Terkini

Sunday 26 January 2014

CIMB-Principal Bayar Rm76.4 Juta Dalam Agihan Untuk 15 Dana

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- CIMB-Principal Asset Management Bhd telah mengumumkan agihan pendapatan sebanyak RM76.4 juta untuk 15 unit amanahnya bagi suku keempat berakhir 31 Dis tahun lepas berikutan pertumbuhan pasaran ekuiti Asia yang memberangsangkan.

Ketua eksekutif Munirah Khairuddin berkata ekuiti Asia pada suku terakhir 2013 melihat pulangan positif dengan unjuran global yang lebih kukuh mendorong sentimen di rantau itu.

"Bersama-sama dengan proses pengurusan dana kami yang kukuh dan pengetahuan dan kehadiran kami, kami berupaya secara konsisten berinovasi untuk menepati kehendak pelabur," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat 31 Dis, 2013, CIMB-Principal Institutional Bond Fund 2, CIMB-Principal Institutional Bond Fund 5 dan CIMB-Principal Institutional Bond Fund 5 memberikan agihan kasar 0.74 sen, 0.65 sen dan 0.78 sen setiap satu.

Syarikat itu juga mengumumkan agihan kasar 10 sen bagi CIMB-Principal Equity Fund 2, 1.05 sen untuk CIMB Islamic Balanced Fund dan 5.17 sen bagi CIMB-Principal Balanced Income Fund.

Dalam kategori dana pasaran wang, pelabur CIMB Islamic Money Market Fund menerima agihan kasar 0.12 sen, CIMB-Principal Deposit Fund 0.23 sen, CIMB Islamic Deposit Fund 0.22 sen dan CIMB-Islamic Wholesale Money Market Fund 0.41 sen.

Syarikat itu juga mengumumkan agihan kasar 0.23 sen, 0.26 sen dan 0.10 sen bagi masing-masing CIMB-Principal Wholesale Deposit Fund 1, CIMB-Principal Wholesale Deposit Fund 2 dan CIMB-Principal Wholesale Deposit Fund 3.

Sementara itu, agihan kasar 0.24 sen dan 0.18 sen setiap satu dibayar kepada CIMB-Principal Corporate Deposit Fund dan CIMB Islamic Corporate Deposit Fund.

Mengenai prospek, Munirah yakin unjuran positif bagi peluang pelaburan di rantau ini akan berterusan tahun ini.

"Kami meramalkan pertumbuhan perolehan sesaham (EPS) Asia bagi 2014 kekal pada sekitar lapan peratus, manakala lebih banyak unjuran optimis daripada ramalan perolehan konsensus dianggarkan pada 12 peratus," kata beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata CIMB-Principal terus berhati-hati mengenai impak daripada kemungkinan penurunan penarafan Asean, terutamanya dengan ketidaktentuan politik Thailand dan inflasi di Indonesia.

Ia juga menjangka perolehan Asia tidak termasuk Jepun mungkin beralih arah pada hujung tahun ini apabila momentum pertumbuhan tertunda mula meningkat, terutamanya di Asia Utara.

Sungguhpun begitu, portfolio ekuiti serantau CIMB-Principal akan kekal tertumpu kepada pemilihan saham dan pelaburan dalam syarikat yang mempunyai prospek pertumbuhan jangka panjang dan perubahan struktur di Asia.

Pada pasaran domestik, beliau berkata komitmen kerajaan untuk reformasi struktur dan potensi kenaikan penarafan perolehan boleh melihat penarafan semula penilaian tahun ini bagi Malaysia.

"Portfolio ekuiti kami secara perbandingannya dilaburkan dengan banyak tetapi ditempatkan secara defensif dalam sektor yang termasuk utiliti, telekomunikasi dan minyak dan gas," tambah beliau. Setakat ini, CIMB-Principal menguruskan sejumlah 59 dana saham amanah termasuk 21 yang mematuhi syariah, 12 dana borong, 10 Skim Persaraan Swasta (PRS) dan dua dana dagangan bursa (ETF).

Syarikat itu yang juga merupakan salah satu pengurus wang institusi utama di Malaysia, dengan jumlah aset bawah pengurusan setakat 31 Dis, 2013 dicatatkan pada RM41.9 bilion, naik 18.2 peratus daripada tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM39.8 bilion.

-- BERNAMA
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment