KUALA LUMPUR 10 Julai – Nilai hartanah dan jumlah wang yang tidak dituntut disebabkan isu pewaris yang tidak dapat diselesaikan, terdiri daripada semua kaum di negara ini, mencecah RM40 bilion sehingga kini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM38 bilion terdiri adalah hartanah kaum Melayu. “Sebanyak RM1.8 bilion wang yang tidak dituntut dari Pendaftar Wang Yang Tidak Dituntut dan wang tidak diselesaikan pewarisnya yang berada di bawah kawalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, koperasi-koperasi dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) terdiri daripada harta semua kaum bernilai RM70 juta. “Masalah ini berbangkit akibat perbalahan keluarga, kurangnya kesedaran mengenai harta pusaka dan waris sendiri tidak mengetahui wujudnya harta terbabit mengakibatkan ia tidak dituntut,” katanya semasa merasmikan Konvensyen Perwarisan Harta Islam 2007 dan Pelancaran Daftar Wasiat Malaysia di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Abdul Rahman Suliman. Nazri berkata, masalah yang melanda semua kaum ini juga disebabkan masih ramai yang tidak memahami pentadbiran warisan, pendedahan mengenai wasiat, hibah (hadiah), pemegang amanah serta pengetahuan pengagihan harta selepas kematian. “Faktor ini akan menyebabkan keluarga berbalah, bahkan harta yang ditinggalkan menjadi punca bencana keluarga sendiri dan paling malang, ia akan berlarutan hingga satu generasi ke generasi yang lain tanpa penyelesaian bahkan mungkin tidak dapat diselesaikan kerana membabitkan waris yang berlapis,” katanya. Katanya, dalam satu kes yang unik, sebidang tanah berukuran 371.6 meter persegi (4,000 kaki persegi) di Kampung Baru, di sini mempunyai 100 orang yang berhak terhadapnya dan tidak dapat diselesaikan sehingga sekarang. Merugikan: Nazri berkata, masalah seumpama itu tidak seharusnya dibiarkan berterusan kerana ia bukan sahaja merugikan negara tetapi juga meninggalkan masalah dan beban terhadap waris yang berhak. Sementara itu, beliau memuji langkah proaktif Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), sebuah syarikat milik penuh kerajaan yang mengendalikan harta pusaka sejak 1921 dengan mencatat peningkatan pengurusan wasiat Islam dan bukan Islam sejak tiga tahun kebelakangan ini. AmanahRaya menyelenggarakan 221 wasiat Islam dan 652 wasiat bukan Islam pada 2004 dan meningkat kepada 666 (Islam) 968 (bukan Islam) pada 2005; 8,284 (Islam) dan 1,589 (bukan Islam) pada 2006 serta 12,152 (Islam) dan 6,187 (bukan Islam) tahun ini. Beliau berkata, sistem penamaan bagi caruman KWSP, simpanan Tabung Haji, saham amanah, insurans dan takaful juga perlu dilihat semula dan diseragamkan supaya tidak timbul kekeliruan di kalangan masyarakat sama ada ia adalah wasiat, hadiah ataupun hanya pemegang amanah. Katanya, kerajaan bersedia untuk membawa cadangan dan hasil rumusan konvensyen berkenaan bagi mempercepat dan mempermudahkan pengurusan harta pusaka dan wasiat ke Kabinet malah ke Parlimen demi manfaat semua pihak. Mengenai Daftar Wasiat Malaysia (DWM) yang dilancarkan itu, beliau berkata, ia akan memudahkan pengurusan dan rekod bagi mereka yang membuat wasiat untuk menentukan sama ada si mati mempunyai wasiat yang bertulis ataupun tidak.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com
No comments:
Post a Comment