Terkini

Monday 14 July 2014

Peluang di Republik Guinea

PUTRAJAYA 14 Julai - Jumlah dagangan antara Malaysia dan Republik Guinea menunjukkan perkembangan positif yang mana pada tahun lalu meningkat 11 peratus kepada RM143 juta berbanding RM125 juta pada tahun sebelumnya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkembangan positif itu merupakan berita baik kepada pelabur Malaysia yang ingin mencuba nasib di negara berkenaan terutamanya dalam bidang pertanian.

Beliau berkata, majoriti jumlah dagangan itu disumbangkan melalui eksport minyak kelapa sawit, justeru pelabur di negara ini digalakkan merebut peluang untuk melabur di negara berkenaan bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

"Antara dagangan lain yang dilihat mampu mendapat pasaran di negara berkenaan termasuklah sabun serta barang makanan seperti tepung dan gandum.

"Republik Guinea juga terkenal dengan kekayaan hasil pertanian seperti koko dan getah dengan memiliki kira-kira enam juta hektar tanah pertanian selain sumber asli dan mineral seperti berlian serta bauksit.

"Jadi, saya rasa tidak salah pelabur dan syarikat di negara ini menggunakan peluang itu kerana Republik Guinea tidak banyak bezanya dengan Malaysia termasuk dari segi iklim serta rakyatnya yang majoriti beragama Islam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Republik Guinea, Marc Yombouno di Menara Usahawan, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong.

Menurut Mustapa, pelabur di negara ini perlu memandang serius potensi pelaburan tersebut sekali gus mengembangkan eksport negara ke Republik Guinea.

Sementara itu, Yombouno berkata, Republik Guinea mengiktiraf Malaysia sebagai negara maju dan berminat untuk menarik lebih ramai usahawan dan ahli perniagaan Malaysia melabur di republik berkenaan.
"Kami amat memerlukan pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk kewangan Islam untuk berkongsi dengan negara kami.

"Justeru, kami mengalu-alukan kedatangan pelabur Malaysia ke negara kami untuk berkongsi dan bertukar-tukar kepakaran yang dimiliki," katanya.

(Utusan Online . 14 Julai 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment