Terkini

Saturday 18 June 2011

Perlu bijak atur langkah pelaburan persaraan


SAYA adalah pembaca tetap ruangan yang dikendalikan oleh OCBC Al-Amin. Saya bakal bersara wajib tidak lama lagi dan mempunyai wang simpanan KWSP kira-kira sebanyak RM250,000, apakah yang boleh saya lakukan dengan wang sebanyak itu, dengan syarat mampu meraih keuntungan yang pasti?
Marisah Alias
Kuala Lumpur

Pada lewat 2008, apabila kegawatan ekonomi melanda seluruh dunia, kita telah menyaksikan pasaran kewangan mengalami kejatuhan ketara dalam tempoh singkat. Salah satu daripada tragedi paling besar ialah kesan langsung krisis kewangan menjejaskan mereka yang bersara atau hampir bersara kerana sebahagian besar daripada simpanan ‘hilang’ apabila pasaran saham menjunam dengan pantas.
Jadinya, orang yang sudah mencapai peringkat kehidupan ini tidak patut meletakkan sebahagian besar simpanan dalam pasaran saham.
Semakin anda menghampiri zaman persaraan, langkah perlu diatur dengan bijak untuk memperuntukkan sebahagian besar daripada aset dalam pelaburan lebih stabil, Kami mengucapkan tahniah kepada Marisah kerana menyedari keperluan melaburkan dana persaraan dalam pelaburan konservatif yang memberikan pulangan tetap yang terjamin.
Kita di Malaysia, bernasib baik kerana mempunyai pelbagai alternatif pelaburan yang memberikan pulangan stabil sambil mengekalkan modal pelaburan. Pertama, akaun pelaburan am. Anda boleh membuat simpanan dalam akaun pelaburan am perbankan Islam dan mendapatkan pulangan stabil atas pelaburan yang lazimnya lebih tinggi daripada akaun simpanan Mudharabah biasa. Dengan pelbagai promosi yang ditawarkan, pelanggan mempunyai banyak pilihan. Akaun pelaburan am ini merupakan unsur penting dalam portfolio pesara.
Pilihan berikutnya adalah skim dana amanah saham. Satu bentuk pelaburan yang tidak asing di kalangan rakyat Malaysia kerana memberikan pulangan tinggi setiap tahun menerusi dividen yang dibayar, sambil mengekalkan modal pelaburan. Di bawah rangkaian amanah saham, anda boleh memilih pelbagai jenis dana pelaburan.
Bagi mereka yang arif, kami mengesyorkan supaya memperuntukkan sejumlah kecil portfolio dalam saham. Jangka hayat manusia zaman ini lebih lama dan portfolio persaraan harus dirancang untuk tempoh 10 tahun atau lebih. Berasaskan tempoh masa ini, saham mempunyai peluang terbaik mencapai pulangan tinggi. Jika berbuat demikian, tabungan persaraan anda telah dipelbagaikan, tetapi anda sebelum itu perlu memahami tentang pelaburan yang dilakukan itu. Pelaburan yang baik pun boleh menyebabkan kerugian jika anda tidak tahu selok-beloknya. Buat sedikit kajian sebelum melabur. Jika anda tidak, lebih baik anda mengelakkannya sama sekali.
Faktor lain yang perlu dipertimbangkan pada peringkat ini dalam kehidupan anda termasuk merangka pelan bajet yang berdisiplin. Kemampuan kewangan anda amat bergantung pada tabungan persaraan berjumlah RM250,000 dan pulangan pendapatan yang dijana daripadanya. Tetapkan belanjawan yang munasabah dan pastikan anda mematuhinya. Sebagai contoh, jika tabungan anda berjumlah RM250,000 dilaburkan dalam kombinasi akaun pelaburan am, amanah saham dan mungkin saham yang secara tergabung menghasilkan pulangan 5.00 peratus setahun, jumlah aliran tunai tahunan yang anda perolehi ialah RM12,500. Bolehkah jumlah ini menyokong gaya hidup anda untuk setahun? Jika tidak, dan anda tergerak hati untuk mengeluarkan wang daripada tabungan RM250,000 untuk menyara hidup anda, anda perlu sedar bahawa pulangan anda akan berkurangan seiring dengan penyusutan tabungan. Di samping itu, berapa lama tabungan pendapatan anda akan kekal? Patutkah anda mengubah gaya hidup anda?
Rangka pelan pelaburan dan juga bajet anda sekiranya anda belum berbuat demikian. Dapatkan bantuan jika perlu, tetapi anda tetap perlu melakukannya. Ramai orang begitu seronok apabila mereka menerima tabungan KWSP dalam bentuk tunai dan mungkin bertindak terburu-buru. Jangan lupa, wang hasil titik peluh anda selama ini bertujuan menanggung anda untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang. Perkara ini perlu difikirkan semasak-masaknya! (Utusan Malaysia, 18 Jun 2011)


---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com  
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment