Terkini

Sunday 3 August 2008

Lemah urus kredit punca gagal lunas pembayaran

Oleh Kamarulzaidi Kamis (Berita Harian)

3,413 tampil ke AKPK setiap bulan dapat khidmat nasihat

HAMPIR separuh punca kegagalan pembayaran balik pinjaman individu yang dirujuk kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ketika ini membabitkan penggunaan kad kredit tidak terkawal dan pengurusan kewangan yang lemah.

Ketua Eksekutifnya, Mohamed Akwal Sultan, berkata faktor lain ialah perbelanjaan perubatan yang tinggi (19 peratus), kegagalan perniagaan (13 peratus) dan kehilangan pekerjaan (sembilan peratus).


Sehingga akhir bulan lalu, katanya, agensi itu menguruskan sehingga RM520 juta hutang tidak berbayar (NPL), membabitkan 7,298 peminjam berbanding RM478 juta NPL dan 3,616 peminjam pada akhir Disember 2007.

Beliau berkata, peningkatan jumlah peminjam yang bermasalah itu, umumnya disebabkan kenaikan kos sara hidup dan peningkatan kesedaran pengguna mengenai kewujudan pusat ini.

"Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, purata kira-kira 3,413 individu tampil ke AKPK setiap bulan untuk mendapat khidmat nasihat dan bantuan, meningkat berbanding purata 2,110 sebulan sepanjang tahun lalu," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Mengenai masalah NPL kad kredit yang tinggi, Mohamed Akwal menjelaskan, pengguna secara umumnya mengorbankan pembayaran kad kredit terlebih dulu berbanding pinjaman lain termasuk kenderaan dan hartanah, sekiranya menghadapi masalah kewangan.

Katanya, mereka berpendapatan kurang RM3,000 sebulan adalah kumpulan paling teruk terjejas dengan masalah kewangan, mewakili 66 peratus daripada 9,113 individu yang menyertai program pengurusan hutang (DMP) tahun ini, diikuti individu berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 sebulan (17.2 peratus) dan isi rumah berpendapatan lebih RM4,000 sebulan (16.7 peratus).

Beliau menambah, kenaikan harga bahan api dan makanan memberi kesan ketara terhadap individu berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah, khususnya di kawasan bandar.

Namun, katanya, masalah itu boleh ditangani jika golongan terbabit menilai semula kemampuan masing-masing dan bersedia mengubah gaya hidup.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment