KUALA LUMPUR 9 Okt. - Sekurang-kurangnya tiga bank Islam Malaysia bakal memasuki pasaran perbankan di Bosnia- Herzegovina menjelang akhir tahun ini, kata Dutanya ke Malaysia, Ensar Eminovic.
Katanya, sektor perbankan di Bosnia mempunyai potensi yang baik untuk dibangunkan memandangkan keadaan ekonominya yang kukuh berbanding negara-negara Eropah lain.
''Setakat ini tiga buah bank tempatan telah mula menunjukkan minat untuk memasuki Bosnia sejak beberapa bulan yang lalu mereka telah memulakan perbincangan dengan pihak berkaitan.
''Beberapa dokumen dipercayai telah bertukar tangan, tetapi masih belum dimuktamadkan. Kami berharap semuanya akan dapat dimuktamadkan secepat mungkin,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar taklimat Forum Perniagaan Global Malaysia yang akan berlangsung pada 8 hingga 11 November ini di Sarawak.
Hadir sama Pengarah Urusan Glenreagh Sdn. Bhd., Nordin Abdullah yang merupakan penganjur forum tersebut.
Tambah Eminovic, Bosnia turut ingin menjadi hab perbankan Islam terutama bagi kawasan Eropah Tenggara.
Selain itu, Eminovic berkata, melalui forum yang akan diadakan pada bulan hadapan itu, mereka berharap lebih banyak padanan perniagaan dapat dilakukan antara syarikat Bosnia dan syarikat Malaysia.
''Sektor yang menjadi tumpuan adalah tenaga yang mempunyai potensi untuk diteroka memandangkan hanya 40 peratus sumber itu digunakan di Bosnia.
''Kami juga antara negara yang mengeksport tenaga elektrik. Dengan lebihan 60 peratus tenaga yang masih belum diterokai, ia memberi peluang kepada negara-negara lain terutama Malaysia untuk melabur di sini,'' jelasnya.
Eminovic berkata, selain sektor tenaga, sektor pelancongan juga turut berpotensi untuk dikembangkan terutama dalam pembangunan hotel-hotel baru di Bosnia.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com