KAFALAH menurut Islam membawa maksud jaminan dan tanggungan. Ia juga disebut sebagai dhamanah. Secara jelasnya, kafalah membawa maksud sebarang bentuk jaminan yang diberikan oleh pemberi/penanggung jaminan (kafil) kepada pihak ketiga atas kewajipan yang harus ditunaikan pihak yang ditanggung/dijamin (makful anhu). Menurut ulama terdahulu, jaminan boleh melibatkan harta dan diri pihak penjamin.
Sebagai contoh jaminan yang melibatkan harta si penjamin seperti dalam konteks berhutang. Kebiasaannya, pihak lain boleh menjamin penghutang dalam membayar hutangnya kepada pemiutang.
Dalam kes kemungkiran oleh pihak penghutang, maka pihak penjamin hendaklah membayar hutang tersebut bagi pihak penghutang.
Jaminan yang tidak melibatkan harta tetapi diri si penjamin adalah seperti dalam konteks pendakwaan iaitu si tertuduh dengan jaminan orang lain. Sekiranya, beliau tidak hadir dalam perbicaraan maka si penjamin hendaklah bertanggungjawab.
Amalan kafalah dianjurkan oleh Islam sebagai salah satu perbuatan yang mulia.
Ia sebagaimana dinyatakan dalam beberapa ayat al-Quran Surat Yusuf ayat 66 berbunyi:
“Bapa mereka berkata: ‘Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh.’
Maka, ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah dia: ‘Allah jualah yang menjadi saksi dan pengawas atas apa yang kita semua katakan itu’.”
Hutang
Jabir RA telah meriwayatkan bahawa: “Seorang lelaki meninggal dunia dan kami telah memandikannya dengan bersih, kemudian mengkafankan lalu dibawa kepada Rasulullah SAW. Kami bertanya kepada beliau: “Apakah Rasulullah akan mengerjakan solat jenazah ke atasnya?”
Rasulullah bertanya: “Apakah beliau mempunyai hutang?” Kami menjawab: “Ya, sebanyak dua dinar.” Kemudian Rasulullah berlalu dari situ. Maka, berkatalah Abu Qatadah: “Hutangnya sebanyak dua dinar itu menjadi tanggungjawabku.”
Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menunaikan hak orang yang memberi hutang dan si mati akan terlepas daripada tanggungjawabnya (hutang).”
Rasulullah lalu mengerjakan solat ke atas jenazah tersebut. Maka, pada keesokan harinya Rasulullah bertanyakan kepada Abu Qatadah tentang dua dinar itu dan Abu Qatadah menjelaskan bahawa beliau telah melangsaikan hutang jenazah tersebut.
Rasulullah SAW bersabda: “Sekarang kulitnya telah menjadi sejuk.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari)
Berdasarkan kepada dalil-dalil di atas dapat dirumuskan bahawa amalan kafalah adalah dituntut dalam Islam kerana ia boleh meringankan beban pihak yang tidak mampu melangsaikan tanggungjawab seperti hutang.
Fuqaha-fuqaha terdahulu mengkategorikan kafalah sebagai salah satu kontrak tabbaru`at (kebajikan) seperti hibah dan wakalah.
Kategori kontrak sedemikian bertujuan untuk menolong dan meringankan kesusahan pihak tertentu tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Dalam sistem perbankan Islam, kebiasaannya konsep ini digunakan oleh pihak bank untuk menjamin hutang atau prestasi pelanggannya kepada pihak lain.
Sekiranya pelanggan gagal memenuhi hutangnya atau mencapai prestasi sebagaimana dijanjikan, pihak bank akan bertanggungjawab bagi pihak pelanggan tersebut.
Satu kelainan yang terhasil di sini adalah kerana pihak pelanggan terpaksa membayar jumlah tertentu untuk memperoleh jaminan daripada pihak bank.
Ini kerana, bank tidak mampu menanggung risiko untuk menjamin pelanggan membayar atau memenuhi obligasi tertentu maka, bayaran dalam konsep kafalah dikenakan.
Kebajikan
Justeru, telah timbul isu syariah apabila konsep kafalah berasaskan kebajikan tetapi mempunyai balasan tertentu seperti bayaran untuk mendapatkan jaminan.
Sebagaimana maklum, fuqaha terdahulu bersepakat bahawa konsep kafalah tidak boleh dikenakan sebarang bayaran atau balasan atas dasar berbuat kebaikan dan taqarrub kepada Allah.
Namun, terdapat sebahagian fuqaha kontemporari seperti Sheikh Nazih Hammad yang mengharuskan pengenaan bayaran kepada jaminan.
Di samping itu, pandangan itu disokong oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang membenarkan praktis mengenakan bayaran pada sebarang jaminan.
Ini berdasarkan maslahah dan keperluan semasa serta kesukaran untuk memperoleh jaminan daripada pihak lain secara sukarela dalam konteks semasa kecuali menerusi cara pengenaan bayaran.
Keharusan ini boleh diqiyaskan kepada keharusan mengenakan bayaran untuk rawatan perubatan dengan menggunakan kaedah Islam (ruqyah Syar’iyyah) iaitu menerusi bacaan ayat-ayat al-Quran.
Justeru, memandangkan tujuan kedua-dua konsep ini adalah sama iaitu berbuat baik kepada orang lain dan taqarrub kepada Allah, maka mengambil kira keharusan ini, pengenaan bayaran untuk jaminan juga adalah diharuskan dalam syariah.
Pada masa kini, dalam memenuhi tuntutan pelanggan terdapat jaminan, pihak institusi kewangan Islam telah menawarkan beberapa produk jaminan berdasarkan konsep kafalah antaranya, produk Jaminan Bank dan Jaminan Penghantaran.
(Kosmo Online / 28 March 2015)
---