Terkini

Friday, 24 November 2006

Malaysia layak majukan kewangan Islam global

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Malaysia ketika ini berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan lebih penting dalam pembangunan sistem kewangan Islam secara menyeluruh di peringkat global. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negara ini juga bersedia melonjak ke tahap lebih tinggi berikutan komitmen bersungguh-sungguh dalam usaha memajukan industri kewangan berlandaskan syariah itu. Katanya, ia termasuk dalam bahagian-bahagian yang khusus seperti takaful dan takaful semula, pengurusan dana Islam dan pengumpulan dana selain pembangunan bakat. ``Saya difahamkan beberapa inisiatif penting akan diguna pakai dalam tempoh terdekat ini bagi menyokong semua matlamat ini. ``Malaysia secara dasarnya berharap menjadi hub antarabangsa yang lebih menarik bagi menjalankan urus niaga kewangan Islam,'' katanya. Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Konvensyen Antarabangsa Takaful dan Takaful Semula: Takaful di Malaysia - Berkongsi Pengalaman 20 tahun dan Maju Ke Hadapan di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamed. Hadir sama ialah Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Mustapha Mahat dan Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia, Aminuddin Md. Desa. Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri menggariskan beberapa prospektif dan cabaran bagi pembangunan masa depan sistem kewangan itu dengan merujuk kepada pengalaman Malaysia. Pertama, katanya, amat penting bagi negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) merangka hala tuju strategik yang jelas dalam pembangunan kewangan Islam bersandarkan unjuran ekonomi mereka sendiri. Jelasnya, perancangan itu mustahak memandangkan fasa pembangunan kewangan Islam di negara-negara OIC berbeza. ``Sesetengah masih di peringkat awal manakala yang lain seperti Malaysia sudah pun mempunyai asas kukuh dalam kewangan Islam disokong oleh prasarana kewangan dan institusi yang serba lengkap,'' katanya. Kedua, tambahnya, proses mempercepatkan keluk pembelajaran negara-negara yang masih lagi di tahap awal pembangunan kewangan Islam juga amat penting. Sebagai pembuka jalan, katanya lagi, negara-negara Islam sepatutnya terus memanfaatkan Bank Pembangunan Islam (IDB) yang memiliki capaian meluas di kalangan dunia Islam. ``Keperluan kita yang ketiga adalah mengambil peluang daripada liberalisasi pasaran untuk membina hubungan antarabangsa yang lebih kuat dan kerjasama strategik di kalangan institusi kewangan Islam,'' jelasnya. Cabaran keempat adalah kemanusiaan iaitu berupaya untuk terus membangun, menarik dan mengekalkan bakat sesuai yang diperlukan untuk merangsang perkembangan inovasi, profesionalisme dan kemahiran dalam kewangan Islam, tegas Najib. Seterusnya, beliau menambah, kejayaan umat Islam pada masa depan bergantung kepada usaha-usaha untuk membangunkan acuan institusi kewangan sendiri.