Terkini

Sunday 10 August 2008

Nik Aziz gesa pelabur Islam satukan modal

KOTA BAHARU, 9 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak pelabur Islam menyatukan modal dan membuat pelaburan di negara Islam yang memerlukan bantuan modal untuk pembangunan negara.
Beliau berkata banyak negara Islam yang berpotensi untuk dibangunkan tetapi memerlukan bantuan modal dan langkah itu akan dapat membantu negara berkenaan membangunkan ekonomi mereka dan meningkatkan taraf hidup umat Islam.
"Melalui perkongsian bijak ini boleh mengubah corak hidup masyarakat di negara terbabit untuk terus maju sebagaimana negara lain," katanya dipetik Bernama ketika berucap pada Forum Rangkaian Perniagaan Muslim Antarabangsa Ke-3 di sini hari ini.
Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk mewujudkan satu saluran kerjasama bagi merealisasikan hasrat murni itu agar negara Islam tidak sentiasa dipandang rendah.
"Dunia Islam kini mempunyai potensi besar dalam ekonomi, jika dimanfaat secara bersungguh-sungguh dengan jumlah umat Islam yang ramai, memberi peluang lebih luas," katanya.
Katanya sudah sampai masanya penekanan kepada kepentingan kerjasama perdagangan sesama Islam dilakukan bagi memastikan ia berada di tempat yang terbaik.
"Sememangnya kerjasama perdagangan sesama Islam perlu disuburkan kembali sebagai usaha memajukan ekonomi umat seluruh dunia," katanya.
Forum dua hari itu disertai wakil dari 13 negara termasuk Myanmar dan Kemboja.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment