Terkini

Sunday, 29 July 2007

Persidangan Perancangan Kewangan dan Pelaburan Islam - Kuala Lumpur

Persidangan Perancangan Kewangan dan Pelaburan Islam akan dianjurkan oleh GlobalPro pada 10-11 September 2007 di Parkroyal Kuala Lumpur. Antara topik-topik yang akan dibincangkan ialah Pengenalan Kepada Perancangan Kewangan Islam, Pelaburan Islam, Prinsip-prinsip Islam dalam Perancangan dan Pelaburan Islam, Zakat, Perancangan Cukai Pendapatan, Wasiat, Perwarisan Harta Islam, Takaful dan Perancangan Persaraan. Persidangan ini akan dilangsungkan dalam bahasa Inggeris dengan tajuk "Islamic Financial Planning & Investment Conference". Untuk maklumat lanjut, layari laman web penganjur, www.alfalahconsulting.com

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday, 12 July 2007

Wakaf bukti Islam agama bertamadun

Perkataan wakaf dalam sebutan Melayu membawa salah satu dari dua maksud bergantung kepada konteks dan kegunaannya. Jika ia digunakan pada sesuatu objek itu sendiri, ia membawa maksud kerangka bumbung yang terbuka untuk kegunaan awam atau perabot siarkaki yang digunakan untuk orang ramai berhenti rehat, duduk atau berbaring. Perabot siarkaki atau pavillion ini keseluruhannya diperbuat daripada kayu dengan tiang minimum empat batang dan mempunyai pelantar kayu yang rendah. Bagaimanapun jika perkataan wakaf digunakan dengan sesuatu yang lain seperti harta wakaf atau tanah wakaf atau dalam perkataan diwakafkan, ia membawa maksud harta atau tanah yang dihadiahkan untuk kegunaan awam atau perbuatan menghadiahkan harta. Di kebanyakan negara Islam, suatu institusi wakaf diwujudkan bagi menguruskan harta wakaf untuk kegunaan awam dan memenuhi amanat sesiapa yang ingin menyedekahkan hartanya demi mengharapkan syafaat dan kebahagiaan di akhirat kelak. Wakaf dalam masyarakat Muslim: Terdapat berbagai-bagai jenis harta wakaf di dalam dunia Islam. Orang Islam yang berharta menyedekahkan masyarakat dengan air pancut yang boleh diminum, ladang buah-buahan, tanah yang disewa, kedai, tanah untuk masjid atau madrasah, rumah rehat atau pavillion dan kediaman. Sesetengah harta wakaf ini diuruskan oleh badan khas atau agensi kerajaan yang menguruskan harta wakaf. Malahan kerajaan Arab Saudi mempunyai kementerian yang khas untuk menguruskan harta wakaf. Jawatankuasa masjid juga berfungsi sebagai pemegang amanah harta wakaf yang memastikan kestabilan politik dan kebebasan ekonomi institusi tersebut. Bagi orang Islam yang tidak berkemampuan mereka dapat menyumbangkan sedikit harta mereka seperti komponen bahan binaan masjid seperti tiang utama dan juga dengan membina kolah untuk wuduk. Di Malaysia, binaan wakaf kebiasaannya terdiri daripada kerangka empat segi sama dengan empat atau 12 batang tiang. Bumbungnya adalah berbentuk piramid atau limas dan kebanyakannya bertingkat dengan ruang udara di antara bumbung tersebut. Kerangka yang mudah ini biasanya dilengkapi dengan pelantar yang rendah untuk duduk atau berbaring. Pengembara juga menggunakan wakaf untuk tidur atau tempat untuk sembahyang. Binaan wakaf boleh ditemui di kampung tradisional terutamanya di sawah padi atau ladang buah-buahan dan kebanyakannya berdekatan dengan perigi yang digali untuk kegunaan pengguna. Wakaf Pak Badol yang terletak antara Pasir Puteh dan Kota Bharu adalah suatu contoh yang dapat dilihat. Wakaf lain seperti Sla Mean di Bukit Tanah, Kelantan dipercayai dibina untuk upacara tertentu yang dijalankan di situ sebelum menuju ke kuil Buddha berdekatan. Wakaf Penghulu Awang di Kampung Kutan Hulu pula terletak di tengah-tengah tanah perkuburan Islam untuk memberikan kemudahan kepada pengunjung yang menziarahi sanak saudara yang telah meninggal dunia berehat. Binaan wakaf juga mempunyai pelantar tempat duduk yang lebih rendah dari pelantar di bahagian tengah. Status sosial dan ekonomi seorang Muslim yang membina wakaf ini dapat dilihat melalui bilangan ukiran yang terdapat pada papan pemeleh dan tiang yang menyokongnya. Dalam dunia yang moden ini, wakaf masih digunakan di Malaysia menepati dengan fungsi asalnya sebagai tempat berlindung dan berehat seketika. Lokasi yang jelas menunjukkan penggunaan wakaf ialah di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan di mana ia dibina di kebanyakan hentian rehat. Di Kota Bharu, Kelantan, kerajaan negeri telah mengadaptasikan idea wakaf sebagai perabot siarkaki di bandar pada perhentian bas, tepat berkumpul dan kedai kecil dalam bentuk binaan tradisional. Binaan wakaf yang mudah merupakan bukti yang jelas tentang Islam adalah agama yang bertamadun tinggi yang menggalakkan kita menghormati tetamu dan betapa pentingnya sumbangan ke arah masyarakat. Wakaf melambangkan semangat Islam yang jati yang terang dan jujur, bertentangan dengan cubaan sesetengah pihak yang ingin mempamerkan keagungan Islam dengan membina bangunan yang monumental dengan perbelanjaan yang terlalu mahal. * Prof. Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi ialah Pengarah Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (Kalam), Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. - (Utusan, 12 Julai 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday, 11 July 2007

Harta pusaka tidak dituntut cecah RM40b

KUALA LUMPUR 10 Julai – Nilai hartanah dan jumlah wang yang tidak dituntut disebabkan isu pewaris yang tidak dapat diselesaikan, terdiri daripada semua kaum di negara ini, mencecah RM40 bilion sehingga kini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM38 bilion terdiri adalah hartanah kaum Melayu. “Sebanyak RM1.8 bilion wang yang tidak dituntut dari Pendaftar Wang Yang Tidak Dituntut dan wang tidak diselesaikan pewarisnya yang berada di bawah kawalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, koperasi-koperasi dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) terdiri daripada harta semua kaum bernilai RM70 juta. “Masalah ini berbangkit akibat perbalahan keluarga, kurangnya kesedaran mengenai harta pusaka dan waris sendiri tidak mengetahui wujudnya harta terbabit mengakibatkan ia tidak dituntut,” katanya semasa merasmikan Konvensyen Perwarisan Harta Islam 2007 dan Pelancaran Daftar Wasiat Malaysia di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Abdul Rahman Suliman. Nazri berkata, masalah yang melanda semua kaum ini juga disebabkan masih ramai yang tidak memahami pentadbiran warisan, pendedahan mengenai wasiat, hibah (hadiah), pemegang amanah serta pengetahuan pengagihan harta selepas kematian. “Faktor ini akan menyebabkan keluarga berbalah, bahkan harta yang ditinggalkan menjadi punca bencana keluarga sendiri dan paling malang, ia akan berlarutan hingga satu generasi ke generasi yang lain tanpa penyelesaian bahkan mungkin tidak dapat diselesaikan kerana membabitkan waris yang berlapis,” katanya. Katanya, dalam satu kes yang unik, sebidang tanah berukuran 371.6 meter persegi (4,000 kaki persegi) di Kampung Baru, di sini mempunyai 100 orang yang berhak terhadapnya dan tidak dapat diselesaikan sehingga sekarang. Merugikan: Nazri berkata, masalah seumpama itu tidak seharusnya dibiarkan berterusan kerana ia bukan sahaja merugikan negara tetapi juga meninggalkan masalah dan beban terhadap waris yang berhak. Sementara itu, beliau memuji langkah proaktif Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), sebuah syarikat milik penuh kerajaan yang mengendalikan harta pusaka sejak 1921 dengan mencatat peningkatan pengurusan wasiat Islam dan bukan Islam sejak tiga tahun kebelakangan ini. AmanahRaya menyelenggarakan 221 wasiat Islam dan 652 wasiat bukan Islam pada 2004 dan meningkat kepada 666 (Islam) 968 (bukan Islam) pada 2005; 8,284 (Islam) dan 1,589 (bukan Islam) pada 2006 serta 12,152 (Islam) dan 6,187 (bukan Islam) tahun ini. Beliau berkata, sistem penamaan bagi caruman KWSP, simpanan Tabung Haji, saham amanah, insurans dan takaful juga perlu dilihat semula dan diseragamkan supaya tidak timbul kekeliruan di kalangan masyarakat sama ada ia adalah wasiat, hadiah ataupun hanya pemegang amanah. Katanya, kerajaan bersedia untuk membawa cadangan dan hasil rumusan konvensyen berkenaan bagi mempercepat dan mempermudahkan pengurusan harta pusaka dan wasiat ke Kabinet malah ke Parlimen demi manfaat semua pihak. Mengenai Daftar Wasiat Malaysia (DWM) yang dilancarkan itu, beliau berkata, ia akan memudahkan pengurusan dan rekod bagi mereka yang membuat wasiat untuk menentukan sama ada si mati mempunyai wasiat yang bertulis ataupun tidak.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday, 8 July 2007

52% pelanggan Al Rajhi bukan Islam

KUALA LUMPUR 8 Julai – Hanya baru beroperasi bulan Oktober lalu, Bank Al Rajhi kini sudahpun memiliki kira-kira 30,000 pelanggan yang mana 52 peratus bukan Islam. Perkembangan ini sememangnya agak ‘mengejutkan’ dalam negara yang majoritinya rakyat Islam meskipun umum mengetahui bahawa sebelum ini bukan Islam telahpun menjadi pelanggan entiti perbankan Islam. Tetapi, apa yang menarik tentang Bank Al Rajhi adalah keupayaan menarik lebih ramai bukan Islam dalam jangka masa agak singkat. Kejayaan ini dilihat ‘sebagai’ kemampuan kuasa jenama memikat pelanggan dalam dunia pemasaran yang semakin kompleks. Menurut Ketua Pemasaran dan Kad Bank Al Rajhi di Malaysia, Johan Aris, pembinaan jenama bukanlah tugas yang mudah kerana ia adalah aset, identiti dan strategi jangka panjang dalam membina masa depan Bank Al Rajhi di Malaysia. Katanya, Al Rajhi, bank terbesar di Arab Saudi dan bank Islam terbesar di dunia, begitu berhati-hati dalam membina kuasa jenamanya. Katanya, kuasa jenama yang terhasil daripada pengiklanan bukan semata-mata berkaitan revolusi dan daya kreatif bagi menjual produk dan perkhidmatan tetapi lebih utama ia perlu bersifat ‘kempen’. ‘‘Sebab itu, dalam menghasilkan iklan ini kami mahu ‘arkitek’ terbabit membina jenama itu dengan penuh emosi sehingga ia boleh meninggalkan kesan mendalam kepada orang ramai. ‘‘Hasilnya kami menggunakan tema Telus, Jujur dan Ikhlas: Nilai-nilai yang dicari, sinonim dengan peranan Al Rajhi sebagai sebuah perbankan Islam yang mematuhi prinsip-prinsip Islam untuk kesejahteraan hidup,’’ kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif McCann Worldgroup, Tony Savarimuthu, tema yang dipilih itu mempunyai mesej tersendiri yang menggambarkan evolusi Bank Al Rajhi dalam perbankan Islam. Katanya, pada kebiasaannya industri perbankan sering dikaitkan dengan produk, sikap ‘diktator’, rangkaian cawangan, produk yang seragam dan peranannya sekadar pemberi perkhidmatan kewangan. Bagaimanapun, Bank Al Rajhi perlukan sesuatu jenama yang jelas kerana ia adalah sebuah bank yang mendukung dan mematuhi prinsip Syariah sejak 50 tahun lalu, menurut beliau. Sebab itu, tambahnya, McCann menampilkan konsep baru mengenai perbankan Islam terbesar di dunia ini menerusi tawaran perkhidmatan yang telus, jujur dan ikhlas. Savarimuthu berkata, pihaknya menggunakan tiga medium dalam pengiklanan Bank Al Rajhi iaitu papan iklan besar (billboard), radio dan media cetak. Mengulas mengenai tema itu, Pengurus Perhubungan Korporat, Anneliza Zainal berkata, nilai-nilai yang diterjemahkan itu meliputi segenap urusan perbankan. Anneliza berkata, setakat ini bank itu berpuas hati kerana ia telah berjaya meletakkan nama Bank Al Rajhi di pasaran tempatan. ‘‘Dengan perbelanjaan yang ‘efektif’ Bank Al Rajhi berjaya bertapak di sini dan setakat ini nama bank ini telah dikenali,’’ katanya. - (Utusan Malaysia, 8 Julai 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday, 4 July 2007

Malaysia penerbit bon Islam terbesar dunia

KUALA LUMPUR 4 Julai – Malaysia merupakan penerbit sukuk terbesar dunia dengan penguasaan 67 peratus daripada jumlah yang belum ditebus, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Selain itu, kata Perdana Menteri, negara juga menjadi pelopor bon berdaulat Islam itu di peringkat antarabangsa apabila melancarkan sukuk yang pertama bernilai RM2,040 juta (AS$600 juta) pada Jun 2002. Katanya, sebanyak 51 peratus daripada terbitan berkenaan sudah dilanggani pelabur Asia Barat, 19 peratus lagi pelabur Eropah dan Amerika Syarikat, manakala selebihnya oleh pelabur Asia. ‘‘Bon ini sudah menjadi tanda aras dan pemangkin kepada terbitan bon berdaulat negara dan organisasi Islam lain seperti Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bank Pembangunan Islam dan Bahrain,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Abdul Rahim Bakri (BN-Kudat) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia juga berperanan penting dalam Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) bagi merumus piawaian mengawal selia operasi perbankan Islam antarabangsa. Katanya, sistem kewangan Islam negara ini juga kini dijadikan model beberapa negara yang berminat malah mereka sudah pun menghantar pegawai untuk mempelajarinya. Beliau berkata, keyakinan pelabur dan institusi kewangan luar negara menjadi bukti kejayaan sistem kewangan Islam negara ini. ‘‘Contohnya, Al Rajhi Banking dan Investment Corporation, bank Islam terbesar di dunia yang mempunyai aset RM65.7 bilion memilih Malaysia sebagai destinasi pertama bagi operasinya di luar Arab Saudi. ‘‘Begitu juga penubuhan Kuwait Finance House bank Islam kedua terbesar di dunia dengan aset RM39.1 bilion dan kini beberapa institusi kewangan asing seperti Solidarity Co, Bahrain; Millea Asia Pte Ltd, Japan dan HSBC (Asia Pasific) Holdings Limited, Hong Kong, memilih Malaysia sebagai tapak operasi perniagaan takaful mereka bersama rakan kongsi di Malaysia,” katanya. Di peringkat domestik, katanya, sektor kewangan Islam mencakupi 12.2 peratus daripada pasaran kewangan negara dengan aset bernilai RM133 bilion manakala sektor takaful menyumbang 6.1 peratus dengan aset RM6.9 bilion. - (Utusan Malaysia, 4 Julai 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday, 2 July 2007

Negara Arab kagumi industri takaful di Malaysia

DUBAI 2 Julai – Beberapa institusi kewangan di Negara-Negara Kerjasama Teluk melahirkan rasa kagum terhadap kemampuan Malaysia mengembangkan industri takaful dengan begitu pesat dan dalam tempoh yang singkat. Ketua Takaful Bank Al-Jazeera dari Arab Saudi Dr. Dawood Taylor berkata, takaful di Malaysia kini mencatatkan pertumbuhan sehingga 92 peratus sejak era 90-an, sedangkan di negara lain hanya 34 peratus. “Ini sesuatu yang amat mengagumkan”, katanya di Persidangan Takaful Antarabangsa 2007 di sini, baru-baru ini. Dr. Taylor berkata, saiz premium takaful di Negara-Negara Kerjasama Teluk mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.0 peratus berbanding Malaysia 7.0 peratus. Malaysia telah menerajui industri ini sejak lima tahun lepas. Menerusi laman webnya, akhbar Al-Bayan memetik beliau sebagai berkata: “Untuk mencapai pertumbuhan lebih cepat kami akan menyasarkan bidang insurans Takaful Hayat seperti yang dilaksanakan di Malaysia”. Laporan “S&P Comstock” pula menyebut bahawa pasaran insurans takaful di Negara-Negara Kerjasama Teluk berkembang hampir 40 peratus setahun, dan institusi itu optimis industri takaful di rantau ini mampu menjana keuntungan sehingga AS$4 bilion dalam beberapa tahun akan datang. Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kewangan Islam Ernst & Young Bahrain, Sameer Abdi memberi alasan bahawa insurans takaful Islam masih baru di negara Teluk. Menurut beliau, terdapat 26 buah syarikat takaful Islam di rantau ini yang kebanyakannya mula beroperasi sejak lima tahun lepas. “Bilangan ini hanya 10 peratus jika dibandingkan dengan syarikat-syarikat insurans konvensional yang mencecah 280 syarikat”, katanya. Namun dalam usaha menyaingi Malaysia, beliau menyeru supaya diwujudkan kesatuan industri takaful di samping usaha memberi kesedaran kepada orang ramai tentang faedah dan kegunaan insurans takaful. - (Utusan, 2 Julai 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday, 1 July 2007

Konvensyen Perwarisan Harta Islam dan Pelancaran Daftar Wasiat Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 Jun 2007. Amanah Raya Berhad dan Persatuan Perwarisan Harta Malaysia (Perwaris) akan menganjurkan Konvensyen Perwarisan Harta Islam dan Pelancaran Daftar Wasiat Malaysia. Konvensyen ini akan berlansung pada 10-12 Julai 2007 bertempat di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
11 kertas kerja yang berkaitan perwarisan harta Islam akan dibentangkan oleh pakar-pakar dalam bidang ini. 2 kertas lampiran akan turut diedarkan. Konvensyen ini akan dirasmikan oleh YB Dato' Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, Menteri Di Jabatan perdana Menteri.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com