Terkini

Saturday 26 October 2013

Malaysia: Sistem perbankan, modal kukuh

SISTEM perbankan dan pasaran modal terus diperkukuh bagi memudahkan dan memangkin pertumbuhan ekonomi sejajar dengan peralihan Malaysia kepada sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju.
Pengantaraan kewangan terus menyokong aktiviti ekonomi dengan jumlah pinjaman terkumpul dalam sektor perbankan meningkat sebanyak 9.3 peratus kepada RM1.18 trilion pada akhir Ogos 2013.
Sementara itu, jumlah pembiayaan terkumpul institusi kewangan pembangunan (IKP) naik sebanyak 8.5 peratus kepada RM117 bilion, terutamanya kepada sektor ekonomi yang strategik.
Pembiayaan mikro juga diperluaskan melalui Skim Pembiayaan Mikro, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk menyokong perniagaan
mikro.
Pasaran modal kekal sebagai sumber pembiayaan yang penting bagi syarikat dengan jumlah bon swasta terkumpul pada RM415.3 bilion dan permodalan pasaran ekuiti meningkat kepada RM1.6 trilion pada akhir Ogos 2013.
Pada Januari 2013, satu kelas aset sukuk baharu dilancarkan di Bursa Malaysia dan menjadikan sukuk dan bon ditawarkan kepada semua pelabur buat pertama kali.
Sukuk Runcit DanaInfra yang diterbitkan oleh DanaInfra Nasional Bhd., digunakan bagi membiayai sebahagian projek My Rapid Transit (MRT) yang sedang dilaksanakan.
Malaysia terus menjadi pusat global bagi kewangan Islam dengan pasaran sukuk utama yang mendalam dan pasaran sekunder yang aktif, mekanisme penemuan harga yang cekap, kepelbagaian kumpulan tenaga mahir dengan keupayaan global dan sistem penjelasan dan penyelesaian pelbagai mata wang yang cekap.
Keperluan perundangan dan hemat dalam industri kewangan Islam yang disokong oleh prinsip syariah akan dijelaskan lagi dengan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) yang berkuat kuasa pada Jun 2013.
Akta ini akan mengukuhkan sistem kawal selia dan perundangan bagi menghadapi cabaran dan perkembangan industri yang semakin canggih dan bersifat antarabangsa. (Utusan Malasyia/26 Okt 2013)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment