Terkini

Wednesday 10 December 2014

Perbankan Islam Malaysia perlu penambahbaikan

PASARAN perbankan Islam Malaysia paling maju di dunia dan usaha menyeluruh yang dilakukan kerajaan mendorong perkembangan perbankan Islam sehingga dapat mewakili beberapa peratus daripada keseluruhan jumlah aset perbankan.

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia, Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, Malaysia menjadi contoh perbankan Islam terbaik di dunia dan pragmatik serta sesuai dengan keadaan semasa.

Menurutnya, Malaysia mempunyai pengalaman, pengamalan perundangan dan pemikir yang baik seperti pengasas Bank Islam pertama negara, Datuk Dr Abdul Halim Ismail dalam mewujudkan struktur organisasi dan prosedur operasi bank berkenaan pada 1983.

“Kita mempunyai bank Islam dan bank konvensional yang membuka Islamic Windows dengan menawarkan produk- produk perbankan Islam kepada masyarakat di negara ini yang berminat terutamanya umat Islam. Kita dilihat ke arah 100 peratus Islamic Windows,” katanya kepada Sinar Harian.

Amir Hussin berkata, negara kita tidak akan menjadi 100 perbankan Islam tetapi ia akan kompetitif berbanding dengan bank konvensional.

“Kita mempunyai dua bahagian iaitu mengamalkan Islam transaksi tanpa riba dan bahagian kedua berkongsi untung. Tidak mudah untuk menyatukan kedua- duanya. Caj perkhidmatan dan kos pentadbiran juga tinggi,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat di negara ini perlu dididik mengenai perbankan Islam dan pihak terlibat perbankan Islam perlu mencari jalan bagaimana untuk berkongsi untung tanpa menekan pelanggan dan menghapuskan riba.
“Orang Islam perlu menyokong perbankan Islam dan memberikan idea yang baik. Masih ada ruang penambahbaikan antaranya rundingan bersama pelanggan, pihak berkuasa yang mengusulkan fatwa dan menggunakan panduan halal dan haram, “ katanya.

Tambahnya, perbankan Islam akan bertambah maju sekiranya pengamal dan organisasi terlibat benar memahami perbankan Islam yang merupakan satu sektor sebuah sistem kewangan Islam yang operasi dan amalan berlandaskan Syariah.

“Perbankan Islam adalah agenda besar. Bagi memacu perkembangannya kepada lebih baik, semua pihak perlu mencari apa diredai ALLAH dan berpandukan al Quran dan Sunnah,” katanya.

Amir Hussin berkata, Universiti Utara Malaysia adalah satu-satunya universiti di dunia yang mempunyai Pusat Pengajian Perniagaan Islam.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi, Universiti Teknologi MARA, Dr Baayah Baba berkata, perbankan Islam adalah satu prospek kepada negara dan ia akan menjadi 100 peratus di negara ini sekiranya kompetitif.

“Perbankan Islam perlu memiliki rangkaian produk dan perkhidmatan yang kompetitif untuk mencapainya. Perbankan Islam di negara ini adalah terbaik,” katanya.

Beliau berkata, sistem kewangan Islam di negara ini masih tidak cukup sempurna untuk melaksanakan sistem kewangan Islamik sepenuhnya.

“Caj keuntungan pinjaman melalui perbankan Islam masih tinggi dan ia perlu dilakukan penambahbaikan. Pihak terlibat perlu memperbaiki cara caj keuntungan yang dikenakan kepada peminjam dan menjadi pemudah cara untuk mendapatkan pinjaman dengan cepat,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kesedaran daripada orang ramai mengenai perbankan Islam masih kurang dan pihak terlibat perlu mempromosikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Perbankan Islam akan lebih baik daripada perbankan konvensional. Persediaan ke arah itu ialah penyediaan universiti tempatan menawarkan lebih banyak kursus mengenai perbankan Islam bagi membolehkan pekerja bank tersebut memahami mengenai operasi perbankan Islam.

“Sokongan kerajaan dan pihak terlibat akan dapat membantu mempercepatkan kadar perubahan. Perbankan Islam ialah segala urusan hendaklah dikendalikan tanpa sebarang unsur bercanggah dengan syariah,” katanya.

(Sinar Harian / 08 Disember 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment