Terkini

Wednesday 18 September 2013

Industri halal RM7 trilion

PUTRAJAYA 18 Sept. - Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) terus mengukuhkan penglibatannya dalam industri halal global dengan menggalakkan perdagangan dua hala dnegan nilai pelaburan melebihi RM7.4 trilion (AS$ 2.3 trilion) setiap tahun.
Nilai itu dihasilkan melalui kerjasama strategik antara lima organisasi antarabangsa dari Jepun, Korea Selatan, China, Hong Kong dan Taiwan yang membentuk kerjasama bagi mewujudkan Global Halal Footprint.
Lima organisasi terlibat adalah Halal Development Internal Japan Corp., Halal Development Internal Korea Corp., Halal Development Internal Shanghai Corp., Halal Development Internal Taiwan Corp. dan Halal Development Internal HK Corp. (Hong Kong).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha sama itu merupakan inisiatif penting untuk organisasi terlibat mengenali pasaran tempatan dengan lebih jelas.
"Ia juga akan memberi kesedaran pengguna untuk mendapatkan dan mengetahui kepentingan produk halal di samping berupaya menarik lebih banyak pelaburan asing dalam sektor halal di negara ini.
"Ini adalah sebahagian daripada strategi pemasaran dalam menggunakan kepakaran tempatan untuk menembusi pasaran Jepun terutamanya yang mempunyai minat mendalam dalam industri halal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Sesi Networking Bisnes Global Halal Footprint di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin.
Jelasnya, melalui kerjasama ini, organisasi terlibat dapat menubuhkan kemudahan pengeluaran di sini dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk mengeksport produk mereka.
"Produk halal bukan hanya tertumpu kepada produk berasaskan makanan dan minuman, malah ia merangkumi barangan penjagaan diri, kosmetik dan farmaseutikal," katanya.
Sementara itu, Jamil Bidin berkata, organisasi tersebut akan menggalakkan pelabur untuk menggunakan Malaysia sebagai batu loncatan mengakses pasaran halal dan meletakkan negara sebagai destinasi pelaburan ideal.
"Populasi dunia telah bersedia untuk berkembang sebanyak 22 peratus dalam tempoh 18 tahun akan datang dan bakal menyumbang kepada peningkatan permintaan bagi produk dan perkhidmatan halal.
"Eksport halal Malaysia untuk pasaran Asia Timur bernilai RM8.1 bilion (AS$2.5 bilion) pada tahun lepas telah menyumbang 26.9 peratus daripada jumlah eksport halal bernilai RM30.1 bilion (AS$ 9.29 bilion) pada tahun yang sama," katanya. (Utusan Malaysia/19 September 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment