Terkini

Sunday 13 July 2014

Lesen kasino: Ambil kira perasaan rakyat Pahang

BENTONG 13 Julai - Apa sahaja keputusan yang akan dibuat berhubung permohonan lesen pembukaan kasino kedua hendaklah mengambil kira kehendak dan perasaan keseluruhan rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri hanya mempunyai kuasa ke atas tanah namun bidang kuasa untuk meluluskan lesen kasino kedua yang dikatakan akan dibina di negeri ini terletak di bawah Kerajaan Persekutuan.

"Aspek pelesenan termasuk lesen perjudian adalah di bawah kelulusan Kerajaan Persekutuan, jadi sebagai Menteri Besar saya tidak dapat komen banyak.

"Bagaimanapun, setiap keputusan mestilah berasaskan kepada perasaan dan aspirasi rakyat kerana kemungkinan sesuatu yang baik kepada satu satu kumpulan dan tidak baik bagi yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Simpang Pelangai di sini malam tadi.

Sebelum ini, terdapat laporan media tempatan dan luar negara yang menyatakan Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan merancang membuat permohonan bagi mendapatkan lesen perjudian di Berjaya Hill atau Bukit Tinggi Resort di sini.

Vincent dilaporkan berkata, permohonan dengan suntikan pelaburan kira-kira RM3 bilion itu tidak akan menerima tentangan daripada mana-mana pihak, lagi pun Malaysia tidak boleh tertumpu kepada satu pengendali di Genting Highlands sahaja.

Berdasarkan laporan itu, Berjaya Hills akan dipasarkan secara global sebagai destinasi kasino.
Sementara itu, mengulas mengenai kekejaman Israel yang terus melancarkan serangan ke atas Gaza, Adnan berkata, saluran diplomatik merupakan kaedah terbaik bagi menyuarakan bantahan.

Justeru katanya, negara Islam harus bersatu padu bagi menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan tekanan kepada Israel untuk menghentikan kezaliman terhadap rakyat Palestin.

(Utusan Online / 13 Julai 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment