Terkini

Thursday 13 March 2008

Harga minyak rangsang kewangan Islam

KUALA LUMPUR 11 Mac – Kewangan Islam dijangka mencatat pertumbuhan global melebihi 20 peratus pada tahun ini dengan harga minyak yang kian meningkat menggalakkan kecairan dan dana dari negara-negara di Asia Barat.
Menurut Ketua Eksekutif Yasaar Ltd., Majid Dawood, terdapat juga sedikit impak daripada pasaran subprima ke atas kewangan Islam.
Yasaar Ltd., ialah sebuah firma perundingan Syariah global, yang mempunyai pejabat-pejabat di Dubai dan London.
Beliau berkata, dengan teknologi dan standard antarabangsa, kewangan Islam boleh dikembangkan lagi untuk menjana produk yang boleh diterima di peringkat antarabangsa.
“Sebaik sahaja standard dapat diwujudkan di peringkat global, di ketika itulah kewangan Islam akan menguasai agihan pasaran lebih besar,” katanya kepada pemberita ketika taklimat pada majlis makan tengah hari bertajuk Kewangan Islam di Asia di sini semalam.
Katanya, bagaimanapun, terdapat keperluan untuk meningkatkan pemahaman dan pengetahuan tentang kewangan Islam sejajar dengan perkembangan pasaran semasa.
Majid berkata, dengan kesedaran dan pengetahuan tentang prinsip kewangan Islam bagi instrumen kewangan seperti lindung nilai dan derivatif serta instrumen hutang yang kian meningkat, kewangan Islam boleh wujudkan impak lebih besar dan menikmati agihan pasaran kewangan yang lebih besar.
Menurut Majid, Malaysia dengan pengalamannya yang luas dalam kewangan Islam, boleh menjadi peserta utama.
“Kini, perkhidmatan kewangan Islam Asia banyak tertumpu di Malaysia dengan fokus kepada aset perbankan, terbitan sukuk, pengurusan aset dan aset takaful,” katanya.
Pada masa ini, Malaysia menguasai 76 peratus daripada aset perbankan dalam perkhidmatan kewangan Islam Asia, 95.5 peratus terbitan sukuk dalam Asia dan 83 peratus aset takaful dalam Asia.
“Asia sedang mengalami pertumbuhan pesat dalam perkhidmatan kewangan Islam. Pertumbuhan itu dibentuk oleh sokongan kerajaan, permintaan pelanggan, dan pemacu institusi kewangan,” kata Majid.
Negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), termasuk Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), dan juga bank-bank Islam Malaysia sedang meneroka dan mengembangkan operasi ke dalam pasaran-pasaran baru, katanya.
– Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment