Terkini

Monday 12 March 2007

MIFC jadikan negara pusat kewangan Islam dunia

MALAYSIA International Islamic Financial Centre (MIFC) atau Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia adalah satu wahana dalam merealisasikan wawasan menjadikan negara ini sebagai satu pusat pilihan dalam semua urusan kewangan Islam.

Cabaran menjadikan MIFC satu kenyataan sangat hebat lantaran saingan daripada banyak negara, sama ada negara Islam mahu pun bukan Islam.

Perdana Menteri telah menjadikan MIFC satu agenda nasional. Misi MIFC ialah membentuk (di Malaysia ini) industri perkhidmatan kewangan Islam antarabangsa yang rancak, inovatif dan berdaya-saing, dengan dokongan bakat yang berkaliber, prasarana yang bertaraf dunia, dan piawai antarabangsa yang terbaik.

Selaras dengan Pelan Induk Sektor Kewangan dan Pelan Induk Pasaran Modal, beberapa inisiatif diambil untuk memastikan

* sistem kewangan Islam dalam negara terlebih dahulu dibangunkan secara cepat, progresif dan komprehensif,

* liberalisasi dalam pasaran perbankan dan takaful dengan kehadiran nama-nama institusi handalan dari luar negara,

* integrasi global sistem kewangan Islam dan penglibatan aktif dalam pembangunan pasaran kewangan Islam antarabangsa,

* kepelbagaian produk kewangan dalam pasaran kewangan yang rancak disertai pengembangan bakat dan sumber,

* peranan aktif dalam mempromosi dan menawarkan khidmat teknikal takaful di persada antarabangsa terutama di negara-negara ahli Bank Pembangunan Islam.

Di bawah konsep MIFC akan terdapat banyak institusi kewangan yang berbagai jenis, beroperasi di mana-mana tempat di Malaysia yang menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan dalam apa jua mata wang kepada pemastautin dan bukan pemastautin dalam aktiviti terpilih seperti:

* penerbitan, pengagihan serta perdagangan instrumen pasaran modal dan perbendaharaan Islam,

* perkhidmatan dana dan harta Islam,

* perkhidmatan kewangan mata wang antarabangsa (termasuk deposit dan pembiayaan), dan

* takaful dan retakaful.

Melalui konsep MIFC ini juga Malaysia akan diletakkan sebagai pusat kecemerlangan untuk pendidikan perbankan dan kewangan Islam, latihan, perundingan dan penyelidikan.

Bagi menjelmakan wawasan MIFC, dua perkara perlu dijelaskan. Pertama, skop kewangan Islam mencakupi tiga bidang iaitu perbankan, takaful dan retakaful, dan pasaran modal.

Kedua, ada lima komponen penting untuk mewujudkan MIFC. Kelima-lima komponen ini akan mewujudkan pula persekitaran kondusif bagi pembangunan kewangan Islam.

Lima komponen itu ialah institusi kewangan, kerangka regulatori dan pengawalseliaan, kerangka perundangan dan syariah, rejim pertukaran asing liberal, dan modal insan berserta ilmu pengetahuan. Kelima-lima komponen itu bukanlah sekadar hadir tetapi mesti bersifat sesuai dan saling melengkapi. Penubuhan dan pembangunan institusi kewangan mesti bersifat progresif. Dari semasa ke semasa jumlah dan jenisnya mesti bertambah dan pelbagai.

Kerangka penentu aturan dan pengawalseliaan mesti bersifat komprehensif dan lasak. Ia mesti memenuhi kehendak ciri-ciri unik operasi kewangan Islam. Piawaian yang kukuh perlu bagi tadbir- urus korporat, ketelusan, pendedahan, kebertanggungjawapan, disiplin pasaran, pengurusan risiko, dan perlindungan pelanggan.

Kerangka perundangan dan syariah mesti berkesan dan kondusif. Umpamanya, Akta Perbankan Islam 1983 dan Akta Takaful 1984 adalah untuk mengurus dan mengawal selia aktiviti institusi-institusi berkenaan.

Rejim pertukaran asing Malaysia sememangnya liberal. Keadaan demikian dapat meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan. Oleh yang demikian, kegiatan pelaburan asing tentunya akan berjalan lancar.

Bagi menggerakkan model MIFC, komponen modal insan dan ilmu pengetahuan dihidupkan dengan penubuhan institusi latihan seperti International Centre for Leadership in Finance (ICLIF), International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF), dan Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM).

Dengan model MIFC sedemikian, Malaysia telah dan akan terus bersedia mengharung cabaran dalam satu lagi bab pembangunan negara ke arah kecemerlangan. - (IBFIM -siri 2)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment