Terkini

Monday 10 March 2008

BIBD, Brunei - Pusat Kewangan Islam Yang Dinamik


Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) telah pun mencapai beberapa kejayaan yang boleh dibanggakan dalam masa yang singkat. BIBD terbit daripada gabunggan dua buah bank Islam di negara ini - Bank Islam Brunei Berhad (IBB) dan Bank Pembangunan Islam Brunei Berhad (IDBB). Sejak penggabungannya 3 Julai 2006, BIBD telah berhasil menempa nama yang amat gemilang dalam sektor perbankan di Negara Brunei Darussalam.

Bagi memacu kemajuan dan perkembangan yang lebih progresif dan produktif, beberapa strategi dirancang penuh rapi bagi merealisasikan hala tuju yang hendak dicapai untuk menjadikan BIBD sebagai sebuah bank Islam yang dihormati di arena antarabangsa.

Lebih jauh dari itu, 'target' utama ialah untuk memenuhi aspirasi negara menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah sebuah pusat kewangan Islam yang dinamik di rantau ini. Dengan reputasinya sebagai bank yang berorientasikan kewangan Islam, kita penuh optimis, BIBD akan bergerak serta melangkah lebih jauh dalam memenuhi cita-cita negara sebagai pusat kewangan Islam yang progresif, berdaya maju dan inovatif. Di samping berupaya untuk bersaing dengan bank-bank Islam bertaraf dunia yang kini melebihi jumlah 50 buah di seluruh dunia.

Sesungguhnya, inilah sebenarnya yang menjadi impian pemimpin kita, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan BIBD amnya dan negara khasnya sebagai pusat kewangan Islam global.

Ini bertepatan dengan titah baginda di Istiadat Mengadap sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-59 Tahun pada 15 Julai 2005 yang lalu. Antara lain baginda bertitah menegaskan:
"Penggabungan IBB dan IDBB adalah dianggap selaras dengan trend global masa kini di mana beberapa buah bank dapat bergabung untuk mengukuhkan keupayaan dan daya saing, bukan sahaja dalam negara bahkan juga di peringkat antarabangsa."

Dengan wawasan baginda mewujudkan BIBD, bank berkenaan dalam jangka tempoh masa tujuh bulan telah menempa beberapa kejayaan. Kejayaan yang dilalui oleh BIBD ada hasil daripada objektif perniagaan yang pragmatik serta hala tuju yang dinamik dan mencabar.

Kejayaan mutakhir yang merupakan mercu kemajuan memberangsangkan telah dicapai pada awal Januari 2007 bila mana BIBD telah menandatangani perjanjian dengan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RBA) bagi pembiayaan pesawat-pesawat baru.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Abdullah yang juga selaku Pengerusi BIBD semasa berucap merasmikan Cawangan BIBD, Kampong Tanjung Bunut baru-baru ini menekankan bahawa bank tempatan mampu menyediakan pembiayaan kewangan kompetitif dan sekali gus bersaing dengan para bank asing.
BIBD sebelum itu juga berjaya dengan penerbitan Sukuk Al-Ijarah BLNG yang bernilai $100 juta pada 23 Ogos 2006 dalam mana bank berkenaan telah diberikan kepercayaan oleh Syarikat Minyak Gas Cecair Asli (BLNG) untuk menjadi penaja dan 'lead arranger' bagi penerbitan sukuk berkenaan.

Bank berkenaan juga mendapat kepercayaan daripada Kementerian Kewangan untuk menjadi 'lead manager' bagi pengeluaran Sukuk Al-Ijarah kerajaan bagi jangka pendek yang bernilai B$120 juta.

Dengan kerjasama Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) dan Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, BIBD telah melancarkan perkhidmatan kad inden elektronik bagi memberikan kemudahan perbelanjaan pembelian minyak dan produk-produk yang terdapat di stesen-stesen minyak seluruh negara. Kad yang julung-julung kalinya diperkenalkan itu menggantikan sistem pembayaran manual kad inden kerajaan yang konvesional dan menimbulkan banyak masalah serta tidak sesuai dengan peredaran teknologi masa kini.

Berdasarkan strategi perbankan yang pragmatik, bank tersebut telah berhasil mencapai keuntungan yang amat baik sepanjang tahun 2006. Kita merasa yakin, BIBD mampu menjadi pusat kewangan Islam yang bertaraf antarabangsa di masa mendatang. Dalam masa yang sama, kita juga akan berhasil menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai pusat kewangan Islam yang dinamik. Walau bagaimanapun, kejayaan itu tidak akan menjelma sekelip mata serta dibangunkan sehari dua, tetapi memerlukan usaha yang lebih gigih, penuh tekad dan iltizam serta komitmen berterusan dari warga kerja bank berkenaan. --(PelitaBruei)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment