Terkini

Saturday 8 March 2008

Ucapan Gabenor di Sidang Kemuncak Kewangan Islam Tahunan Ke-5-'Ke arah Mengembangkan Kewangan Islam sbg Komponen Penting Sistem Kewangan Antarabangsa'

Pengucap : Governor Tan Sri Dato' Dr. Zeti Akhtar Aziz
Tempat : London
Tarikh : 24 January 2006
Bahasa : Bahasa Melayu

Saya amat berbesar hati kerana dapat berada di London untuk berucap di Sidang Kemuncak Kewangan Islam Tahunan kelima anjuran Euromoney. Kejayaan cemerlang yang dicapai oleh kewangan Islam dengan dimensi antarabangsanya yang kini semakin penting, berjaya mendapat tempat dalam persekitaran global yang mencabar pada hari ini. Kini, kewangan Islam telah pun berkembang untuk menjadi satu bahagian yang penting daripada sistem kewangan antarabangsa yang penting. Dengan bertambah pesatnya proses integrasi kewangan antarabangsa ini, ia bukan sekadar memperluas potensi kewangan Islam untuk menyumbang kepada peningkatan prospek pertumbuhan global yang lebih seimbang melalui pembentukan perdagangan dan kekayaan yang lebih besar, malah ia juga boleh menyumbang ke arah peningkatan kestabilan kewangan global melalui pemudahan pempelbagaian risiko yang lebih meluas.
Evolusi Pesat Industri Perkhidmatan Kewangan Islam Global
Lima tahun yang lalu, pembangunan kewangan Islam masih dianggap sebagai industri muda yang berusaha untuk membuktikan daya maju dan daya saingnya dalam persekitaran kewangan global. Pertumbuhan kewangan Islam pada ketika itu lebih berbentuk pertumbuhan semula jadi dan tertumpu terutamanya di negara-negara yang ketara jumlah warga Islamnya. Dalam banyak aspek, kewangan Islam tertakluk kepada standard pengawalseliaan dan perakaunan konvensional. Di samping itu, perbezaan pendapat mengenai beberapa isu yang belum selesai memerlukan usaha pengharmonian yang lebih mantap. Malahan, timbul juga kebimbangan mengenai potensi masa depan kewangan Islam di kalangan badan pengawal selia, pengguna, komuniti perniagaan dan pelabur.
Namun demikian, sepanjang lima tahun kebelakangan ini, industri kewangan Islam mengalami evolusi dan pengembangan yang pesat. Kini, kewangan Islam diiktiraf sebagai satu bentuk pengantara kewangan yang berdaya maju dan kompetitif bukan sahaja di negara Islam, malahan di luar dunia Islam juga dan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan yang meluas. Lesen dikeluarkan untuk memudahkan penubuhan bank-bank Islam termasuk di negara perindustrian barat. Turut bertambah ialah bilangan institusi perbankan konvensional antarabangsa yang menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam melalui subsidiari khusus atau cawangan dan juga melalui pengaturan jendela. Di samping itu, negara yang mempunyai kelompok penduduk Islam, khususnya di rantau Asia, kini mengkaji prospek menyediakan akses kepada perkhidmatan kewangan Islam untuk menggalakkan penyertaan yang lebih menyeluruh. Trend ini terserlah bukan sahaja dari sudut bilangan institusi kewangan Islam, bahkan dari segi institusi yang mempunyai modal lebih besar dan mempunyai rangka kerja tadbir urus operasi yang lebih mantap, termasuk pengurusan risiko. Institusi kewangan Islam yang sebelum ini hanya turut memasukkan pembangunan kewangan Islam sebagai sebahagian daripada agenda mereka. Persada antarabangsa turut menyaksikan kemunculan beberapa pusat kewangan Islam baru, dengan industri perkhidmatan kewangan Islam yang inovatif dan kompetitif sedang berkembang. Dengan sokongan infrastruktur kewangan Islam yang komprehensif di Malaysia dan kepelbagaian peserta kewangan Islam berikutan bertambahnya liberalisasi dalam sektor kewangan Islam baru-baru ini, Malaysia kian muncul sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa.
Cabaran utama yang mendatang
Meskipun kewangan Islam telah mencapai kemajuan yang penting, terdapat beberapa cabaran utama yang perlu ditangani supaya pembangunan kewangan Islam dalam sistem kewangan global kekal mapan. Ulasan saya akan tertumpu pada empat daripada cabaran itu.
Pembangunan sistem kewangan Islam yang teguh di peringkat nasional
Pertama, terdapat cabaran untuk membangunkan sistem kewangan Islam yang teguh di peringkat nasional. Agak ketara perbezaan tahap pembangunan kewangan Islam di kalangan negara. Sementara tahap pembangunan kewangan Islam di beberapa negara agak maju, namun di negara-negara lain pula, kemajuan yang lebih bermakna masih belum dicapai. Bagi memupuk hubungan antarabangsa dan urus niaga melangkaui sempadan yang lebih meluas, tahap pembangunan kewangan Islam perlu mencapai tahap pembangunan dan kecanggihan tertentu. Ini memerlukan pembangunan sistem kewangan Islam yang teguh, yang merangkumi pengantara kewangan perbankan Islam dan bukan bank Islam serta pasaran kewangan Islam, yang menawarkan pelbagai produk kewangan Islam yang disokong oleh infrastruktur kewangan Islam yang maju.
Perumusan pelan induk sepuluh tahun bagi industri perkhidmatan kewangan Islam oleh Bank Pembangunan Islam dan IFSB merupakan langkah penting dalam membentuk rangka tindakan bagi menerajui pembangunan kewangan Islam secara sistematik dan terselaras merentas negara bagi mencapai satu matlamat yang sama, iaitu mewujudkan industri perkhidmatan kewangan Islam yang mantap dan komprehensif. Lima tahun yang lalu, Malaysia melancarkan Pelan Induk Sektor Kewangan yang merangkumi hala tuju strategik bagi pembangunan masa depan kewangan Islam di Malaysia. Hari ini, gagasan itu menemui kejayaan berupa kemajuan yang dicapaioleh Malaysia.
Malaysia kini telah membangunkan sistem kewangan Islam domestik yang komprehensif, yang pelbagai dari segi institusi, pasaran dan peserta. Strateginya ialah menubuhkan rantaian sistem kewangan keseluruhan untuk memastikan sistem berkenaan berfungsi dengan lancar. Inisiatif yang diambil termasuk menubuhkan institusi kewangan yang diperlukan, termasuk institusi perbankan Islam, industri takaful, institusi bukan perbankan, dan membangunkan pasaran wang dan modal Islam. Baru-baru ini, komponen-komponen ini telah melalui proses liberalisasi secara berperingkat-peringkat untuk menjadikannya lebih bersepadu dengan sistem antarabangsa. Infrastruktur kewangan sokongan termasuk rangka kerja pengawalseliaan mantap yang diperkukuh oleh rangka kerja perundangan dan Syariah, sistem pembayaran dan penyelesaian, pembangunan kumpulan bakat serta mekanisme bagi operasi mudah tunai Bank Negara Malaysia sebagai sebahagian daripada pengendalian dasar monetari.
Pembangunan pasaran kewangan Islam antarabangsa yang efisien dan aktif
Cabaran kedua adalah untuk terus memajukan pembangunan pasaran kewangan Islam antarabangsa yang efisien dan aktif. Pasaran kewangan Islam antarabangsa yang benar-benar maju meningkatkan kecairan instrumen dan kapasiti pengurusan risiko peserta. Ini akan menggalakkan pasaran untuk berfungsi dengan efisien, dan dengan itu memudahkan aliran modal dan seterusnya memperkukuh integrasi global. Oleh itu, inisiatif yang terselaras adalah penting untuk merangsang pembangunan pasaran kewangan Islam antarabangsa yang efisien dan mantap. Kemapanan penawaran sukuk secara tetap perlu dipastikan. Penyertaan penerbit sukuk, termasuk organisasi pelbagai hala, kerajaan dan syarikat multinasional, akan menyumbang kepada proses ini. Di Malaysia, pasaran bon domestik kini mencakupi 80% daripada KDNK, dengan 44% daripada sekuriti adalah berasaskan Islam.
Prasyarat asas adalah untuk menggalakkan inovasi dalam pembangunan pelbagai jenis instrumen pasaran kewangan Islam. Ini termasuk instrumen berciri pemilikan ekuiti, sekuriti Islam bersandarkan aset, pemasukan bentuk penambahbaikan kredit yang dibenarkan dan juga instrumen pengurangan risiko yang mematuhi Syariah. Pembangunan pasaran derivatif Islam untuk lindung nilai diperlukan bagi aktiviti penciptaan pasaran demi menyokong pembangunan pasaran sekunder. Oleh itu, penyelidikan dan pembangunan perlu dipergiat. Dana Syariah yang ditubuhkan oleh Malaysia baru-baru ini adalah untuk menyokong aktiviti penyelidikan dalam bidang-bidang ini. Inisiatif ini juga adalah untuk memudahkan dialog tahunan di kalangan ahli Syariah antarabangsa. Dialog ini bertujuan menyediakan platform bagi perbincangan mengenai keserasian Syariah dalam instrumen dan pasaran kewangan Islam yang baru dibangunkan.
Prasyarat lain adalah untuk memastikan adanya mudah tunai yang mencukupi bagi menyokong pengantaraan dana dalam sistem kewangan Islam. Sememangnya permintaan terhadap operasi jendela diskaun Bank Pusat tidak dinafikan akan wujud. Oleh itu, bank-bank pusat perlu mempunyai instrumen kewangan Islam yang mencukupi untuk digunakan pada bila-bila masa bagi mengurus keadaan mudah tunai dalam sistem kewangan Islam. Ini merupakan bidang yang masih belum dibangunkan sepenuhnya. Sehubungan dengan ini, Malaysia telah membangunkan instrumen monetari Islam yang merangkumi instrumen kewangan Islam kerajaan dan Bank Negara Malaysia. Kami juga mempunyai mekanisme penjelasan dan penyelesaian yang khusus bagi memastikan sistem kewangan Islam berfungsi dengan lancar. Untuk menambah lagi rangkaian instrumen kewangan Islam yang sedia ada, Bank Negara Malaysia akan menerbitkan sekuriti Ijarah pada bulan Februari ini untuk terus memenuhi keperluan peserta pasaran Islam dalam pasaran wang Islam domestik dan juga untuk tujuan pengendalian dasar monetari. Mempunyai rangka kerja pengawalseliaan dan perundangan yang sesuai adalah sama penting untuk menyokong pembangunan instrumen dan pasaran kewangan Islam demi memastikan pelabur dilindungi, integriti pasaran dijunjung dan risiko sistemik dibendung.
Penerapan standard IFSB
Cabaran ketiga pula adalah untuk memastikan penerapan standard IFSB. Pada bulan Disember 2005, Majlis IFSB meluluskan standard kecukupan modal dan pengurusan risiko yang dijadualkan dilaksanakan pada tahun 2007. Oleh itu, institusi kewangan Islam perlu dilengkapkan dengan kapasiti dan infrastruktur yang diperlukan untuk menentukan wajaran risiko masing-masing dan memperuntukkan jumlah modal pengawalseliaan yang wajar pada setiap peringkat urus niaga kewangan Islam yang berbeza. Pengecualian aset wajaran risiko yang dibiayai oleh akaun pelaburan perkongsian keuntungan daripada pengiraan keperluan modal pengawalseliaan telah menyebabkan penekanan akan perlunya infrastruktur yang komprehensif dalam institusi kewangan Islam bagi mengasingkan dengan jelas akaun pelaburan perkongsian keuntungan terhad dan tidak terhad daripada akaun bukan perkongsian keuntungan dan dana pemegang saham, dan juga untuk mengesan aliran dalam pembiayaan dan transaksi pelaburan masing-masing. Oleh itu, pelaburan strategik dalam sistem teknologi maklumat dan pengurusan risiko yang canggih merupakan teras kepada proses ini.
Pihak berkuasa penyeliaan perlu dilengkapkan dengan kemahiran khusus untuk membuat penilaian yang betul mengenai tahap keterdedahan institusi kewangan Islam kepada risiko dan keberkesanan infrastruktur pengurusan risiko dalam institusi kewangan Islam dalam mengurangkan risiko-risiko ini.
Pembangunan kumpulan bakat yang mencukupi dalam bidang kewangan Islam
Akhirnya pembangunan kumpulan pengamal kewangan Islam yang mempunyai kemahiran yang sesuai dan yang mencukupi perlu diberi keutamaan paling tinggi. Bidang kewangan Islam memerlukan set kemahiran yang unik. Perlu teradun pengetahuan kewangan yang betul dengan tunggak berupa pemahaman mengenai Syariah. Prinsip Syariah hendaklah tertanam dalam setiap aspek operasi institusi kewangan Islam, termasuk reka bentuk produk kewangan dan struktur pembiayaan, kontrak kewangan dan pelaksanaannya, pengurusan mudah tunai dan kunci kira-kira, pengurusan risiko dan juga pengurusan aset dan kekayaan. Pendukungan prinsip Syariah perlu dihayati daripada peringkat tertinggi, termasuk di peringkat lembaga pengarah dan pengurusan kanan, yang menyediakan hala tuju strategik bagi institusi kewangan Islam, sehinggalah ke peringkat operasi. Dasar dan amalan yang baik yang berlandaskan prinsip Syariah akan membentuk sistem kewangan Islam menjadi sistem kewangan yang jelas beretika dan menggalakkan kesaksamaan ekonomi.
Justeru, Malaysia kini dalam proses menubuhkan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) demi mencapai matlamat menyediakan rumusan pengurusan bakat menyeluruh bagi industri perkhidmatan kewangan Islam global dan untuk memenuhi keperluan pendidikan pengamal kewangan Islam di pelbagai peringkat yang berbeza, termasuk ahli profesional dan pakar dalam kewangan Islam. INCEIF akan mula beroperasi pada bulan Mac tahun ini dan menawarkan program pensijilan profesional dalam kewangan Islam. INCEIF juga akan membentuk pakatan strategik dengan institusi pengajian tempatan dan luar negara untuk menawarkan program lepasan ijazah, iaitu Sarjana dan Doktor Falsafah dalam Kewangan Islam dalam bidang pengkhususan tertentu. Sebuah persatuan profesional bagi ahli profesional kewangan Islam akan juga ditubuhkan untuk lepasan INCEIF bagi mengikuti perkembangan terkini dalam kewangan Islam.
Kesimpulan
Daya maju, daya saing dan kemapanan kewangan Islam dalam persekitaran global yang mencabar ini tentunya berpaksikan pembinaan asas yang membolehkan kewangan Islam terus maju ke hadapan. Integrasi kewangan Islam ke dalam sistem kewangan antarabangsa akan terus memperkukuh hubungan ekonomi dan kewangan global dan dengan itu membuka sempadan baru ke arah mencapai pertumbuhan global yang lebih seimbang dan perkongsian kemakmuran global yang lebih saksama.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment