Terkini

Monday 5 March 2007

Pasaran Islam sejagat berkembang 15% setahun

KEYAKINAN dunia terhadap Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju telah sekian lama wujud. Keyakinan dan harapan itu bertambah apabila Malaysia mengumumkan ia mahu menjadi pusat kewangan Islam. Kesinambungan dari inisiatif lalu melalui idea-idea baru pucuk pimpinan kini dalam mewujudkan sistem kewangan Islam di negara ini selaras dengan kesedaran global terhadap wujudnya dan perlunya sistem tersebut. Komuniti bukan Islam antarabangsa, dan tentunya komuniti Islam, sedia maklum tentang wujudnya sistem itu berdasarkan sejarah Islam. Dunia juga sedar tentang perlunya sistem itu lantaran potensi pasaran yang besar dan dengan bertambah majunya negara-negara Islam. Kini dianggarkan bahawa saiz pasaran global perbankan dan kewangan Islam ialah kira-kira AS$300 bilion dan berkembang pada kadar 15 peratus setiap tahun. Ini adalah manifestasi perkembangan pesat dan potensi besar kewangan Islam. Maka tidak hairanlah jika negara-negara bukan Islam sekalipun menumpang tuah mahu menjadikan tempat mereka juga sebagai pusat kewangan Islam. Pimpinan dinamik kerajaan hari ini menampilkan pendekatan bersepadu dalam membangun dan mengejar wawasan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam. Idea Perdana Menteri tentang Islam Hadhari adalah pakej lengkap kepada pembinaan semula kecemerlangan tamadun Islam. Sistem kewangan Islam adalah salah satu building block dalam keseluruhan struktur dinamik bernama tamadun Islam. Wawasan murni itu perlukan kuasa pacu yang padu untuk dijelmakan menjadi kenyataan; maka apakah institusi yang paling sesuai jika bukan Bank Negara. Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menegaskan bahawa kita “perlukan pasukan beriltizam menyokong dan memandu pembangunan (kewangan Islam) dalam bentuk prasarana kewangan, piawaian perakaunan, pasaran kewangan, produk dan kerangka syariah.” Negara kita telah lama mengorak langkah. Pendekatannya ialah secara perubahan berperingkat. Walaupun bukan secara sedar ketika itu dalam kerangka merealisasikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam, namun bibit ke arah itu boleh dikesan seawal tahun 1963 lagi apabila Prof. Diraja Ungku Aziz mengutarakan dan kerajaan melaksanakan penubuhan Tabung Haji. Mercutanda jelas dalam perjalanan negara ke arah wawasan itu ialah pada tahun 1983 apabila Bank Islam Malaysia Bhd. ditubuhkan. Selain perbankan, sektor takaful dan pasaran modal turut menyaksikan inisiatif-inisiatif; apakah dengan kemasukan institusi kewangan Islam luar negara ke Malaysia merupakan klimaks? Pastinya banyak lagi usaha yang mesti dilakukan. Perjalanan masih jauh dan cabaran masih banyak. Melihatkan peluang besar dari kewangan Islam, banyak negara, termasuk yang bukan Islam, terjun ke arena persaingan. Di Timur Tengah dan Utara Afrika, yang terkedepan adalah seperti Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu. Di Barat, England dan Amerika Syarikat turut berminat. Negara-negara yang dalam zon waktu yang sama kita, Brunei Darussalam dan Singapura cuba mendepani. Maka Malaysia, di bawah Bank Negara, telah merangka satu wahana bagi mempastikan agenda berjalan seperti dirancang. Wahana bernama MIFC (Malaysia International Islamic Financial Center) adalah juga wawasan. Wawasan MIFC mesti dijayakan. Malaysia mahu mendahului dalam pasaran (kewangan Islam) yang cepat berkembang ini. Keyakinan dunia terhadap pasaran baru ini jelas. Kini terdapat kira-kira 270 buah bank Islam di dunia. Pasaran bon Islam atau sukuk secara global mencapai nilai terbitan melebihi AS$47 bilion; dan 85 peratus daripada semua bon yang diterbitkan di GCC (Cooperation Council for the Arab States of the Gulf) adalah sukuk. Malaysia sendiri telah mencapai beberapa rekod dalam kewangan Islam. REIT perladangan Islam pertama di dunia diterbitkan oleh Boustead di Kuala Lumpur. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kewangan Islam telah dan akan memainkan peranan berkesan dan sangat penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi global amnya dan Malaysia khususnya. Kalau dulu sekitar tahun 1500, Melaka terkenal sebagai pusat perdagangan antarabangsa, kegemilangan itu bakal tercipta melalui usaha menjadikan Malaysia pusat kewangan Islam antarabangsa. - (IBFIM-Siri 1)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment