Terkini

Friday 6 September 2013

Kolej UNITI mahu kukuh industri halal

SEREMBAN 6 Sept. - Kolej UNITI iaitu institusi pengajian tinggi swasta pertama di Malaysia yang menawarkan program Diploma Pengurusan Industri Halal (DPIH) berhasrat mengukuhkan penglibatannya dalam industri halal global yang bernilai RM7.21 trilion.
Bagi mencapai hasrat itu, kolej berkenaan menjalin kerjasama strategik dengan Sidratul Corporation, sebuah syarikat yang mengeluarkan produk halal berstatus Amalan Pengilangan Islam (IMP).
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI, Amir Hamzah Md. Isa berkata, melalui usaha tersebut kolej berkenaan akan menghantar para pelajar DPIH mendapat pendedahan berkenaan pengendalian produk halal di syarikat berkenaan.
"Di kolej, para pelajar akan didedahkan secara akademik manakala di Sidratul Corporation mereka boleh menjalani latihan praktikal.
"Melalui kaedah ini pelajar DPIH bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik malah mahir selok belok pengendalian produk halal," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej UNITI dan Sidratul Corporation di Nilai dekat sini semalam.
MoU itu ditandatangani oleh Amir Hamzah bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sidratul Corporation, Ahmad Tajuddin Arshad sambil disaksikan oleh Presiden Kolej UNITI, Jamal Mohd. Amin dan Ketua Unit Komplian dan Syariah, Sekretariat Komuniti IMP, Mohammad Nordin Zainuddin.
Menurut Amir Hamzah, program DPIH mula ditawarkan oleh Kolej UNITI mulai Julai tahun ini selepas mendapat kelulusan daripada Lembaga Akreditasi Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini.
Katanya, seramai 110 pelajar kumpulan pertama sedang mengikuti pengajian tersebut dan sekarang sudah menerima sebanyak 10 permohonan untuk pengambilan pada Disember ini.
"Kami percaya bidang pengajian ini menawarkan potensi yang besar kepada para pelajar memandangkan industri halal di negara ini masih kekurangan sumber manusia terutamanya dalam bidang persijilan, latihan dan keusahawanan," ujarnya.
Sementara itu Ahmad Tajuddin berkata, Sidratul Corporation adalah sebuah syarikat yang mengeluarkan produk halal berstatus IMP.
Katanya, syarikat itu telah membuka Pasar Raya Halal (Halal Souq) yang memasarkan produknya di samping melatih syarikat yang berminat mendapatkan kemahiran dan maklumat persijilan IMP.
"Kerjasama yang bakal dijalankan bakal memberi impak besar di dalam industri halal dan seterusnya memajukan Malaysia sebagai hab halal di dunia," katanya.

(Utusan Malaysia/6 September 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment