Terkini

Tuesday 22 October 2013

Pasaran ekuiti patuh syariah masih rendah

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Malaysia masih ketandusan pasaran ekuiti patuh syariah walaupun mempunyai kekuatan dana pelaburan tempatan yang dianggarkan berjumlah RM800 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Pelaburan Mara Bhd., Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata, ketika ini dianggarkan hanya 801 syarikat senaraian awam yang patuh syariah dengan jumlah pasaran modal RM1 trilion.
"Daripada 801 berkenaan, hanya sebahagian kaunter dianggap berkualiti oleh pelabur. Ini telah mengecilkan ruang pelaburan dalam sektor kewangan Islam.
"Dengan kaunter yang terhad, maka pelabur tempatan dan luar negara terpaksa bersaing sengit untuk melabur," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Islamic Finance News (IFN) Forum 2013 di sini hari ini.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai infrastruktur kewangan Islam terbaik di dunia, tetapi dalam masa yang sama industri kewangan Islam tidak bergerak selari sekali gus menyebabkan kekurangan aset-aset yang boleh dijadikan destinasi pelaburan.
Menurutnya, syarikat pelaburan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai dana yang cukup kukuh dan dana berkenaan perlu dilaburkan terutamanya dalam kewangan Islam untuk wujudkan pulangan.
"Dalam situasi sekarang, untuk menampung pelaburan dana tempatan pun industri kita tidak mampu. Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada kemasukan pelabur asing.
"Disebabkan persaingan sengit ini, pelabur tempatan mula beralih ke pasaran luar negara," jelasnya.
Ahmad Nazim berkata, selain cara berkenaan, pelabur juga terpaksa melabur dalam ekuiti persendirian secara majoriti dan mengubahnya menjadi patuh syariah.
Sementara itu, semasa berucap mengenai dana, takaful, pencen, dana kekayaan kedaulatan (SWF) Asia di IFN Forum 2013, beliau menjelaskan, pertumbuhannya sangat memberangsangkan di rantau ini berikutan perkembangan golongan bekerja.
"Lapan pengurus SWF terbesar dunia adalah terletak di Asia dengan aset berjumlah AS$3 trilion (RM9.3 trilion), bersamaan dua pertiga dana dalam sektor berkenaan di dunia," katanya.  (Utusan Malaysia/22 Okt 2013)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment