman riba, emas dan perak dijadikan asas pengukuran harga/nilai. Maksud lebihan kepada pinjaman ialah lebihan yang dikenakan ke atas wang (emas atau perak) dari jumlah yang dipinjamkan. Oleh itu, bagi memastikan keadilan kepada pemberi pinjaman dan juga peminjam, emas dan perak perlu dijadikan nilai asas kepada pinjaman. Pembayaran balik yang tidak melebihi sedikitpun nilai emas semasa perlu dikuatkuasakan supaya mengurangkan usaha menjuruterakan aqad pinjaman kepada jualbeli. Berlebihan berurusan dengan wang fiat dan berleluasanya riba dapat dilihat dalam masalah sub-prima yang menekan ekonomi dan bakal melumpuhkan Amerika Syarikat sekarang. Di dalam Riba in Islam, Fiqh of Contemporary Issues-Mohammad Razi (May 2008) juga menyimpulkan bahawa riba dalam apa bentuk sekalipun ke atas pinjaman tidak boleh dan haram di sisi agama Islam.[3] Dengan kata lain, mengambil pulangan secara melebihi dari pinjaman kepada orang lain tidak dibolehkan walaupun berbagai hujah lojik diberikan atau mendapat keredhaan pihak-pihak berkenaan. Pengharaman riba adalah bertujuan untuk memberi keadilan dalam urusan kewangan dan mengelakkan dari berlakunya penindasan golongan kaya ke atas golongan yang miskin. Riba juga membuatkan orang yang miskin bertambah miskin manakala orang yang kaya tidak mahu berusaha memakmurkan sumber modal yang ada dengan hanya mengharapkan pulangan hasil dari tekanan kadar yang tinggi ke atas peminjam. Akibatnya, ekonomi akan mundur dan cenderung memusnahkan kemakmuran sesebuah negara. Apa yang digalakkan oleh Islam adalah berniaga atau bermuamalah pertukaran berlandaskan keredhaan dengan jalan jualbeli atau pemakmuran ekonomi melalui perkongsian. Pengagihan kekayaan secara adil dan menggalakkan amalan bersedekah di samping menunaikan zakat ke atas pemilikan kekayaan tersebut. Agihan ini dapat dirasai oleh orang yang kurang berkemampuan manakala harta yang diperolehi dengan menepati kehendak syariah mendapat barakah seterusnya menambahkan lagi kemakmuran negara. Pulangan dengan hanya memberi pinjaman tanpa mengusahakan sesuatu kegiatan ekonomi dihapuskan. Kecenderungan terkini yang ditakuti ialah terdapat pihak-pihak yang cuba menyembunyikan amalan riba di dalam aqad-aqad yang diberi istilah tertentu. Jelas kepada kita sekiranya kita menyebut jualbeli dalam sesebuah aqad, tidak semestinya muamalah tersebut jualbeli sekiranya tidak jelas atau aqad tersebut bukan jualbeli. Dengan hanya menggunakan istilah bay' tidak bermakna ianya tidak mengandungi riba sekiranya aqad tersebut adalah pinjaman. Sekiranya kita lihat ayat ini, "Pinjaman peribadi berdasarkan kontrak jualbeli bay' inah, diluluskan oleh Penasihat Syariah". Bukankah pelik dan ganjil bunyinya. Sudah semestinyalah mereka ingin meminjam dan pinjaman tersebut yang biasanya untuk kegunaan peribadi dibuat dari mana-mana bank yang menawarkannya. Perkara ini jelas merupakan amalan riba sekiranya pembayaran balik melebihi jumlah pokok. Penggunaan perantara atau 'dummy' dalam aqad seperti lot tanah atau saham, tidak memberi apa-apa makna sebenarnya. Seterusnya, hujah kenapa kaedah pembayaran balik hanya dibuat melalui potongan gaji juga boleh dipersoalkan. Seterusnya, kajian lanjut boleh dibuat bagi mengetahui kesan amalan aqad-aqad seumpama ini terhadap kadar bankrupsi di Malaysia. Aqad-aqad seperti Bay' Inah, Murabahah, Bai' Bi thamanil Ajil (BBA) dan tawarru' yang ada di Malaysia boleh dikategorikan sebagai mencurigakan. Aqad-aqad ini tidak lain dari menjuruterakan aqad jualbeli bagi mengharuskan pinjaman berdasarkan faedah. Di dalam sebuah hadith, diriwayatkan bahawa Allah mencela pemberi, penerima, penulis dan orang yang menyaksikan amalan riba. Kerelaan pihak-pihak terbabit tidak boleh dijadikan alasan mengharuskan satu larangan. Sekiranya kerelaan boleh digunakan, maka akan berlaku maksiat penzinaan berleluasa kerana masing-masing rela dan kerelaan mereka telah membelakangkan syariat pengharaman zina itu sendiri. Seperkara lagi yang jelas dari segi amalannya, tidak kira sama ada institusi tersebut dinisbahkan sebagai badan islami atau tidak, sekiranya mereka memberi pinjaman atau melaksanakan aqad muamalah, kebergantungan kepada BLR masih tidak dapat dielakkan. BLR digunakan sebagai asas kepada kadar keuntungan aqad yang digunakan dan amalan riba dibenarkan berlaku. Keruncingan pengurusan kewangan dan ekonomi kebelakangan ini akibat ketidaktentuan naik turun nilainya, perlu dilihat sebagai desakan yang menuntut kita menakrifkan semula riba, faedah, wang, harga dan etika pengurusan kewangan serta menyusun semula tatacara pentadbiran kewangan menyeluruh. Masalah sub-prima yang dihadapi oleh Amerika Syarikat sekarang yang bakal melumpuhkan ekonomi negara itu mungkin boleh dijadikan pengajaran betapa kesan kegagalan memahami kaedah pengurusan kewangan dan ekonomi selari kehendak syariah mengancam kestabilan ekonomi sesebuah negara. Mohd Noor Omar - Pegawai Penyelidik, IKIM 22/07/2008 | Berita Harian --- Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com |
Maklumat, berita dan ilmu kewangan & pelaburan Islam. Untuk melabur dalam dana-dana patuh Syariah PMB INVESTMENT, sila hubungi +60192348786 (Sanusi, KL) atau +60199539330 (Rozanna, Kajang).
Terkini
Tuesday, 5 April 2011
Penyusunan Semula Aqad Muamalah Kewangan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment