Terkini

Sunday 24 May 2015

Ambank Tingkatkan Penawaran Produk Islam, Perniagaan PKS Bagi Tahun Kewangan 2016

AMMB Holdings Bhd (Ambank Group) menyasar untuk terus meningkatkan penawaran produk Islam dan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2016, kata Ketua Pegawai Kewangan, Mandy Simpson.

Beliau berkata lebih banyak aset dan inisiatif akan diperuntukkan kepada perbankan Islam dan segmen PKS pada tahun kewangan 2016.

Kumpulan itu baru-baru ini melaksanakan langkah penjenamaan semula, dengan AmIslamic Bank, yang kini dikenali sebagai AmBank Islamic Bhd.

Penjenamaan semula itu bertujuan menempatkan jenama Islam dengan lebih menonjol dalam industri kewangan.

"Bahagian penawaran produk Islam AmBank dijangka terus berkembang kepada 33 peratus pada tahun kewangan 2016, berbanding 32 peratus dan 30 peratus, masing-masing pada tahun kewangan 2015 dan tahun kewangan 2014," Mandy memberitahu sidang media di sini sempena pengumuman keputusan tahun kewangan 2015 kumpulan itu.

AmBank Group mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang tinggi sebanyak RM2.604 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2015, naik 6.3 peratus berbanding RM2.448 bilion yang dicatatkan pada 2014.

Keuntungan selepas cukai meningkat 9.3 peratus dan melepasi paras RM2 bilion untuk mencecah RM2.044 bilion berbanding RM1.871 bilion sebelum ini, disokong oleh pendapatan bukan faedah dan elaun yang lebih rendah.

Ini berikutan perolehan yang susut kepada RM9.142 bilion bagi tempoh tersebut, berbanding RM9.606 bilion sebelum ini, hasil daripada langkah penyusunan semula pinjaman kumpulan itu, katanya.

Bagaimanapun pada tahun kewangan 2015, pertumbuhan pinjaman AmBank Group merosot sebanyak 1.6 peratus, katanya yang disebabkan dasar pengurangan risiko portfolio pembiayaan kenderaan kumpulan itu.

Kumpulan itu menjangka mencapai pertumbuhan perniagaan antara 4 dan 5 peratus bagi tahun kewangan 2016, sejajar dengan sasaran pertumbuhan pinjaman antara 4 dan 5 peratus juga bagi tahun tersebut.

Mengenai keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti (PATMI) bagi tahun kewangan 2016, Mandy berkata petunjuk prestasi utama kumpulan itu ditetapkan pada sekitar 3-5 peratus dan pulangan ke atas ekuiti (ROE) antara 12 dan 12.5 peratus.

"Perniagaan seperti biasa," katanya ketika mengulas mengenai status kumpulan itu.

Datuk Mohamed Azmi Mahmood telah memangku sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dari 2 April, mengambil alih daripada Ashok Ramamurthy yang kontraknya tamat pada 1 April.

"Agenda strategik tahun kewangan 2015-2017 kekal tidak berubah," kata Mohamed Azmi.

Beliau merujuk kepada agenda kumpulan itu untuk mencatatkan pertumbuhan organik yang berfokus, memanfaatkan perkongsian strategik dan melaksanakan pengambilalihan, terus mengoptimumkan kecekapan dan membina kemapanan.

"Kami akan terus menumpukan kepada pulangan yang disesuaikan kepada risiko yang mampan, meningkatkan produktiviti, meningkatkan kualiti kredit dan menguruskan mudah tunai untuk melaksanakan aspirasi tahun kewangan 2016 kami," kata Mohamed Azmi.


(Bernama.Com / 22 Mei 2015)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday 20 May 2015

Terbitan Sukuk Perkukuh Kedudukan Malaysia Sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa

Terbitan sukuk global US$1.5 bilion memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata sukuk global itu juga menempa sejarah kerana ia merupakan sukuk negara yang pertama bertempoh matang 30 tahun.

"Sukuk ini juga memenuhi matlamat Malaysia untuk menjadikan terbitan ini sebagai penanda aras yang baharu, dan memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa," katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini Selasa.

Terbitan itu terdiri daripada Sijil Amanah (Sukuk) US$1 bilion bertempoh 10 tahun dan sukuk bernilai US$500 juta bertempoh 30 tahun.

Najib berkata transaksi sukuk global 2015 itu berjaya menarik minat pelabur dengan langganan melebihi US$9.0 bilion daripada jumlah keseluruhan pelabur yang melebihi 450 akaun.

Sukuk bertempoh matang 10 tahun melebihi langganan hampir tujuh kali dan sukuk bertempoh matang 30 tahun pula melebihi langganan hampir enam kali, katanya.

"Kejayaan transaksi ini menunjukkan sentimen keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kredit Malaysia yang sangat teguh dan positif," katanya.

Najib berkata ekonomi negara terus berkembang kukuh dalam tempoh suku pertama tahun ini walaupun berhadapan cabaran luaran yang tidak menentu, dengan kejatuhan harga komoditi global serta penyusutan nilai mata wang ringgit.

Beliau berkata Keluaran Dalam Negeri Kasar mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan iaitu 5.6 peratus, disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang rancak di sebalik permintaan luar yang lemah.

"Dalam tempoh yang sama, pelaburan swasta pada harga semasa semakin meningkat sebanyak 13.6 peratus kepada RM51.5 bilion. Jumlah pelaburan langsung asing mencatat peningkatan aliran bersih sebanyak RM9.9 bilion.

"Prestasi ekonomi ini membuktikan keyakinan para pelabur yang semakin teguh terhadap ekonomi negara serta mencerminkan keberkesanan kerajaan dalam mengurus ekonomi dan kewangan negara," katanya.

Sementara itu, Najib menyeru semua pihak supaya berganding bahu membantu kerajaan menjayakan usaha murni menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Beliau berkata laporan GTP dan ETP yang diterbitkan baru-baru ini mencatatkan pelbagai kejayaan pembangunan negara dan ekonomi yang telah direncanakan sejak hampir lima tahun lalu.

Beliau berkata antara petunjuk kejayaan ialah pendapatan per kapita Rakyat Malaysia telah meningkat daripada US$7,059 pada 2009, kepada US$10,426 pada 2014.

"Nilai pelaburan kekal tinggi dengan pelaburan sebanyak RM142 bilion pada 2009 dan meningkat kepada RM228 bilion pada 2014 mencatat nilai pelaburan tertinggi dalam sejarah negara," katanya.

Beliau menambah bahawa lebih lima juta rakyat di kawasan luar bandar memperoleh manfaat kemudahan asas, seperti bekalan elektrik dan air bersih sejak GTP dan ETP dilaksanakan.

Selain itu, beliau berkata hampir 170 ribu golongan miskin berjaya dibawa keluar daripada kepompong kemiskinan, susulan kenaikan jumlah pendapatan mereka dalam tempoh lima tahun ini.

"Ini merupakan kejayaan kita bersama melalui dasar-dasar negara, termasuk dasar kewangan negara yang telah meletakkan sokongan pada landasan kukuh bagi menyokong dasar transformasi negara," katanya.


(Bernama.Com / 19 May 2015)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com