Terkini

Wednesday 28 December 2011

Zakat bukan bebanan tetapi kewajipan


FIRMAN Allah SWT: Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukuklah beserta orang-orang yang rukuk. (al-Baqarah: 43)

Manakala dalam surah yang sama pada ayat 261 bermaksud: Perumpamaan (nafkah yang di keluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah. Adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir, seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siap yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.

Itulah antara ayat-ayat al-Quran yang menekankan tuntutan kewajipan menunaikan zakat serta ganjaran yang diperoleh hasil daripada perlaksanaan ibadat tersebut.
Peliknya, meskipun ia banyak disebut sama ada di dalam kitab suci al-Quran dan hadis-hadis pilihan, namun masih ramai di kalangan umat Islam yang tetap keliru mengenai tuntutan bayaran zakat. Tambah menyedihkan lagi, apabila ramai beranggapan bahawa zakat hanya perlu dibayar setahun sekali iaitu dilakukan pada bulan Ramadan sehingga tibanya 1 Syawal.

Mereka percaya kewajipan zakat sudah sempurna dilaksanakan dengan mengeluarkan sejumlah wang untuk menunaikan zakat yang dikategorikan sebagai zakat fitrah itu sahaja.
Namun sebenarnya, terdapat beberapa jenis zakat yang diwajibkan kepada setiap umat Islam sekiranya menepati syarat wajib yang ditetapkan.

Kekeliruan ini menyebabkan orang ramai terlepas untuk menunaikan kewajipan yang diperintahkan dalam rukun Islam yang ketiga tersebut.
Antaranya jenis zakat tersebut adalah zakat pendapatan. Zakat pendapatan adalah semua jenis upah, imbuhan, bayaran atau hasil yang diperoleh daripada kerja atau usaha yang dilakukan sama ada secara tetap atau sesekali.
Ia bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu. (al-Baqarah: 267)
Menerusi ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita perintah menunaikan zakat pendapatan iaitu dengan mengeluarkan sejumlah wang daripada hasil pendapatan yang diperoleh.

Perkara inilah yang ditekankan oleh Pengurus Kewangan Pelaburan dan Pembangunan Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Azhan Ismail ketika ditemui di Wisma PPZ, Taman ShamelinPerkasa, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Azhan berkata, walaupun pungutan zakat pendapatan merupakan penyumbang terbesar daripada keseluruhan jumlah kutipan, tetapi ia masih belum menunjukkan kutipan yang baik.

Menurutnya, ini kerana kurangnya kesedaran mengenai kewajipan dan tuntutan mengeluarkan zakat di kalangan masyarakat.

"Jumlah kutipan zakat pendapatan setakat November pada tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus, iaitu sebanyak 277 juta berbanding 221 juta pada tahun lalu, namun kita percaya masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak menunaikan kewajipan tersebut," katanya.

Selain itu katanya lagi, antara punca yang menyebabkan orang ramai tidak melaksanakan zakat adalah kerana kekeliruan terhadap tuntutan zakat.
"Orang ramai beranggapan, tuntutan zakat sudah memadai dengan hanya menunaikan zakat fitrah yang dibayar pada bulan Ramadan sahaja. Oleh itu, tidak perlu lagi untuk membuat sebarang pembayaran lain," katanya.
Menurutnya, perintah menunaikan zakat bukan satu bebanan kepada kepada umat Islam, malah ia merupakan bentuk pelaburan di dunia dan akhirat yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.
Ia sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 261)

"Oleh itu, masyarakat tidak perlu bimbang dan khuatir untuk mengeluarkan zakat kerana Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang tidak terhingga tanpa kita sangka," katanya.
Azhan berkata, pihaknya sentiasa berusaha mengambil langkah untuk memudahkan proses pembayaran zakat bagi menggalakkan orang ramai menunaikan zakat.

"Orang ramai tidak perlu lagi untuk beratur panjang di kaunter, meluangkan banyak masa dan tenaga untuk membuat pembayaran kerana PPZ telah melancarkan portal zakat yang boleh dilawati oleh semua pembayar.

"Dengan adanya portal zakat, pembayar boleh membuat pembayaran, taksiran dan semakan dengan pantas tanpa mengeluarkan tenaga dengan hanya menekan butang talian di hujung jari," katanya.

Selain itu katanya, orang ramai juga boleh membuat bayaran secara terus melalui kaunter PPZ di enam lokasi terpilih di sekitar Kuala Lumpur atau agen yang dilantik. 

Sumber: Utusan Malaysia (27 Disember 2012)


---
Pelaburan unit amanah Islam PMB INVESTMENT: 
www.unit-amanah-islam.blogspot.com