Terkini

Sunday 8 September 2013

Bank Islam Malaysia Berhad perkenal akaun simpanan tunai haji

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), memperkenalkan Akaun-i Labbaik bercirikan Perlindungan Takaful yang membolehkan pelanggan menyimpan wang simpanan untuk menunaikan ibadat haji.
Bank Islam menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini memberitahu, Akaun-i Labbaik berkonsepkan pelan 2 dalam 1 yang turut memberi perlindungan Takaful sekiranya berlaku kematian atau Keilatan Menyeluruh Kekal (KMK).
Pengarah Pembangunan Perniagaan Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, akaun ini akan memberi pelanggan lebih fleksibiliti dalam merancang keperluan kewangan mereka.
"Pelanggan boleh memilih pakej simpanan bulanan yang bersesuaian dengan keperluan mereka untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun atau sehingga maksimum 15 tahun dengan jumlah perlindungan Takaful daripada RM30,000 sehingga RM50,000.
"Akaun-i Labbaik bukan satu alternatif bagi menggantikan simpanan tabung haji tetapi berfungsi sebagai penambahbaikan untuk pelanggan menambah simpanan dan sekali gus mendapat perlindungan Takaful," katanya.
Jelasnya, Akaun baharu itu menawarkan pelbagai ciri unik untuk manfaat pelanggan seperti pelanggan dapat berkongsi keuntungan daripada pelaburan Mudharabah.
Selain itu, badal (ganti) haji juga akan diatur bagi pihak pelanggan sekiranya berlaku kematian atau KMK di samping pelanggan berpeluang memenangi pakej umrah dengan hanya membuat simpanan bulanan secara konsisten.
"Pakej umrah dan badal haji ini disediakan khas oleh pihak Tabung Haji Travel Services (THTS) untuk pendeposit Akaun-i Labbaik.
"Pelanggan hanya perlu mendepositkan simpanan bulanan minimum ke dalam Akaun-i Labbaik dan membayar caruman tunggal untuk pelindungan Takaful," katanya.

(Utusan Malaysia/8 September 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment