Terkini

Saturday 13 December 2008

Sistem Kewangan dan Ekonomi Islam (IEF) jalan keluar krisis ekonomi

SISTEM kewangan kapitalis sememangnya tidak akan pernah ‘aman dan sejahtera’, jauh sekali bagi mengharmonikan kehidupan manusia melalui agihan ekonomi yang adil dan saksama dalam masyarakat, negara mahupun dunia.
Lazimnya, kewangan kapitalis dan liberal menjadikan manusia sebagai hamba duit, bukan wang sebagai hamba manusia sebagaimana yang sepatutnya dan yang digariskan oleh Islam.
Disebabkan manusia sudah menjadi hamba duit, akan berlakulah salah urus, silap takbir, rasuah dan yang seumpamanya angkara sama ada gelap mata atau untuk meraih laba segera yang mudah untuk terus berkuasa dan memuaskan nafsu.
Jadi tidak hairanlah apabila berlaku krisis kewangan Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan ekonomi dunia kini kembali merudum selepas mengalami kemelesetan pada tahun 1985.
Tempias krisis kewangan yang dilakukan oleh ‘penyangak’ mata wang di negara kuasa besar dunia itu pula adalah menyeluruh.
Malah kemelesetan kali ini dikatakan paling teruk sejak The Great Depression dalam krisis kemelesetan ekonomi terburuk dunia pada era tahun 1930-an.
Semuanya gara-gara krisis sub prima AS setelah ‘penyangak kewangan’ membuka seluas ruang meminjam kepada yang tidak layak melalui konsep ‘gadai janji’ dalam proses pinjaman sehingga hilang kawalan.
Malaysia yang belum genap 10 tahun kejayaan mendepani krisis kewangan Asia (1988) tidak terkecuali daripada menerima kesan meskipun suasana masih stabil.
Malah sistem Marxim yang memastikan kerajaan menguasai ekonomi 100 peratus juga merupakan barah besar kepada manusia, masyarakat dan negara komunis sehingga menyebabkan Kesatuan Rusia runtuh.
Tetapi Sistem Kewangan dan Ekonomi Islam (IEF) yang digaris dalam al-Quran dan al-sunnah adalah jalan tengah dari dua sistem tidak sekata itu.
Sistem IEF adalah paling tepat dan selamat kerana ia adalah ciptaan oleh Yang Maha Berkuasa, iaitu yang menentukan urus tadbir seluruh makhluk, langit dan bumi, berbanding sistem kapitalis dan Marxim rekaan manusia untuk survival terpilih.
Sebabnya, dalam sistem kewangan Islam, urusannya berasaskan keadilan, rela merelakan dan hak demi kepentingan serta kelangsungan hidup yang harmoni sesama ummah dan alam sejagat.
Ini boleh dirujuk dalam firman Allah SWT yang mafhum-Nya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama mu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu (larangan membunuh diri sendiri mencakupi juga larangan membunuh orang lain, sebab membunuh orang lain bererti membunuh diri sendiri, kerana umat merupakan suatu kesatuan); sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu. (an-Nissa’: 29).
lDan janganlah kamu merugikan manusia pada hak-haknya dan janganlah kamu bermaharajalela di muka bumi dengan membuat kerosakan. (asy- Syu’araa: 183)
lDan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu. (ar-Rahman: 9).
Soalnya apakah masih wujud sistem IEF menurut syariah (al-Quran dan hadis) dalam urusan ekonomi dan kewangan dunia, waima dalam negara-negara Islam dan syarikat serta badan korporat yang dimiliki serta ditadbir urus oleh umat Muslim sendiri?
Kerangka kewangan Islam kata Profesor Ekonomi Universiti Sultan Qaboos, Oman, Prof. Dr. Masudul Alam Choudhury, adalah bersifat universal, unik dan kekal dari dulu, kini dan selamanya.
“Tetapi sistem ekonomi liberal dari buku yang berteraskan logikal (akal) mengguna metodologi individu untuk kepentingan individu kelompok,” katanya.
Menurut Dr. Choudhury, fenomena kewangan dan ekonomi dunia nyata kini adalah gabungan realiti, logikal, neutralise dan budaya sekitar yang bercorak individu materialistik.
Beliau yang juga penyandang Kerusi Sarjana Antarabangsa dalam IEF Universiti Trisakti, Jakarta di Indonesia itu bagaimanapun menegaskan, sistem IEF adalah konsep dan proses mendisiplinkan hidup manusia dan sistem dunia keseluruhannya.
“Ini kerana sistem IEF berhubung terus dengan sunatullah, sama ada dalam bentuk metodologi, epistemologi mahu pun pedagogi. Ia ciptaan Allah yang Maha Tahu keperluan manusia,” ujarnya.
Dr. Choudhury berkata demikian ketika memperkatakan mengenai ‘Metodologi dan pedagogi dalam IEF’ pada Persidangan Meja Bulat di UKM, Bangi, Selangor pada 25 November lalu.
Persidangan sehari yang membincangkan mengenai kewangan dan ekonomi Islam di UKM itu membariskan 10 sarjana ekonomi Islam tempatan dan luar negara sebagai panel pembentang.
Malah metodologi dalam tadbir urus kewangan dan ekonomi Islam itu sendiri kata Dr. Choudhury lagi, adalah untuk memandu manusia mengendalikan anugerah yang Allah sedia untuk manusia dan alam jagat.
Sementara itu, Prof. Dr. Saiful Azhar Rosly dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) pula berkata, apa yang wujud dan berlaku dalam sistem kewangan dan ekonomi dunia kini adalah konsep dominan pihak dan kuasa tertentu dalam segala bentuk urusan.
“Sedangkan dalam Islam tidak ada dominasi dalam segala urusannya sebaliknya menjadikan dinar emas sebagai asas berurusniaga.
“Sebab nilai sebenar mata wang atau mata wang yang tulen adalah yang berasaskan emas melalui dinar yang disebutkan dalam al-Quran,” katanya.
Malah kata Dr. Saiful lagi, yang menenggelamkan lagi sistem IEF sama ada tempatan mahupun peringkat global adalah berpunca daripada umat Islam sendiri.
Menurutnya, sarjana IEF Muslim realitinya adalah ‘manusia dua alam’. Mereka mengajar dan banyak membuat penyelidikan serta berteori tetapi tidak berpengalaman dalam urusan korporat kewangan mahu pun ekonomi secara praktikal.
Namun, apabila berada dalam sektor korporat kewangan kata beliau, segala teori, falsafah dan hasil kajian hilang, sekali gus turut melenyapkan kesarjanaan yang mereka tonjolkan sebelumnya.
“Mereka bijak berteori tetapi dalam praktikal lain pula yang mereka lakukan, maka wujudlah ‘manusia dua alam’ di kalangan sarjana,” katanya yang membincangkan tajuk Ekonomi Islam Malaysia.
Sebab itu Imam Al-Ghazali tambah Dr. Saiful menyebut, sebab dilema dalam bisnes adalah gandingan melibatkan soal akal, al-Quran, Sunnah dan syaitan secara serentak untuk dipilih oleh manusia.
Bagaimanapun menurut beliau, fitrah mendorong manusia lebih terarah kepada akal dan syaitan dalam membuat pilihan.
Katanya, empat faktor penting paling asas dalam fenomena ekonomi Islam yang ada di Malaysia adalah pengajian ekonomi Islam, kewangan Islam, dinar, hab halal, zakat dan wakaf tunai perlu diperhebatkan jika mahu mendaulatkan IEF.
Namun berdasarkan urusan kewangan dan ekonomi dunia dulu dan kini, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali dari Unit Perancangan Ekonomi Menteri di Jabatan Perdana Menteri mempersoalkan, apakah IEF hanya sesuai menjadi alternatif dalam menangani krisis ekonomi sahaja.
Menurutnya, IEF disebut-sebut sebagai penyelesai krisis kewangan kini, membuktikan ia adalah sistem yang paling berkesan yang relevan sepanjang masa dalam menjamin keadilan semua manusia.
“Namun adakah akan wujud kualiti dan ketanggungjawaban pelaksanaan IEF jika manusia itu sendiri tidak ada keilmuan ekonomi dan Islam dalam urus tadbirnya,” tanya beliau lagi.
Dalam merealisasikan IEF dalam negara kita sendiri, kata Dr. Noor Azlan, timbul masalah apabila wujud dua nakhoda untuk mengendalikan sebuah kapal.
“Sebenarnya ada konflik besar dalam soal merancang ekonomi dan kewangan ‘Islam’ negara, sebab itulah berlaku jurang taraf hidup dan pendapatan perkapita yang tinggi di beberapa negeri,” jelasnya.
Mengupas mengenai ‘Ekonomi Malaysia: pencapaian lalu dan cabaran akan datang’ beliau berkata, sistem kewangan dan ekonomi negara kita sekarang adalah super dalam kelompok ASEAN tetapi tidak untuk tahun 2020 dan di peringkat global.
Dalam pada itu, pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UKM, Prof. Madya Syed Ghazali Wafa Syed Adwan Wafa berkata, pembangunan institusi sektor kebajikan tidak boleh dikesampingkan dalam merancang dan melaksanakan sesebuah sistem ekonomi.
Sektor kebajikan menurut beliau, mesti diberi keutamaan dalam pembangunan dan peranannya perlu diberi perincian sebagaimana yang diberikan pada sektor awam dan swasta.
Institusi zakat, wakaf dan takaful mesti diperhebatkan bagi mengimbangi segala cabaran dalam kewangan dan ekonomi global, katanya apabila berhujah mengenai pembangunan institusi sektor kebajikan dalam sistem ekonomi negara dalam zakat, wakaf dan takaful.
“Dalam Islam, peranan sektor kebajikan yang boleh dimainkan institut zakat, wakaf dan takaful menjadi keutamaan secara relatif sebagaimana yang berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Uthmaniyah,” jelasnya.
Ini kerana menurut Syed Ghazali Wafa, institut zakat, wakaf dan takaful Islam bukan sahaja boleh mengimbangi cabaran global malah akan mewujudkan masyarakat yang tidak bergantung kepada kerajaan dengan keadilan dapat dinikmati oleh yang berhak.
(Utusan Malaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment