KURANG beberapa hari lagi tahun 2014 bakal melabuhkan tirainya. Menjadi kebiasaan sebelum menjelangnya tahun baharu, masyarakat akan menyambut kehadirannya dengan pelbagai sambutan. Paling menonjol percikan bunga api yang bewarna-warni di ruang angkasa selain kiraan detik 12 malam.
Golongan muda sememangnya menantikan kehadiran tahun baharu dengan meletakkan azam serta harapan baru sebagai sasaran kepada pencapaian diri masing-masing. Tetapi, perlu diingat proses menilai percaturan perjalanan masa dan diri juga mestilah selaras dengan pembangunan negara menjelang tahun baharu itu.
Tahun 2015 bakal menghadirkan cabaran ekonomi yang meliputi semua peringkat rakyat. Malah, tidak keterlaluan dikatakan bahawa ia bakal menjadi cengkaman yang mengsengsarakan akibat pengaruh global. Hal ini kerana peningkatan rakyat dengan bilangan populasi yang ramai turut memberi pelbagai cabaran kepada masyarakat seluruhnya. Arus globalisasi yang kini menghimpit rakyat saban hari tidak mampu lagi disekat sebaiknya. Masyarakat mesti bangkit dalam menghadapi rintangan ini dengan seadanya.
Tentulah lebih mencabar kepada golongan muda yang baharu menjengah ke alam dewasa atau berdikari atau memulakan hidup alam bekerjaya atau berkeluarga, setelah rata-rata menamatkan pengajian peringkat menengah atau universiti. Masing-masing tiada bekal pengalaman menghadapi pengaruh ekonomi yang melingkari melainkan nasihat atau sikap waspada; dengan berjimat cermat dan seumpamanya.
Sedangkan umumnya mengenali golongan muda generasi ini mudah terpesona dengan sebegitu banyak tarikan material, di samping jiwa yang penuh keinginan dan mahukan kemudahan. Walaupun sebenarnya pada situasi ini mereka memerlukan bimbingan, hatta dalam memenuhi keperluan asasi sekalipun. Kecuali anak muda yang mungkin mewarisi kekayaan aset keluarga tanpa perlu bekerja kuat.
Dalam memenuhi kehidupan seperti dinyatakan, hakikatnya golongan muda sendiri perlu mengawal pengurusan ekonomi diri secara bijak dan realistik sesuai dengan cabaran yang sedang bergelombang ini. Secara asasnya terdapat keperluan penting mesti ada untuk golongan muda yang aktif iaitu,
i. makanan;
ii. pakaian;
iii. penempatan;
iv. pengangkutan.
Cabaran perlu disedari bahawa majoriti golongan muda Malaysia adalah berpendapatan di bawah RM3,000 dan jumlah itu pada tempo ekonomi seperti sekarang menunjukkan bahawa kadar pendapatan tidak selari dengan pembiayaan keperluan kos sara hidup.
Tanda-tandanya sudah jelas terlihat sepanjang tahun 2014 apabila ekonomi negara diuji dengan pelbagai perkara. Kejatuhan nilai Ringgit dan saham-saham utama negara, peningkatan harga material pembinaan dan hartanah, kenaikan harga petrol dan barangan keperluan harian, elektrik, tol dan seumpamanya hinggalah kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan April 2015.
Maka, untuk golongan muda hari ini ‘menikmati hidupnya’; berseronok, lapang dan mewah – adalah hampir mustahil, sebaliknya merisikokan keupayaannya melangsungkan hari mendatang. Oleh itu, baik kepada golongan muda mahupun hakikatnya sesiapa sahaja rakyat negara ini, tahun 2015 menuntut mereka merancang dan mengurus ekonomi diri secara lebih teliti, terutama membuat jangkauan masa depan.
Pelan perbelanjaan dan pengurusan diri dalam bentuk kewangan perlu dilakukan dengan mengambil langkah sebaiknya dengan menabung dan membuat simpanan peribadi dalam satu peringkat. Supaya kelak masing-masing mempunyai perancangan sebaiknya untuk menggunakan wang tersebut bagi beberapa keperluan sahaja.
Selain itu, perlu disedari kepentingan penggunaan wang masa kini kerana dengan lonjakan harga barang di Malaysia memungkinkan penurunan kuasa beli masyarakat. Oleh itu, berbelanjalah semampu boleh dan gunakanlah wang yang ada untuk membeli barangan berkepentingan sahaja serta boleh memberi manfaat. Secara tidak langsung ini boleh mengekang dari terus bersifat boros dan tamak yang akhirnya akan merugikan diri.
Kerajaan pula sekiranya ikhlas untuk mensejahterakan rakyat menerusi ekonomi secara adil dan saksama, maka satu-satunya jalan penyelesaian adalah kembali kepada Islam. Jika produk-produk kewangan Islam ketika ini terbukti berjaya memberi imbangan material masyarakat dunia, apatah lagi sekiranya Islam itu dilaksanakan secara syumul. Membahas ekonomi Islam sewajarnya dalam ruang lingkup sistem Islam yang menyeluruh kerana Islam merupakan satu sistem hidup yang lengkap, saling berkait secara seimbang di antara satu dengan lain. Tetapi kerana kedegilan kerajaan berusia lebih 60 tahun ini untuk terus menganut sekular yang memisahkan agama dari segala lapangan, bermakna penerapan ekonomi Islam hanya berlaku secara kebijaksanaan oleh pihak tertentu secara terpencil.
Oleh sebab itulah masalah ekonomi kian membejat dan menekan rakyat sebagai mangsa, sedangkan golongan konglomerat meraih pelbagai bantuan pihak kerajaan memerintah seribut dan separah mana sekalipun ekonomi negara. Ini ketidakadilan yang merosakkan sistem dan tidak menstabilkan ekonomi dengan menyeimbangkan antara kuasa modal dan kuasa beli rakyat. Bahkan, belumpun pelaksanaan berkesan terhadap masalah penipuan, monopoli, manipulasi, rasuah, riba dan seumpamanya ditangani, kerajaan sudahpun meluluskan GST.
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW, telah bersabda:
“Bahawa seseorang kamu di pagi hari pergi mencari dan memikul kayu api di atas belakangnya, lalu hasil yang diperoleh disedekahkan kepada orang lain serta memenuhi keperluannya tanpa meminta daripada orang lain, adalah lebih baik daripada meminta dan mengemis, baik diberi ataupun tidak diberinya. Demikian, kerana tangan yang di atas (yang memberi) adalah baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).”
Berdasarkan hadis di atas, dapatlah dilihat bahawa dengan contoh yang sangat sederhana, Nabi SAW telah menyentuh persoalan ekonomi dalam segenap fungsinya, iaitu:
i. aktiviti pengeluaran - melalui usaha mencari kayu api’;
ii. aktiviti pengagihan - melalui ‘amalan sedekah terhadap yang diperoleh’;
iii. aktiviti penggunaan - melalui ‘usaha memenuhi keperluan sendiri’.
Begitu juga dengan percukaian iaitu syarak melarang penetapan suatu cukai seandainya ia bagi menambahkan pendapatan negara dan bukan untuk membantu membela nasib rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah atau miskin dan fakir. Nabi sendiri pernah bersabda, “Kemiskinan membawa kepada kekufuran.” Menunjukkan ia isu penting yang mesti ditangani dan diurus terlebih dahulu, iaitu tahun 2015 memperlihatkan majoriti rakyat Malaysia termasuk golongan muda bakal berada dalam kemiskinan.
Maka, GST tidak wajib untuk dilaksanakan pada waktu ini, sementelah pula negara telah membariskan bebanan cukai yang banyak dikenakan atas setiap individu rakyat. Jika zakat dan sumber negara masih mencukupi untuk keperluan negara, bermakna GST tidak seharusnya dikenakan kepada rakyat.
Sebaliknya, keperluan negara dalam keadaan tidak mendesak, boleh dipenuhi dengan galakan sumbangan ikhlas serta derma atau wakaf sebagai salah satu amal jariah di akhirat kelak. Ini perlu diperluaskan dalam keperluan atau usaha negara membantu masyarakat yang kurang berkemampuan serta membersihkan harta dari sebarang unsur seperti riba sebelum mengutip cukai dari rakyat. Usaha seperti ini lebih menimbulkan ukhuwah, kebersamaan, keprihatinan dan keseimbangan sekaligus mengecilkan masalah sosial yang boleh membiak dari sebab kemiskinan dan ketidakupayaan memenuhi keperluan asas hidup.
Adapun jika cukai dikenakan, maka ia hendaklah dalam tempoh sementara sahaja dan bukanlah sebagai sumber pendapatan penting atau utama selain zakat. Kadar cukai dikenakan itu juga hendaklah cukup meliputi semua keperluan masyarakat dengan mengambil kira pelbagai golongan tanpa melebihkan sebahagian golongan lain yang akhirnya boleh menindaskan golongan tersebut. Sebuah kerajaan yang teguh mustahil memerlukan tempoh sangat lama untuk mewujudkan kestabilan seperti dinyatakan, melainkan kerajaan itu sendiri korup.
(Harakah Daily / 29 December 2014)
---
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com