Terkini

Sunday 21 December 2008

Wasiat instrumen bijak pengurusan harta

WASIAT adalah instrumen dan mekanisma terbaik kepada pengurusan dan pentadbiran aset dalam Islam.

Tuntutan berwasiat tidak hanya kepada orang kaya dan berharta, malah orang miskin dan tidak berkemampuan perlu berwasiat sebelum menghembus nafas terakhir.

Persepsi bahawa wasiat hanya aplikasi pengurusan dan pentadbiran harta orang kaya dan gaya hidup mewah perlu diubah segera. Ini kerana wasiat disyariatkan kepada seluruh umat manusia, termasuk bukan Islam.

Sekitar tahun 1990-an, kita dikejutkan dengan laporan hampir RM30 bilion nilai aset umat Islam dibekukan dan tidak dituntut akibat kematian yang rata-ratanya tanpa wasiat di samping sistem pentadbiran dan pengurusan harta yang lemah.

Terkini kita digemparkan sekali lagi dengan hampir RM40 bilion nilaian semasa aset umat Islam di Malaysia yang tidak dituntut atas alasan sama.

Situasi genting itu berikutan kelalaian umat Islam mentadbir harta mereka menurut syariat dan kurangnya maklumat serta rendahnya kesedaran berwasiat.

Isu yang dianggap sensitif bagi sesetengah pihak dan dianggap tidak penting serta dipandang remeh sudah membelenggu umat Islam sejak dulu lagi hingga di zaman serba moden dan sofistikated ini.

Lantaran itu, ia turut mendapat perhatian serius Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggesa umat Islam agar mengambil berat dan tidak lagi memandang ringan mengenai pengurusan dan pentadbiran harta mereka iaitu melalui alternatif penyediaan wasiat ketika masih hidup lagi.

Islam menyediakan platform terbaik untuk mengurus dan mentadbir harta secara lebih bijaksana, namun ruang dan peluang berkenaan tidak digunakan sepenuhnya.

Jika umat Islam masih memandang remeh mengenai penyediaan wasiat ke atas harta di bawah milikan dan kawalan mereka, sudah tentu nilaian aset tidak dituntut umat Islam akan terus bertambah dan dibekukan.

Kelalaian itu amat tidak ekonomik dan amat merugikan negara. Seharusnya aset bernilai itu ditadbir dan diurus sebaik mungkin agar ia bermanfaat kepada pihak yang memerlukan atau boleh disalurkan terus ke arah perkembangan dan kemajuan Islam.

Menurut istilah syarak, wasiat adalah pemberian seseorang kepada orang lain baik berupa wang, hutang ataupun manfaat untuk dimiliki oleh orang yang diberi wasiat sesudah orang yang berwasiat meninggal dunia. (Sayyid Sabiq, 1990)

Sebahagian fuqaha mendefinisikan wasiat sebagai pemberian hak milik secara sukarela yang dilaksanakan selepas pemberinya meninggal dunia.

Di sini, terdapat perbezaan antara hibah dan wasiat. Pemilikan yang diperoleh daripada hibah terjadi pada saat itu juga, yakni ketika pemberinya masih hidup sedangkan pemilikan yang diperoleh daripada wasiat hanya berlaku selepas kematian pewasiat itu.

Di samping itu, hibah berupa barang, sementara wasiat boleh berupa barang, hutang ataupun manfaat.

Legaliti dan legitimasi wasiat adalah berpandukan firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah, ayat 180 yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan tanda-tanda kematian, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu bapa dan karib kerabatnya secara ma’ruf. Ini adalah kewajipan atas orang yang bertakwa.”

Dalam sebuah hadis, dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Hak bagi seorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, sesudah bermalam selama dua malam tiada lain wasiatnya itu tertulis pada amal kebajikannya.”

Ibnu Umar berkata: “Tidak berlalu bagiku satu malam pun sejak aku mendengar Rasulullah s.a.w mengucapkan hadis itu kecuali wasiatku selalu berada di sisiku.” (HR Bukhari dan Muslim).

Terdapat beberapa kelebihan jika kita membuat persediaan awal menyediakan wasiat sebagai satu daripada proses pengurusan dan pentadbiran aset di bawah kawalan dan milikan kita.

Ini adalah kerana ia dapat diselenggarakan dengan baik, cekap dan profesional dengan kos yang minimum.

Wasiat kita dapat diurus dan ditadbir oleh orang yang bertauliah seperti peguam dan ejen wasiat yang mempunyai kelayakan dalam mengendalikan segala urusan berkenaan wasiat merangkumi aspek dokumentasi, penyimpanan, pengurusan, pemeliharaan sehingga kepada urusan pelaksanaan wasiat jika berlaku kematian.

Proses tuntutan harta pusaka juga menjadi lebih cepat, mudah dan lancar dengan adanya wasiat yang sah. Ini sudah tentu dapat mengelakkan berlakunya pergaduhan, perselisihan dan perebutan harta di kalangan waris yang berhak pada masa depan.

Di Malaysia terdapat agensi kerajaan seperti Amanah Raya Berhad (ARB) dan agensi swasta seperti Amanah Hibah dan Warisan MUKMIN yang menyediakan khidmat pengurusan dan pentadbiran wasiat secara profesional dan sistematik.

Kebiasaannya aset yang dilaporkan terpaksa dibekukan kerana tidak dituntut oleh pewaris berhak meliputi wang simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), simpanan di koperasi dan bank, kereta, hartanah seperti rumah dan bangunan, simpanan saham amanah, insurans dan pelaburan saham syarikat.

Sekiranya keadaan itu tidak diberi perhatian sewajarnya, ia boleh memberi impak negatif kepada perkembangan ekonomi negara kerana aset berkenaan beku dan tidak dapat dimajukan sewajarnya.

Kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi menerapkan kepentingan berwasiat dan semua pihak hendaklah peka mengenai mentadbir serta mengurus harta mereka melalui medium wasiat.

Untuk itu, di samping penyediaan wasiat melalui khidmat peguam dan ejen wasiat bertauliah, maklumat dan langganan khidmat itu boleh didapati melalui kaedah kursus gaya pos yang membekalkan buku dan cakera padat video (VCD).

(Berita Harian)


---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment