Terkini

Friday 25 October 2013

Umat Islam perlu bijak rancang kewangan

MANUSIA yang gagal merancang adalah manusia yang merancang untuk gagal. Di dalam sebuah negara yang berdaulat setiap kerajaan akan membuat bajet bagi memastikan tahun mendatang kerajaan tersebut boleh beroperasi dengan sempurna.
Perancangan kewangan penting ibarat kata pujangga semakin besar periuk semakin besar juga kerak nasinya. Sebuah negara yang dianggap super ekonomi turut tidak terlepas daripada menghadapi masalah kewangan kerana bajet tambahan yang diperlukan tidak diluluskan.
Pergelutan politik di Amerika Syarikat (AS) sehingga menjurus kepada penutupan operasi jabatan-jabatan kerajaan AS baru- baru ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan ekonomi Uncle Sam tersebut. 
Namun dalam kerajaan membuat perancangan untuk negara kita sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia kita perlu bijak merancang bajet diri dan keluarga.
Tahun 2013, ramai yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 dalam kalangan yang berpendapatan isi rumah RM3,000 di bawah. Tidak ketinggalan orang bujang yang layak mendapat bantuan RM250 turut mendapat manfaat hasil kemakmuran negara. Diharap bantuan sedemikian boleh dikekalkan bagi membantu umat Islam yang benar-benar layak kerana di samping bantuan tersebut sebenarnya pihak zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menghulur bantuan kewangan.
Walaubagaimanapun umat Islam perlu berdikari bagi meningkatkan ekonomi keluarga dan tidak terus mengharapkan duit BR1M yang adalah langkah pro-aktif kerajaan untuk membantu rakyat mengurangkan tekanan kewangan akibat kenaikan harga bahan bakar dan kesan domino akibat kenaikan tersebut. Untuk itu, kita perlu menggunakan segala sumber yang ada untuk merancang ekonomi keluarga sepanjang masa kerana BR1M hanya akan datang setahun sekali (atau dua kali) dan kita harus menguatkan azam untuk menjadi pembayar zakat dan tidak lagi kekal menjadi asnaf miskin mahupun fakir.
Mengimbas pembentangan Bajet 2012 dan 2013, dalam pembentangan itu umat Islam diberi kemudahan mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mempermudah mereka menunaikan ibadah haji. Dalam Bajet 2012 misalnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pencarum KWSP boleh membuat pendaftaran awal menunaikan rukun kelima ini melalui pengeluaran Akaun 2 sebanyak RM1,300.
Dalam Bajet 2013 pula sebagai langkah tambahan untuk membantu bakal-bakal haji, kerajaan mengumumkan bahawa bakal-bakal haji yang mencarum di KWSP, kini dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos tambang. Inisiatif ini terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga RM3,000. Peruntukan ini, amat melegakan bakal haji yang terlibat dan mempunyai simpanan di KWSP. Mungkin ada khabar gembira dalam aspek ini pada Bajet 2014.
Dalam menyelaras Bajet 2014 dan perancangan kita sebagai umat Islam, ekonomi adalah aspek yang penting bagi memastikan kehidupan seharian kita tidak dilanda masalah yang boleh menggugat kesejahteraan keluarga. Awal tahun anak-anak kita ada yang akan bersekolah dan melanjutkan pelajaran ke menara gading. Inilah masa kepala ibu bapa akan pening memikirkan bajet untuk meneruskan 'operasi' sebuah keluarga.
Awal tahun ini selaras Bajet 2013 bantuan awal persekolahan sebanyak RM100, Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah diterima oleh rakyat negara ini yang layak.
Namun sebagai umat Islam, kita perlu ingat kita digalakkan berjimat-cermat setiap masa bagi memastikan pendidikan anak- anak kita tidak tergencat dengan tuntutan- tuntutan lain yang mendesak. Pendidikan boleh dianggap senjata yang ampuh bagi meningkatkan taraf hidup seseorang dan menyamaratakan taraf intelek orang kaya, bangsawan mahupun anak seorang ahli biasa parti politik.
Justeru sebagai umat Islam, kita harus menghayati saranan itu, berpijaklah di bumi nyata dalam merancang ekonomi keluarga kerana sebuah negara juga perlu merancang ekonominya secara realistik.  (Utussan Malaysia/25 October 2013)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment