Terkini

Wednesday 25 September 2013

Malaysia peneraju sukuk dunia

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Pasaran sukuk Malaysia telah berkembang dengan pantas di peringkat global dalam tempoh hampir 13 tahun iaitu daripada AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion) pada 2001 kepada AS$148 bilion (RM473.6 bilion) setakat Jun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah pasaran sukuk Malaysia itu mewakili 60.4 peratus daripada jumlah pasaran sukuk dunia.
Menurut beliau, hal itu secara tidak langsung menjadikan Malaysia sebagai peneraju pasaran sukuk dunia.
"Saya percaya Malaysia mempunyai daya tarikan untuk menarik lebih banyak institusi dari pelbagai rantau untuk menembusi pasaran kewangan Islam Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2013 di sini hari ini.
KLIFF berlangsung selama tiga hari bermula semalam dengan menampilkan lebih 30 jurucakap dari seluruh dunia dengan lebih 400 delegasi yang terdiri daripada para peguam, ahli perbankan, pembiaya kewangan, ahli akademik, penasihat perundangan dan penasihat syariah.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank, Badlisyah Abd. Ghani dan Pengarah KLIFF, Abdul Aziz Abd. Jalal.
Muhyiddin berkata, sektor kewangan Islam berterusan menjadi agenda terpenting sebagaimana Malaysia menuju ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Beliau bangga kerana sektor perbankan Islam telah berjaya meningkatkan penguasaan pasaran di sebalik pertumbuhan permintaan perkhidmatan kewangan Islam.
Katanya, menurut Bank Negara Malaysia, aset-aset perbankan Islam berjumlah RM527.2 bilion atau 24.1 peratus daripada jumlah aset sistem perbankan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
"Jumlah pertumbuhan ini amat menggalakkan berbanding hanya 12.1 peratus penguasaan pasaran pada 2006," ujarnya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pada waktu ini terdapat lebih 600 institusi kewangan Islam yang beroperasi di 75 buah negara.
Katanya, industri itu kini telah menjadi satu daripada segmen pertumbuhan paling pantas dalam sistem kewangan dunia. (Utusan Malaysia/24 Sep 2013)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment